Sakit tekak merupakan gejala yang paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak mahupun dewasa, biasanya diikuti dengan gejala bersin dan batuk. Lazimnya ia juga merupakan penyebab kita berjumpa doktor dan dikenali sebagai demam selesema di kalangan orang ramai.
Sakit tekak adalah indikasi yang kerap kepada preskripsi antibiotik dalam masyarakat, memberi kesan kepada kos penjagaan kesihatan yang penting dan boleh menjurus kepada peningkatan daya tahan antimicrobial dengan sebaran luas dan penggunaan antibiotik yang tidak sesuai.
Pada tahun 1984, kajian yang berasaskan hospital telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Kota Bharu dan Hospital Ipoh, Jangkitan Saluran Pernasafan Akut (ARIs) adalah penyebab kepada 44.1% kemasukkan pesakit paediatrik . Tanpa diragui, ARIs adalah alasan yang paling biasa untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta dan klinik pesakit luar di hospital.
Agen Penyebab
Virus merupakan penyebab yang biasa kepada masalah sakit tekak jika dibandingkan dengan patogen bakteria.
Kumpulan A Streptococci adalah bakteria yang paling biasa penyebab kepada jangkitan pada saluran tekak yang akut, kira-kira 15%-30% kes di kalangan kanak-kanak. Ia merupakan satu-satunya bentuk jangkitan tekak yang biasa di mana rawatan antibiotik diperlukan.
Tanda dan Gejala
Gejala-gelaja demam biasanya timbul pada 1 hingga 3 hari selepas terdedah kepada virus demam selsema. Tanda dan gejala demam selesema termasuklah:
- Hingus meleleh
- Gatal dan sakit tekak
- Batuk
- Rasa sesak
- Sakit-sakit badan atau sakit kepala ringan
- Kerap bersin
- Mata berair.
- Demam dengan suhu tidak terlalu tinggi
- Kepenatan
Sakit tekak yang disebabkan oleh jangkitan bakteria, tanda dan gelaja adalah seperti berikut:
- Gejala di kalangan kanak-kanak atau orang dewasa biasanya demam panas dan toksik (sakit yang lebih teruk)
Gejala
Sakit tekak secara tiba-tiba, rasa sakit semasa menelan makanan, demam, sakit kepala, sakit di bahagian abdomen, loya dan muntah.
Tanda
Tidak semua pesakit memperolehi sindrom yang teruk secara keseluruhan dan dalam banyak kes, sindrom adalah ringan dan tidak ketara. Kemerahan dan cairan pada rongga mulut dan bintikan pada lelangit (petechiae), bengkak kemerahan pada uvula, bengkak dan keras pada kalenjar limfa cervikal dan ruam.
Komplikasi
Kebanyakan sakit tekak tidak membawa apa-apa komplikasi.
Komplikasi akibat Kumpulan A Streptococcal pada jangkitan farinks termasuklah sama ada bernanah dan tidak bernanah.
Komplikasi bernanah adalah nanah pada peritonsillar (PTA) dan nanah pada retropharyngeal (RPA). Nanah pada peritonsillar adalah komplikasi yang paling biasa dalam kes jangkitan tonsil akut. Kira-kira 15-36% pesakit yang mengalami PTA adalah mereka yang pernah mengalami jangkitan oropharyngeal.
Komplikasi tanpa nanah pula termasuklah demam sakit-sakit sengal tulang akut, masalah ginjal (buah pinggang akut) dan arthritis yang reaktif. Komplikasi tanpa nanah yang paling penting ialah demam reumatik akut yang berlaku lebih kurang 3 minggu selepas streptococcal pharyngitis.
Rawatan
Perawatan sakit tekak termasuklah:
Rawatan berdasarkan gejala.
Virus merupakan agen penyebab utama dalam kes sakit tekak. Rawatan yang dibuat mengikut gejala adalah sudah memadai.
- Rawatan umum termasuklah mengekalkan pengambilan cecair (minum air) dan kumur dengan air suam.
- Pengambilan Paracetamol adalah ubat demam dan ubat tahan sakit yang efektif dan selamat. Ia merupakan pilihan ubat untuk analgesia dalam sakit tekak. Pengambilan aspirin tidak digalakkan untuk kegunaan umum terutamanya untuk kanak-kanak kerana berisiko untuk sindrom Reye’s.
- Agen Anti-Inflammatory Bukan Steriod (NSAIDs) Ibuprofen (NSAID) telah meningkat penggunaannya untuk rawatan kesakitan dan demam di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami sakit tekak.
- Lozenges (ubat kemam) untuk tekak dan ubat kumur kerap digunakan, dan ianya boleh membantu meredakan sakit tekak dan melegakan rasa ketidakselesaan tekak.
Terapi Antibiotik
Hanya sedikit peratusan sakit tekak disebabkan oleh bacteria (kumpulan A Streptococci) yang menyebabkan demam reumatik akut. Penggunaan antibiotik mengurangkan kejadian komplikasi dengan nanah dan dengan bukan nanah akibat sakit tekak. Oleh itu, bagi pesakit yang mengalami pharyngitis akut, keputusan klinikal yang biasanya perlu dilakukan adalah sama ada pharyngitis adalah berkaitan dengan Kumpulan A Streptococci.
Pesakit yang mengalami streptococcal pharyngitis akut perlu menerima terapi seperti penicillin dan penicillin semi sintetik seperti, ampicillin dan amoxicillin. Penggunaan Erythromycin adalah sesuai digunakan sebagai alternatif untuk pesakit yang alah kepada penicillin.
Rawatan Pembedahan, termasuk Tonsillectomy
Episod kejadian sakit tekak yang berulang di kalangan kanak-kanak dengan gejala halangan pernafasan seperti berdengkur mungkin memerlukan Tonsillectomy selepas mendapat rundingan pakar ENT.
Dalam kes penanahan peritonsillar atau quinsy, tanda-tanda yang memerlukan tonsillectomy adalah apabila nanah gagal menunjukkan tindakbalas kepada antibiotik yang sesuai bersama-sama dengan ‘incision’ dan ‘drainage’. Tonsillectomy juga perlu dilakukan apabila pesakit mempunyai quinsy dan mempunyai sejarah jangkitan tonsil yang berulang.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. A. Khalek Abd. Rahman |
Penyemak | : | Dr. Nor Faizah bt. Ghazali |