A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Saya Terlalu Gemuk!

Obesiti bermaksud berlebihan lemak badan.

Sejak 20 tahun yang lalu obesiti klinikal di kalangan remaja telah meningkat di serata dunia dan masalah berkaitan berat badan kini telah menjadi epidemik.

Definisi

Obesiti bermaksud berlebihan lemak badan.

Indeks Jisim Tubuh (Body Mass Index – BMI) pada atau di atas garis “95 persentil” pada carta menunjukkan tahap obes (gemuk).

BMI yang sama dengan atau lebih daripada garis “85 persentil” tetapi kurang dari “95 persentil” menunjukkan tahap berlebihan berat badan.

Parameter yang digunakan untuk menentukan kegemukan:

  1. Ukuran berat berbanding ketinggian.
  2. Ketebalan lipatan kulit. Ukuran dilakukan pada otot trisep (otot di belakang lengan atas) dengan mencubit kulit dan lemak bersama-sama mengunakan angkup. Ukuran yang lebih tinggi dijangkakan pada kanak-kanak yang berlebihan berat badan.
  3. Indeks Jisim Badan – IJB (Body Mass Index – BMI). Teknik ukuran ini adalah paling baik tetapi kurang tepat untuk remaja yang terlalu rendah atau tinggi serta kanak-kanak yang terlalu kecil.
  4. Ukur lilit pinggang, diameter sagital dan nisbah pinggang-ke-pinggul. Ukuran ini digunakan untuk menganggarkan jumlah lemak yang tersimpan di bawah kulit dan di dalam rongga perut.

Punca obes

  1. Genetik
    Ibu bapa berlebihan berat badan berisiko mempunyai anak yang berlebihan berat badan. Jika salah seorang orang tua remaja obes atau berlebihan berat badan, kemungkian remaja menjadi obes atau berlebihan berat badan adalah 80%. Berlebihan berat badan dan obes adalah disebabkan oleh kombinasi genetik, tingkah laku dan tabiat keluarga.

    Semenjak gen untuk leptin (hormon yang mengawal berat badan) ditemui satu dekad yang lalu, lebih daripada 300 bahan gen berkaitan obesiti telah dikenalpasti. Sesetengah gen dikaitkan dengan cara tubuh membakar kalori dan sesetengahnya mempengaruhi bahagian otak yang mengawal selera makan dan rasa kenyang. Manakala gen yang lain mempengaruhi kawalan simpanan lemak dalam tubuh.

  2. Persekitaran
    • Makan secara berlebihan
    • Aktiviti fizikal berkurang.
    • Banyak kajian menunjukkan kanak-kanak yang menghabiskan lebih banyak masa menonton televisyen dan bermain permainan video atau komputer berisiko tinggi menjadi obes.
  3. Masalah kesihatan
    Obesiti boleh disebabkan oleh penyakit tertentu seperti masalah endokrin dan sindrom genetik. Obesiti akibat masalah kesihatan dapat dikenalpasti oleh doktor melalui pemeriksaan fizikal dan maklumat sejarah perubatan. Kadang-kadang ujian makmal perlu dilakukan.
  4. Ubat-ubatan seperti steroid juga boleh menyebabkan berat badan meningkat.

Komplikasi obes

  • Diabetes Mellitus Jenis 2
  • Hipertensi
  • Asma
  • Penyakit jantung
  • Tahap kolesterol yang tinggi
  • Hati berlemak
  • Masalah apnea semasa tidur
  • Penyakit pundi hempedu
  • Penyakit buah pinggang/ginjal
  • Pankreatitis
  • Penyakit mata
  • Kerosakan saraf
  • Pelbagai gangguan salur pencernaan (gastrousus)
  • Pelbagai masalah rangka dan tulang (ortopedik)
    • Penyakit blount (tibia vara)
    • Artritis (radang sendi atau tisu sendi)
    • Slipped Capital Femoral Epiphyses (SCFE)
  • 80% remaja menjadi obes apabila dewasa
  • Obesiti semasa dewasa mungkin lebih teruk berbanding obesiti semasa kecil
  • Isu psikologi (kemurungan dan kurang harga diri)
  • Pseudotumor cerebri
  • Polycystic ovarian syndrome – PCOS

Bolehkah saya mengambil ubat untuk menurunkan berat badan?

Tiada sebarang ubat yang diluluskan bagi merawat obesiti di kalangan remaja. Risiko komplikasi ubat lebih tinggi berbanding faedahnya.

Apakah cara menurunkan berat badan?

  • Berat badan perlu dikurangkan secara berperingkat dan bukannya serta merta kerana badan mengambil masa untuk menjadi obes. Oleh itu, masalah obesiti tidak boleh diselesaikan dalam sekelip mata.
  • Berat badan yang unggul boleh diperoleh dengan mengawal badan daripada menjadi obes.
  • Makan bersama-sama keluarga. Jangan menonton TV semasa makan. Keluarga yang tidak makan bersama-sama cenderung mengambil lebih banyak makanan bergoreng dan minuman bersoda dan sedikit buah-buahan dan sayur-sayuran berbanding keluarga yang berkongsi makanan.
  • Tetapkan matlamat jangka pendek untuk mengubah diet dan lakukan senaman setiap minggu. Pastikan matlamat yang ditetapkan adalah realistik.
  • Rekodkan pengambilan makanan dan aktiviti senaman.
  • Berhenti makan sebelum kenyang dan kurangan pengambilan makanan apabila tidak lapar.
  • Makan makanan yang sihat, makan snek berasaskan sayur-sayuran dan buah-buahan. Kurangkan memakan makanan yang berkanji, bergoreng, minuman manis seperti minuman berkarbonat.
  • Jangan langkau waktu makan terutama sarapan pagi.
  • Lakukan aktiviti fizikal setiap hari seperti melakukan kerja-kerja rumah, berjalan ke sekolah, meletak kenderaan jauh dari bangunan dan menggunakan tangga sekerap mungkin.
  • Pembedahan bariatric seringkali dilakukan bagi remaja yang sangat obes. Apabila digabungkan dengan sokongan psikologi dan pemakanan, pembedahan boleh mengurangkan berat badan dengan ketara dan berkekalan.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Hargeet Kaur a/p Basant Singh
Akreditor : Dr. Wan Fadhilah binti Wan Ismail
Penyemak : Dr. Nazhatussima bt. Suhaili

Artikel Berkaitan

  AKTIVITI BERSTRUKTUR UNTUK KANAK-KANAK ADHD Kajian menunjukkan kanak-kanak ADHD

Pn. Khadijah Bt. Minhat

Pengalaman kerja       : 2002-Kini Jawatan                       : Pegawai Psikologi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,089

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia