Pengenalan
Selesema dan batuk merupakan gejala biasa dan kerap dihidapi oleh penduduk di dunia. Secara purata, golongan dewasa biasanya mengalami selesema 2 ke 5 kali jangkitan setahun manakala golongan kanak-kanak dan geriatrik pula mengalami jangkitan pada kadar yang lebih tinggi. Secara semulajadi, selesema dan batuk merupakan mekanisme pertahanan diri yang biasa berlaku untuk mencegah jangkitan kuman. Di dalam terminologi perubatan, batuk didefinisikan sebagai tindak balas refleks yang distimulasikan oleh keradangan pada permukaan mukosa pernafasan di saluran paru-paru dan tekak. Batuk tidak akan merosakkan paru-paru malah ia membantu membersihkan paru-paru dan saluran udara anda daripada bendasing yang telah memasuki rongga hidung dan tekak melalui tindakan refleks tersebut.
Punca
Penyebab utama gejala selesema dan batuk ialah virus yang menjangkiti saluran pernafasan atas di kawasan hidung, faring (tekak) dan laring. Berdasarkan lebih daripada 100 jenis virus yang menjadi punca jangkitan, Rhinovirus dan Coronavirus merupakan virus yang kerap menyebabkan jangkitan. Anda mungkin juga diserang selesema dan batuk disebabkan oleh reaksi alahan yang berpunca daripada habuk, asap, debunga, wangian dan bulu haiwan. Selain itu, faktor cuaca seperti cuaca yang terlalu panas atau sejuk serta sistem imun yang rendah akan melemahkan pertahanan badan menyebabkan badan lebih mudah dijangkiti oleh bakteria atau virus.
Simptom Dan Tanda Jangkitan
Tanda awal selesema akan berlaku apabila kerongkong mula menjadi kering dan sakit, badan menjadi lemah dan berasa seram sejuk serta diikuti oleh simptom-simptom seperti berikut :
- Hidung berair : biasanya cecair berwarna jernih, diikuti dengan pengeluaran mukus yang lebih pekat dan likat.
- Penyumbatan hidung : berlaku disebabkan iritasi dan pembengkakan salur darah. Ini akan menyebabkan penyempitan saluran hidung dan pengeluaran mukus akan menyebabkan pesakit bersin.
- Batuk : berlaku akibat iritasi pada faring. Pada peringkat awal, batuk biasanya kering dan tidak berkahak. Peringkat seterusnya, kongesi bronkus yang teruk akan menyebabkan batuk yang teruk dan berkahak. Bagi kanak-kanak pula, berlaku peningkatan suhu badan, hilang selera makan serta muntah apabila ia mula batuk.
- Sakit telinga : berlaku akibat penghasilan mukus di belakang gegendang telinga menyebabkan sakit telinga dan deria pendengaran terganggu serta berkurangan deria rasa dan bau.
- Sakit kepala : berlaku akibat radangan dan kongesi terhadap saluran hidung dan sinus.
Rawatan Dan Pencegahan
Secara amnya, batuk dan selesema tidak memerlukan rawatan perubatan yang khusus untuk penyembuhan. Tujuan rawatan adalah untuk melegakan simptom, mengelakkan komplikasi serta mengurangkan atau mengelakkan ia berjangkit. Oleh itu, ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan hanya akan memberi kelegaan sementara ketika sistem pertahanan badan cuba melawan dan menghapuskan serangan virus tersebut. Ubat-ubatan yang sering digunakan dalam rawatan selesema dan batuk adalah seperti berikut:
Jenis | Contoh Ubat | Fungsi |
Dekongestan | Pseudoephedrine, phenylephrine, oxymetazoline | Membuka laluan dan melegakan hidung tersumbat melalui pengeluaran mukus, Ini akan membantu meningkatkan pernafasan. |
Penahan batuk (Cough suppressants) | Dextromethorphan | Digunakan untuk merawat batuk tidak berkahak (kering). Melegakan dan mengurangkan kekerapan batuk yang kering dan menyakitkan. |
Ekspektoran | Guaifenesin | Digunakan untuk merawat batuk berkahak (basah). Membuka laluan hidung tersumbat dengan mencairkan dan membantu mengeluarkan kahak melalui batuk. Ia yang akan membantu meningkatkan pengedaran udara pernafasan |
Agen mukolitik | Bromhexine | Membantu mencairkan mukus untuk memudahkan pengeluaran mukus |
Antihistamin (anti-alahan) | Loratadine, chlorpheniramine, brompheniramine, triprolidine | Mengurangkan simptom selesema seperti gatal, bersin dan hidung berair |
Antipiretik/ analgesik | Acetaminophen, ibuprofen | Melegakan demam dan mengurangkan rasa sakit kepala |
Lain-lain | Diphenhydramine | Membantu tidur dan mengurangkan batuk |
Beberapa tips untuk mencegah dan mengurangkan jangkitan batuk dan selesema adalah seperti berikut :
- Selalu menjaga kebersihan diri terutama membasuh tangan dengan bersih, menutup mulut ketika batuk atau bersin, mengelap hidung menggunakan tisu pakai buang dan tidak meletak tisu yang telah digunakan merata-rata.
- Jauhi tempat yang sesak dengan orang ramai terutama mereka yang batuk dan bersin.
- Makan makanan yang seimbang, elakkan daripada merokok dan mengambil alkohol.
- Minum air yang mencukupi sekurang-kurangnya 8 gelas sehari untuk kekalkan hidrasi badan. Pengambilan air masak, jus buah-buahan dan minuman lain seperti teh dapat membantu mengelakkan kekeringan atau dehidrasi pada hidung dan tekak.
Panduan Rawatan
Berikut adalah beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian mengenai ubat-ubatan yang digunakan dalam rawatan selesema dan batuk.
- Pengguna perlu membaca label pada produk sebelum memulakan rawatan. Ini kerana kebanyakkan produk-produk untuk rawatan selesema dan batuk di pasaran mengandungi bahan aktif (tunggal/kombinasi) yang mempunyai fungsi yang sama walaupun jenama produk berbeza. Sesetengah herba dan produk di kaunter juga mungkin mengandungi ramuan ubat yang sama untuk rawatan selesema dan batuk. Pengambilan ubat secara dos berganda mahupun polifarmasi tidak akan membantu dalam rawatan penyakit ini malah meningkatkan risiko kesan sampingan pesakit.
- Anda tidak seharusnya hanya bergantung kepada bahan bacaan, kefahaman sendiri dan mengikuti arahan penggunaan ubat semata-mata. Pemilihan produk bukan hanya berdasarkan keberkesanan ubat tersebut tetapi juga harus mengambil kira kesan sampingan yang mungkin berlaku. Pastikan anda tahu cara penggunaan, jangkamasa pengambilan, kesan terapi serta kesan sampingan yang dijangkakan dengan mendapat nasihat daripada mereka yang berkelayakan seperti ahli farmasi atau pengamal perubatan.
- Sekiranya simptom berlanjutan atau mula berlakunya komplikasi, anda haruslah berjumpa dengan pegawai perubatan untuk rawatan lanjut.
- Mengambil terlalu banyak ubat antipiretik/analgesik boleh membawa kepada masalah kesihatan yang serius seperti pendarahan dan ketoksikan hati. Ubat-ubat ini perlu diambil apabila diperlukan sahaja dan perlu dihentikan selepas simptom lega.
- Ubat-ubatan seperti antihistamin pula boleh memberi kesan sampingan mengantuk kepada pesakit. Pesakit perlu berehat dan elakkan pengendalian kenderaan atau mesin ketika mengambil ubat ini.
- Ubat-ubatan ini tidak boleh diberikan kepada kanak-kanak di bawah dua tahun tanpa pengawasan atau arahan daripada pegawai perubatan. Pihak Berkuasa Kawalan Dadah tidak lagi mendaftarkan produk batuk dan selesema untuk kegunaan kanak-kanak di bawah dua tahun kerana kerana laporan kesan sampingan yang serius serta kekurangan kajian yang membuktikan keberkesanan dan keselamatan ubat-ubatan ini dalam golongan kanak-kanak.
- Penggunaan antibiotik tidak dapat merawat jangkitan virus penyebab penyakit selesema dan batuk. Penggunaannya yang tidak terkawal dan berleluasa boleh meningkatkan kerintangan ubat antibiotik kepada pesakit. Sistem pertahanan badan adalah senjata yang terbaik untuk melawan serangan virus ini.
Kesimpulan
Penyakit selesema dan batuk biasanya bersifat sementara dan boleh sembuh dengan sendiri. Rawatan pengubatan bertujuan membantu pesakit mengatasi ketidakselesaan dan meningkatkan fokus dalam aktiviti harian. Pengubatan kendiri dan pengubatan tanpa preskripsi dalam rawatan selesema dan batuk membolehkan ubat-ubatan berkenaan diperolehi dengan mudah. Walau bagaimanapun, pengguna boleh terdedah kepada risiko kesan sampingan yang serius sekiranya ubat-ubatan ini diambil tanpa panduan. Jadilah pengguna yang bijak dan dapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau pengamal perubatan dalam memilih atau menggunakan ubat-ubatan ini.
Semakan Akhir | : | 02 September 2013 |
Penulis | : | Farahwahida bt. Mohd Kasim |