Matlamat utama rawatan kesuburan ini adalah bagi setiap pasangan untuk mempunyai seorang anak yang sihat pada satu masa. Walau bagaimanapun, terdapat banyak cabaran untuk mencapai matlamat ini dan yang sering menjadi perhatian ialah kemungkinan terjadinya kandungan kembar sama ada kembar dua atau lebih (kandungan berganda).
Pada kebiasaannya, ubat kesuburan bagi menggalakkan pertumbuhan folikel ovari digunakan untuk membantu kehamilan semulajadi. Ia boleh menyebabkan pertumbuhan folikel yang banyak terutamanya jika ia tidak dipantau dan boleh menyebabkan kehamilan berganda. Ubat bagi rawatan kesuburan yang biasa diberikan untuk diambil secara oral oleh pesakit adalah clomiphene citrate manakala yang diambil secara suntikan adalah gonadotropins.
Di dalam rawatan IVF (Assisted Reproductive Technologies) beberapa embrio dipindah masuk ke dalam rahim untuk meningkatkan kadar kehamilan. Perkara-perkara yang diambil kira termasuk tekanan emosi yang dihadapi oleh pasangan yang memungkinkan pegurusan pesakit yang lebih agresif, kos rawatan IVF yang tinggi dan persaingan di kalangan doktor-doktor untuk mengekalkan kadar kehamilan yang tinggi.
Data yang dikumpul dari seluruh dunia berkenaan rawatan IVF dan penggunaan gonadotropin bagi tujuan ovulasi atau penggunaan ubat-ubatan yang lain adalah terhad. Secara umumnya di Amerika Syarikat, didapati bahawa majoriti kes kelahiran kembar adalah berikutan daripada kehamilan semulajadi (~ 60%), penggunaan ubat kesuburan (21 – 32%) dan rawatan IVF (8-16%). Bagi kes kehamilan berganda (lebih daripada kembar dua), kira-kira 20% adalah daripada kehamilan semulajadi, bantuan ubat kesuburan (39-67%) dan rawatan IVF (13 – 44%).
Oleh itu kadar kehamilan kembar secara semula jadi menyumbang kepada majoriti kelahiran berganda. Kelahiran bayi kembar daripada jumlah kelahiran yang disebabkan oleh pengambilan ubat kesuburan dan rawatan IVF adalah lebih daripada 20 kali lebih besar daripada kelahiran yang disebabkan oleh kehamilan semulajadi. Manakala kehamilan kembar berganda pula adalah 100 kali lebih tinggi dari kehamilan semulajadi.
Komplikasi akibat daripada kehamilan berganda termasuk peningkatan morbiditi bagi si ibu serta peningkatan kadar morbiditi dan kematian bagi bayi di dalam kandungan dan bayi yang baru lahir. Masalah yang boleh dihadapi oleh wanita tersebut termasuk preeclampsia, kencing manis semasa mengandung, anemia, berat badan berlebihan, hiperemesis gravidarum, kelahiran pramatang, placenta praevia, pemisahan pramatang plasenta dan pendarahan selepas bersalin.
Kebanyakan kadar morbiditi dan mortaliti bagi bayi yang baru lahir pula dikaitkan secara langsung kepada kelahiran pramatang cerebral palsy, retinopati dan displasia bronchopulmonary dan rencatan pertumbuhan janin polycythemia, hipoglisemia dan necrotizing enterocolitis.
Selain itu, tekanan emosi, fizikal dan kewangan akan meningkat dan membebankan pasangan ibu bapa ini. Kos pembiayaan untuk menjaga dan merawat pasangan kembar dua dan kembar tiga juga masing-masing meningkat kepada empat kali ganda dan sepuluh kali ganda.
Strategi-strategi yang diambil untuk mengatasi perihal ini termasuk mendidik semua pihak mengenai risiko kehamilan berganda, menggalakkan pemindahan embrio tunggal dalam rawatan IVF, diikuti oleh pemindahan embrio beku (memaksimumkan kadar kehamilan kumulatif) dan pengguguran selektif janin di atas keizinan dan pilihan pasangan itu sendiri bagi mengurang risiko morbiditi dan mortaliti terhadap ibu dan bayi-bayi tersebut.
Risiko Kepada Bayi |
Kembar 2 |
Kembar 3 |
Peratuan Kelahiran Pramatang Dengan Berat Semasa Lahir Rendah |
50% |
90% |
Kematian Pada Minggu Pertama Kelahiran |
5x lebih tinggi* |
9x lebih tinggi* |
Cerebral Palsy |
4x lebih tinggi* |
18x lebih tinggi* |
Pre-eclampsia (bagi ibu) |
3x lebih tinggi* |
9x lebih tinggi* |
*berbanding kelahiran tunggal (seorang)
Risiko Kepada Ibu |
Kembar 2 |
Kembar 3 |
pre-eclampsia |
3x lebih tinggi* |
9x lebih tinggi* |
diabetes |
2 – 3x lebih tinggi* |
|
coronary heart disease |
2x lebih tinggi** |
|
Kematian kerana kardiovaskular |
7 – 11x lebih tinggi*** |
* berbanding kelahiran seorang
**dengan kelahiran pramatang
***dengan kelahiran bayi kurang berat badan
Source: Sattar N & Greer I BMJ 2002;3255 157-160
Rujukan:
1. Multiple pregnancy associated with infertility therapy. Fertility & Sterility 2006
2. Strategies to reduce multiple pregnancies due to ovulation stimulation. Fertility & Sterility Jan. 2009
3. Multiple gestation associated with infertility therapy: an American Society for Reproductive Medicine Practice Committee Opinion. Fertility & Sterility April 2012
Semakan Akhir | : | 31 Mac 2017 |
Penterjemah | : | En. Tajul Ariffin Isa |
Akreditor | : | Dr. Noraihan Bt. Muhd Nordin |