Pengenalan
Kanta lekap merupakan alat untuk membetulkan rabun sama seperti cermin mata. Perbezaannya adalah ia lebih kecil dan dipakai terus ke atas mata (kornea).
Mengikut Utusan Online bertarikh 23/3/2013, jumlah pengguna kanta lekap di enam pasaran utama iaitu China, Malaysia, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura mencecah 846 juta pada tahun 2012.
Mengapa begitu ramai yang memilih kanta lekap? Tidakkah menggunakan cermin mata itu lebih mudah?
Antara kelebihan kanta lekap adalah pemakai dapat melakukan aktiviti fizikal yang lasak dengan bebas tanpa risau cermin mata akan jatuh dan rosak. Pemakai juga berasa lebih yakin dan kelihatan lebih bergaya sekiranya digayakan dengan cermin mata gelap mengikut citarasa / fesyen yang diinginkan.
Walau apapun alasan yang diberikan untuk memakai kanta lekap, kita perlu tahu apakah fungsi sebenar kanta lekap itu dicipta. Ia adalah suatu teknologi yang dicipta untuk mendapatkan penglihatan mata yang lebih jelas.
Perlu ditekankan bahawa kanta lekap merupakan ALTERNATIF, bermaksud ia bukan rawatan utama yang akan disarankan oleh optometris sekiranya anda rabun.
Rajah 1 : Beza Antara Kanta Lekap Lembut Dan Kanta Lekap Separa Keras
Siapa yang akan mendapat manfaat daripada pemakaian kanta lekap?
1. Individu yang mempunyai rabun yang tinggi.
- Rabun jauh, rabun dekat dan rabun silau (astigmatisma)
- Kuasa refraksi yang berbeza antara kedua-dua belah mata (lebih daripada 2.00 D). Ini akan menyebabkan ketidakseimbangan pada penglihatan. Individu yang mengalami masalah ini biasanya berasa tidak selesa menggunakan cermin mata. Kanta lekap dapat memberikan penglihatan yang lebih baik kepada mereka.
- Rabun disebabkan aphakia : aphakia ialah keadaan mata yang tidak mempunyai kanta kristalin. Ia boleh berlaku sama ada pada satu mata atau kedua-dua mata selepas pembedahan katarak atau pun dihidapi sejak lahir. Dalam situasi ini, sekiranya anda memakai cermin mata, anda pasti tidak kelihatan menarik disebabkan kanta cermin mata yang terlalu tebal. Cermin mata itu juga berat dan membataskan medan penglihatan.
Rajah 2 : Gambar Pesakit Kanak-Kanak Memakai Cermin Mata Aphakia
Rajah 3 : Gambar Pesakit Dewasa Memakai Cermin Mata Aphakia
2. Individu Yang Memakai Cermin Mata Dan Gemar Menyertai Sukan Terutama Sukan Lasak.
Kanta lekap lembut adalah lebih praktikal digunakan semasa bersukan. Ia meningkatkan keyakinan diri, memberi penglihatan yang lebih jelas dan mengurangkan berisiko untuk mendapat kecederaan mata semasa bersukan berbanding cermin mata.
3. Individu Yang Mempunyai Masalah Kornea Seperti :
- Keratokonus – merupakan keadaan kornea yang tidak normal dan mengalami penipisan secara progresif. Pesakit keratokonus biasanya mempunyai rabun yang luar biasa tinggi dan ini tidak boleh dibetulkan dengan cermin mata. Ini disebabkan cermin mata tidak lagi dapat memberi kepuasan kepada penglihatan disebabkan oleh biasan cahaya yang terhasil daripada bentuk kornea yang tidak sekata. Biasanya kanta lekap separa keras akan digunakan untuk membetulkan keadaan ini.
- Astigmatisma (rabun silau) yang tidak sekata pada kornea – mungkin disebabkan oleh kecederaan pada kornea atau pesakit yang telah menjalani pembedahan transplan kornea.
4. Individu Yang Ingin Menutup Cela Pada Mata
- Kanta lekap prostetik digunakan untuk tujuan menutup kecacatan pada kornea. Sebagai contoh, kecederaan pada kornea mengakibatkan kornea tidak lagi jernih seperti normal. Hasilnya, kornea menjadi berkabut dan mata hitam menjadi putih. Keadaan ini menyebabkan pesakit berasa malu dan hilang keyakinan diri.
- Dalam kes ini, kanta lekap prostetik berupaya menutup kecacatan kornea dan membaiki penampilan pemakai. Dengan itu, ia dapat meningkatkan keyakinan diri individu untuk berhadapan dengan masyarakat.
Rajah 4 : Keadaan Kecacatan Pada Kornea Mata
Rajah 5 : Keadaan Mata Selepas Memakai Kanta Lekap Prostetik
Kebelakangan ini, terdapat lambakan kanta lekap berwarna bagi tujuan kosmetik di pasaran. Kanta lekap berwarna tersebut amat mudah diperoleh dengan harga yang sangat murah. Ia berpunca daripada lemahnya penguatkuasaan terhadap penjualan dan pembelian kanta lekap tersebut.
Pengguna tidak mendapat maklumat yang tepat berkaitan penggunaan kanta lekap. Akhirnya timbul gejala seperti mata merah, berair, gatal dan kabur penglihatan. Kesan yang lebih teruk adalah parut kekal yang disebabkan oleh ulser kornea yang boleh membawa kepada kebutaan.
Sebelum anda memutuskan untuk memakai kanta lekap, anda hendaklah mendapatkan pemeriksaan yang komprehensif daripada optometris yang bertauliah (rujuk). Dari situ anda akan mendapat maklumat yang tepat mengenai kuasa cermin mata dan kanta lekap anda.
Sebagai pengguna juga anda patut tahu dan sedar akan hak anda (rujuk artikel Hak Sebagai Pengguna Kanta Lekap). Memilih kanta lekap juga sama seperti membeli kasut atau baju kemeja. Terdapat pelbagai saiz dan kita perlu selesa ketika memakainya.
Kanak-Kanak Juga Boleh Memakai Kanta Lekap
Tiada masalah untuk kanak-kanak memakai kanta lekap. Pemeriksaan yang menyeluruh akan dijalankan keatas kanak-kanak sama seperti yang dijalankan keatas orang dewasa.
Optometris akan memberi nasihat yang lengkap bermula dari cara pemakaian, penjagaan mata dan kanta lekap, penjagaan kebersihan serta jadual pemakaian. Apa yang lebih penting ialah kesediaan dan motivasi yang tinggi dari ibu bapa atau penjaga kanak-kanak terbabit untuk komited dalam menguruskan kanta lekap tersebut.
Tidak ada umur yang spesifik untuk kanak-kanak mula memakai kanta lekap. Ia boleh terjadi seawal yang mungkin bergantung kepada keadaan penyakit mata atau masalah penglihatan kanak-kanak tersebut.
Adakah Semua Orang Boleh Memakai Kanta Lekap?
Tidak semua orang sesuai menggunakan kanta lekap. Sebelum seseorang individu menggunakan kanta lekap, mereka harus menjalani beberapa siri pemeriksaan mata oleh Optometris untuk memastikan tahap kesihatan mata mereka.
Secara umum, individu yang dikenal pasti tidak boleh memakai kanta lekap adalah :
- Orang yang mengalami alahan
- Pesakit diabetes
- Masalah mata kering yang teruk
- Mereka yang tidak dapat mengikuti arahan pemakaian kanta lekap yang selamat
- Mereka yang bekerja di persekitaran yang tercemar dengan habuk atau bahan kimia
- Mereka yang gagal mempamerkan tahap kebersihan yang tinggi
Hanya individu yang telah menjalani pemeriksaan mata dan dikenal pasti betul-betul layak sahaja yang boleh memakai kanta lekap.
Kesedaran Pengguna
Memakai kanta lekap bukanlah satu kesalahan. Begitu juga memakai kanta lekap berwarna. Namun kesedaran amat penting di kalangan pengguna lebih-lebih lagi bagi golongan remaja yang mudah terikut dengan trend semasa.
Aturan penggunaan, penjagaan kebersihan dan keselamatan adalah aspek terpenting yang mesti dipatuhi sepanjang masa. Ia bertujuan bagi mengelakkan sebarang risiko jangkitan dan kecederaan pada mata.
Rujukan
1. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0615&pub=utusan_malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm
2. http://www.utusan.com.my/utusan/Ekonomi/20130323/ek_03/Pengguna-kanta-sentuh-cecah-846j-tahun-lalu
Semakan Akhir | : | 20 Jun 2014 |
Penulis | : | Pn. Syuhairah bt Hamzah |
Akreditor | : | Pn. Nor Azizah Binti Ismail |