A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Kecederaan
  6. /
  7. Kecederaan Renjatan Elektrik &...

Kecederaan Renjatan Elektrik & Panahan Petir

Kecederaan renjatan elektrik agak kerap berlaku dan hampir kesemuanya tidak disengajakan

Kata Utama / Keywords

  • Renjatan Elektrik – Electric Shock
  • Luka Terbakar – Burns Wounds
  • Kecederaan Akibat Terbakar – Electrical Burns

Pendahuluan dan Definasi

Kecederaan renjatan elektrik agak kerap berlaku dan hampir kesemuanya tidak disengajakan.

Ia berlaku apabila seseorang tersentuh/terdedah kepada punca elektrik. Arus elektrik yang melalui tubuh badan (badan manusia adalah pengalir elektrik) berpotensi menyebabkan individu itu mengalami kecederaan pada bahagian yang tersentuh (thermal burns), berlakunya kecederaan   dalaman pada otot atau organ dan gangguan pada degupan jantung yang boleh mengakibatkan renjatan (cardiogenic shock).

Kecederaan renjatan petir, salah satu subset kepada kecederaan renjatan elektrik, merupakan kecederaan yang disebabkan oleh panahan petir.

Epidemiology

Statistik di Malaysia :

Tiada perangkaan yang tepat bagi kecederaan atau kematian yang berlaku akibat renjatan elektrik dan petir di Malaysia. Banyak cerita berkenaan renjatan elektrik atau panahan petir didedahkan melalui berita-berita akhbar khasnya tentang kemalangan yang berlaku di tempat kerja1 atau kejadian kejadian kabel elektirk.2,3

Di Amerika syarikat, hampir 40% kecederaan renjatan elektrik membawa maut dengan anggaran 1000 kematian setahun. Untuk kecederaan panahan petir, purata 300 kecederaan dan 100 kematian setahun di Amerika Syarikat.

Punca Renjatan

Kebanyakan kes yang melibatkan warga dewasa belaku kerana terdedah kepada punca elektrik semasa kerja. Kemalangan melibatkan remaja pula berlaku atas sifat ingin tahu dan aktiviti berisiko yang mendedahkan remaja ini kepada bahaya renjatan elektrik. Bayi dan kanak-kanak kecil pula terdedah kepada sumber elektrik di rumah kerana menganggap perkakasan elektrik sebagai mainan atau bahan untuk dimakan (gigitan).

Bahaya renjatan elektrik bergantung kepada faktor berikut:

  1. Arus elektrik (lebih tinggi maka lebih tinggi risiko kematian)
  2. Tempoh (lebih lama terkena renjatan, lebih tinggi risiko kematian)
  3. Perjalanan arah arus dalam tubuh (jika melalui jantung, risiko kematian sangat tinggi)
  4. Voltan (lebih tinggi voltan, lebih rendah rintangan dan lebih tinggi risiko kematian)

Gejala/Tanda

Seseorang yang terkena renjatan elektrik mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda luaran atau dengan jelas mengalami gejala kecederaan akibat kesan terbakar. Ada mangsa renjatan yang  pengsan/tidak sedarkan diri  akibat  renjatan pada saraf ataupun jantung (cardiac arrhythmia). Secara umumnya, kecederaan akibat  elektrik terbahagi kepada:

  1. Kecederaan akibat bahagian tubuh yang terbakar (Electrical burns wounds)

    Bahagian yang terbakar biasanya paling teruk pada tempat yang bersentuh (sumber elektrik dan pembumian). Selain daripada kecederaan luaran, kontraksi otot boleh berlaku dan mengakibatkan kecederaan pada tengkuk, tulang belakang atau organ dalaman. Sebarang perubahan bentuk (deformity) mungkin berlaku akibat kepatahan tulang.

    Keseriusan kecederaan bahagian tubuh yang terbakar bergantung pada sumber kuasa elektrik. Kecederaan voltan tinggi (500-1000 volts) mencederakan tubuh badan melalui proses pemanasan dalaman. Hakikatnya lebih ramai mangsa maut akibat luka terbakar berbanding kesan arus elektrik itu semata-mata.

  1. Serangan Jantung (Venticular Fibrillation)

    Bekalan elektrik AC di rumah-rumah di Malaysia (240 volts) pada kadar 50Hz. Jika terkena pada kawasan dada, otot-otot jantung boleh menguncup serentak dan berlaku serangan jantung (ventricular fibrillation). Manakalah untuk arus DC pula, arus sehingga 300 to 500 mA diperlukan.  Serangan jantung jika tidak dirawat serta merta boleh mengakibatkan kematian.

  1. Kesan kepada Sistem Saraf

    Arus elektrik menganggu fungsi saraf terutamanya pada otak, jantung dan paru-paru. Pendedahan kepada arus elektrik pada saraf pula berpotensi menyebabkan kerosakan saraf atau neuropati.

    Arus elektrik yang melalui otak boleh menyebabkan mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri. Arus yang melalui jantung pula menyebabkan serangan jantung seperti diterangkan di atas.

  1. Kesan radiasi haba pancaran (Arc-flash Hazards)

    Pancaran sinar cahaya (arc flash) yang terhasil daripada  renjatan elektrik atau panahan petir adalah pancaran berhaba tinggi. Pancaran haba ini boleh menyebabkan kebakaran teruk pada bahagian tubuh badan yang terdedah begitu juga pada persekitaran kawasan kulit yang berhampiran.

  1. Kesan Panahan Petir

    Panahan petir pula menyebabkan kecederan melalui beberapa cara:

    • Terkena renjatan elektrik dari petir secara langsung(jarang berlaku)
    • Melalui renjatan elektrik apabila mangsa tersentuh bahan(pengalir letrik) yang terkena petir(contoh talian telefon di rumah atau besi tempat berlindung dari hujan)
    • Melalui renjatan elektrik dari bumi tempat berpijak
    • Kecederaan akibat kesan sampingan objek-objek  berhampiran yang disambar petir
    • Kecederaan akibat terpelanting apabila terkena dentuman petir atau kesan dari kesan dentuman(barotrauma)

    Majoriti kecederaan berpunca daripada kesan dentuman (barotrauma) kepada persekitaran seperti pada bumi, dahan pokok dan lain-lain objek yang berhampiran. Kecederaan yang  berpunca dari panahan petir secara langsung atau kecederaan  akibat kebakaran dalaman jarang berlaku. Kematian akibat  panahan petir berpunca daripada kesan renjatan kepada sistem denyutan jantung atau kerosakan pada sistem saraf.

Komplikasi

Komplikasi kepada kecederaan akibat renjatan elektrik/petir bergantung kepada kecederaan yang dialami seperti yang diterangkan di atas dan dihuraikan di bawah:

  1. Akibat bahagian tubuh yang terbakar
    • Kulit – bergantung kepada keluasan kawasan yang terbakar(body surface area) dan di mana ianya berlaku. (rujuk bahagian perawatan kecederaan akibat kebakaran)
    • Otot – kematian sel otot yang teruk  perlu dirawat melalui pembedahan membuang tisu-tisu yang mati malah adakalanya amputasi diperlukan.
    • Organ dalaman – bergantung pada bahagian organ yang terbakar. Kecederaan sehingga melibatkan organ dalaman biasanya berakhir dengan kematian kerana melibatakan renjatan bervoltan tinggi.
    • Jantung – Serangan jantung jika tidak diberi rawatan serta merta biasanya mengakibatkan kematian.
    • Sistem Saraf – Renjatan elektrik yang menyebabkan kecederaan otak boleh menyebabkan berlakunya kerosakan otak/saraf yang kekal dan mengakibatkan mangsanya mengalami sawan, kelumpuhan, atau  perubahan personaliti

Rawatan

Rawatan di rumah

Renjatan elektrik bervoltan rendah dan sekejap masa biasanya tidak menyebabkan sebarang kemudharatan atau hanya luka sedikit yang boleh dirawat di rumah. Bagi semua renjatan bervoltan tinggi atau kecederaan yang mengakibatkan bahagian tubuh terbakar, rawatan selanjutnya di hospital perlu dilakukan.

Walau bagaimanapun, jika rawatan di rumah ini tidak berhasil, sila dapatkan nasihat lanjut untuk rawatan atau suntikan tetanus jika perlu.

Bagi semua kes ibu hamil yang mendapat renjatan elektrik, mereka perlu mendapat pemeriksaan susulan dan rawatan di hospital.

Rawatan Doktor

Semua kes renjatan bervoltan tinggi (500 volts ke atas) perlu mendapat rawatan di Unit Kecemasan di Hospital

Perkara berikut perlu diberi perhatian:

  • Sebarang kecederaan atau kesan terbakar pada kulit
  • Sejarah pengsan sewaktu terkena renjatan
  • Sebarang aduan kekebasan, sesemut, kelumpuhan/kelemahan pada pergerakan, penglihatan, pendegaran atau masalah bertutur
  • Semua kes ibu hamil terutamanya jika 20 minggu keatas

Lain-lain gejala yang serius

Ujian Klinikal

Semasa pemeriksaan dilakukan, keutamaan diberi kepada berlakunya sebarang kecederaan pada organ dalaman, sistem otot/tulang, jantung dan  sistem saraf.

Pegawai perubatan akan menjalankan ujian-ujian berikut berdasarkan kepada sejarah insiden yang berlaku  dan pemeriksaan fizikal yang dilakukan.

  • Ujian ECG bagi memeriksa jantung
  • Ujian Full Blood Count bagi mengenalpasti kepekatan darah (jika berlaku perdarahan atau kemungkinan jangkitan)
  • Ujian air kencing UFEME bagi melihat kehadiran enzim otot (myoglobinuria) bagi kecederaan otot yang serius
  • Ujian X-ray sekiranya diperlukan bagi melihat sebarang kemungkinan berlakunya kepatahan  semasa terkena renjatan
  • CT scan jika diperlukan apabila kecederaan kepala berlaku atau mangsa renjatan separa sedar

Rawatan Kecemasan Semasa Mangsa terkena renjatan

  1. Padamkan bekalan alat elektrik atau jika perlu, bekalan elektrik pada suis utama di rumah atau di tempat kerja. Mematikan alat elektrik TIDAK memberhentikan arus elektrik.
  2. Dapatkan bantuan kecemasan. Dial 991 untuk ambulan dan paramedik
  3. Jika bekalan elektrik tidak dapat dimatikan, gunakan objek bukan pengalir elektrik kering seperti kayu atau alas kaki getah untuk menolak mangsa dari sumber elektrik. Pastikan berdiri di atas bahan bukan pengalir seperti alas kaki getah. JANGAN sama sekali cuba menyelamatkan mangsa jika insiden ini berlaku di kawasan bervoltan tinggi.
  4. Setelah dipisahkan dari punca elektrik, periksa mangsa untuk pernafasan dan denyutan jantung. Jika tiada, lakukan CPR .
  5. Jika mangsa mengalami luka terbakar, tanggalkan pakaian dan jiruskan dengan air mengalir sederhana sejuk hingga kesakitan hilang. Beri rawatan kecemasan sepertimana biasa kepada luka terbakar.  Tunggu di sisi mangsa sehinggalah bantuan tiba.
  6. Sekiranya mangsa mengalami trauma akibat terpelanting dari kawasan renjatan elektrik, pastikan tengkuk tidak digerakkan jika dikhuatiri berlaku kecederaan pada saraf tunjang. Berikan rawatan kecemasan kepada kecederaan luka atau kepatahan yang berlaku seperti biasa.

JANGAN LAKUKAN INI:

  • Menghampiri mangsa yang terkena renjatan bervoltan tinggi sehinggalah suis dimatikan sepenuhnya atau ada risiko letupan berlaku
  • Menyapu ais, mentega, minyak atau sebarang dressing melekat pada luka terbakar
  • Jangan buangkan kulit yang mati  atau memecahkan lepuh pada kulit
  • Jangan sentuh kulit seseorang yang sedang terkena renjatan elektrik

Rawatan Perubatan Seterusnya

Rawatan diberi bergantung kepada keterukan kecederaan akibat terbakar (burns wound) dan jika berlaku kecederaan-kecederaan sampingan.

  • Kecederaan akibat terbakar (burns wound) :
    • Minor: rawatan krim antibiotik dan dressing.
    • Kecederaan lebih teruk mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang tisu-tisu mati atau bagi tujuan skin grafting.
    • Kecederaan serius pada lengan, kaki atau tangan ada kalanya memerlukan pembedahan untuk membuang otot-otot yang terbakar sehinggalah kepada amputasi sekiranya diperlukan
  • Lain-lain kecederaan yang memerlukan perhatian
    • Kecederaan mata memerlukan pemeriksaan dan rawatan oleh doktor mata
    • Kepatahan memerlukan rujukan kepada doktor otopedik bagi tujuan rawatan seterusnya (splinting, casting atau pembedahan).
    • Kecederaan organ dalaman memerlukan pemerhatian dalam wad atau pembedahan jika diperlukan.

Pencegahan

Langkah-langkah pencegahan daripada terkena renjatan elektrik bergantung kepada usia:

  • Kanak-kanak di bawah 12 tahun:
    Kebanyakan renjatan berlaku kerana kerosakan pada alat atau kabel elektirk. Pastikan alat-alat elektrik dan kabel elektrik dipantau untuk sebarang kerosakan dan jika perlu dibaiki atau digantikan.

    • Jangan benarkan kanak-kanak bermain dengan kabel dan soket elektrik
    • Hadkan penggunaan soket tambahan mengikut sukatan(diukur dalam amps) yang disyorkan oleh peralatan elektrik tersebut
    • Perbaharui kabel lama atau soket yang tiada pembumian kepada sistem terkini(grounded 3 pronged system). Elakkan penyambungan elektrik berdekatan kawasan basah (sinki, bilik mandi) atau dapatkan nasihat professional jika penyambungan di kawasan sebegini diperlukan.
  • Kanak-kanak 12 tahun dan ke-atas:
    Kebanyakan kecederaan berlaku akibat perbuatan berisiko dan  ingin tahu kumpulan remaja. Kejadian melibatkan remaja berlaku apabila mereka menceroboh masuk sistem janakuasa bervoltan tinggi TNB atau  di landasan tren elektrik berkuasa tinggi. Pendedahan kepada bahaya kepada perbuatan ini perlu diterangkan kepada golongan remaja di rumah ataupun di sekolah.
  • Warga Dewasa

    Selalulah berhati-hati dalam mengelakkan kecederaan terkena renjatan semasa berurusan dengan peralatan elektrik. Pastikan suis dimatikan sebelum melakukan sebarang aktiviti dengan sistem elektrik. Jika tidak pasti, libatkan professional dalam sebarang sambungan di rumah. Elakkan penggunaan peralatan elektrik berhampiran kawasan basah dan jangan berdiri di kawasan berair semasa mengendalikan peralatan elektrik.

    Hentikan sebarang aktiviti luar rumah ketika ribut petir. Cari perlindungan di dalam bangunan atau jika terpaksa berlindung di luar, elakkan berada di bawah pokok atau berhampiran objek besi. Besi itu sendiri bukan satu tarikan kepada petir, tetapi ia berupaya mengalirkan arus elektrik kepada mangsa yang bersentuh dengannya.

Rehabilitasi

Pemulihan daripada renjatan elektrik bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan yang dialami. Bagi mereka yang mengalami kecederaan pada bahagian kulit yang terbakar(superficial burns wounds), kepulihan bergantung kepada peratusan tubuh yang terbakar (body surface area) dan tahap intensitinya.

Mereka yang  tiada sebarang kecederaan teruk pada bahagian yang terdedah atau  terkena renjatan elektrik, pesakit akan pulih seperti biasa tanpa masalah dan tidak memerlukan rehabilitasi.Harus diingati bahawa jangkitan kuman pada luka terbakar akibat renjatan elektrik adalah punca utama kematian bagi mangsa yang sempat dimasukkan ke hospital.

Kecederaan pada otak baik kesan langsung daripada renjatan atau kerana terjatuh atau terhantuk  yang serius boleh menyebabkan kecederaan kekal pada otak yang mengakibatkan sawan, lumpuh atau perubahan personaliti.

Kecederaan akibat kepatahan tulang kerana terjatuh, terhumban  dan sebagainya, dirawat seperti mana dijelaskan di bawah tajuk rehabilitasi  kepatahan.

Rujukan

  1. Estate worker in freak accident loses his hands: Wed, Jan 19, 2011-New Straits Times
  2. Lelaki curi kabel TNB hampir hangus: 29 April 2011- Berita Harian
  3. Rentung, Putus Dua Akibat Curi Kabel 26 Mei 2010 – Berita Metro
  4. Electrical injuries. In: Tintinalli JE, Kelen GD, Stapczynski JS, Ma OJ, Cline DM, eds Emergency Medicine: A Comprehensive Study Guide. 6th ed. New York, NY: McGraw-Hill; 2004: chap 201.
  5. Sumber rujukan bacaan dan gambar yang disediakan: http://www.emedicinehealth.com/electric_shock.
  6. Gambar-gambar

Rentung, Putus Dua Akibat Curi Kabel 26 Mei 2010 – Berita Metro

Lelaki curi kabel TNB hampir hangus: 29 April 2011- Berita Harian

Semakan akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Adienuar Ahmad Norawi
Akreditor : Dr. Khairul Nizam Hassan
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah

Artikel Berkaitan

Lemas

Lemas adalah keadaan yang berlaku apabila oksigen terhalang/sekat daripada memasuki saluran pernafasan akibat tenggelam dalam air

Tips Keselamatan untuk Masalah Menelan

Masalah menelan (dysphagia) boleh terjadi kepada sesiapa yang pernah menghidap strok, penyakit neurologi atau saraf (sebagai contoh Parkinson’s), kecederaan otak, atau segala jenis masalah struktur organ menelan seperti kanser tekak atau pangkal hidung.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,132

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia