A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Suara Perlahan

Individu yang bermasalah suara perlahan boleh diatasi. Jika terdapat individu yang bermasalah suara yang perlahan dan individu tersebut ingin memulihkan suara perlahan kepada suara yang sesuai boleh merujuk kepada terapis pertuturan-bahasa.

Pengenalan

Suara merupakan salah satu elemen penting ketika bertutur. Sesetengah individu tidak mengambil kisah bagaimana keadaan suara yang dihasilkan ketika bertutur selagimana tidak menganggu apa yang hendak disampaikan. Namun begitu, terdapat juga masalah suara yang boleh menganggu sesorang ketika bertutur sehingga tidak difahami apa yang ingin disampaikan. Salah satu daripada masalah suara tersebut adalah masalah suara yang perlahan.

Tahap-tahap kekuatan suara

Menurut Boone, D. R (2000), terdapat lima peringkat untuk mengenal pasti tahap kekuatan suara seseorang iaitu:

Kekuatan suara tahap 1: Berbisik
Kekuatan suara tahap 2: Perlahan atau suara “confidential”
Kekuatan suara tahap 3: Perbualan normal
Kekuatan suara tahap 4: Suara kuat (didengari sejauh 20 ke 30 kaki)
Kekuatan suara tahap 5: Menjerit

Tahap-tahap kekuatan suara ini membolehkan kita untuk mengetahui kesesuaian suara yang patut digunakan.

Faktor-faktor penyebab

Faktor-faktor penyebab bagi individu yang bersuara perlahan adalah:-

  1. Fizikal
    Faktor fizikal lebih berkaitan dengan keadaan peti suara. Peti suara individu yang bersuara perlahan berkemungkinan mempunyai fungsi pergerakan otot yang lemah. Contoh-contoh penyakit yang boleh menyebabkan suara menjadi perlahan adalah :-

    • Strok atau cerebral Vascular accident (CVA)
      Apabila seseorang individu itu diserang strok, otot-otot badan mula menjadi lemah. Begitu juga otot peti suara mereka. Pergerakan peti suara boleh lemah di sebelah bahagian atau kedua-duanya.

    • Presbyphonia
      Apabila seseorang itu semakin berusia, proses penuaan mula berlaku. Begitu juga dengan keadaan peti suara. Keanjalan otot peti suara mula menurun mengikut pertambahan usia menyebabkan penghasilan suara semakin lemah dan perlahan. Suara perlahan disebabkan proses penuaan ini disebut presbyphonia
    • Kanser
      Individu yang menghidap kanser dan memerlukan rawatan kemoterapi juga berisiko mempunyai suara yang perlahan. Ini kerana rawatan tersebut menyebabkan individu tersebut sentiasa dahaga dan tekak berasa kering. Badan yang lemah selepas melakukan rawatan tersebut juga menyebabkan suara yang terhasil menjadi perlahan.
    • Masalah Tiroid (thyroid)
      Masalah suara perlahan wujud selepas pembedahan membuang tiroid telah dijalankan. Selepas pembedahan individu ini perlu menjalani sesi terapi suara bagi memulihkan pergerakan peti suara yang berkemungkinan lemah.
  2. Sosial dan psikologi
    • Kurang yakin atau gementar
      Suara perlahan juga boleh disebabkan oleh masalah dalaman atau psikologi seseorang. Individu tersebut berkemungkinan berasa kurang yakin atau gementar. Sebagai contoh kita boleh lihat situasi di dalam kelas. Seorang murid yang terlalu gementar atau kurang yakin akan lebih cenderung menggunakan suara perlahan. Terutamanya ketika menjawab soalan gurunya. Apatah lagi sekiranya guru itu seorang yang garang.
    • Malu
      Perasaan malu juga boleh mempengaruhi seseorang individu itu untuk menggunakan suara yang perlahan.
      Sosial dan psikologi
  3. Persekitaran
    Faktor persekitaran banyak mempengaruhi personaliti seseorang. Begitu juga individu-individu yang bersuara perlahan. Di antara faktor-faktor persekitaran yang boleh dilihat adalah seperti latar belakang keluarga, tempat tinggal dan sekolah. Contohnya, jika di rumah kita boleh lihat bagaimana personaliti ibu bapa atau adik-beradik berinteraksi antara satu sama lain. Ibu bapa yang agak pendiam cenderung untuk mempengaruhi seseorang anak itu bersuara perlahan.
    Persekitaran
  4. Kesedaran diri
    Segelintir individu yang bersuara perlahan tidak menyedari yang dirinya mempunyai masalah ini. Ini kerana mereka tidak berasa yang suara perlahan itu satu masalah. Walaupun ada yang memintanya untuk mengulangi apa yang dituturkan. Mereka lebih beranggapan bahawa orang berkenaan tidak mendengar dengan baik.

Strategi untuk membantu individu bersuara perlahan

Bagaimanakah cara untuk membantu individu yang bersuara perlahan ini? Kebiasaannya, ia bergantung kepada punca masalah tersebut. Berikut dicadangkan beberapa strategi yang boleh digunakan untuk mereka yang bersuara perlahan.

  1. Mengenal pasti kekuatan suara
    Suara boleh dikenal pasti dengan mengetahui tahap kekuatan suara (tahap 1 hingga 5). Selain itu, inidividu yang bermasalah suara perlahan boleh mengenal pasti tahap kekuatan suara dengan menggunakan skala nombor (1 hingga 10) seperti di bawah :
  1. Vocal warm-upSebelum menggunakan suara, individu ini boleh mengunakan kaedah ini bagi mendapatkan kualiti suara yang lebih baik. Kaedah ini meliputi:-
    • Pusingkan bahu
    • Goyangkan tangan
    • Urut pipi dan leher
    • Goyangkan kepala

    Pernafasan juga memainkan peranan penting. Tarik nafas melalui hidung dan hembus melalui mulut. Pastikan bahu berada dalam kedudukan yang tetap. Kawal pergerakan perut ketika menarik dan menghembus nafas. Kawalan pernafasan yang baik menjadikan penghasilan suara lebih optimum.

  1. Bukaan mulut
    Individu yang bermasalah suara perlahan boleh menggunakan kaedah bukaan mulut bagi menguatkan dan menjelaskan suara.

    • Mengira
      Cuba kira 1 hingga 10 dengan menggunakan bukaan mulut yang kecil. Kemudian cuba pula dengan bukaan mulut yang besar. Latihan dilakukan di hadapan cermin bagi melihat bukaan mulut yang dikehendaki bagi kekuatan suara yang sesuai. Rakaman video atau suara juga boleh digunakan bagi mendengar semula latihan ini.
    • Membezakan suara
      Setelah suara yang dikehendaki telah dibezakan, individu tersebut perlu memilih suara yang sesuai. Setelah itu, cuba kekalkan suara yang dikehendaki ketika menyebut ayat atau cerita pendek.
  1. Postur badan
    Individu yang bemasalah suara pelahan mungkin melibatkan postur yang kurang sesuai. Postur badan tertentu boleh menjadikan suara itu lebih kuat atau perlahan. Bagi menghasilkan suara yang kuat individu itu boleh mencuba berdiri dalam keadaan postur berikut :-

    • Berdiri tegak
    • Dada kehadapan
    • Muka tegak memandang hadapan
    • Bahu tetapSetelah postur badan yang sesuai ditetapkan, cuba sebut beberapa perkataan dengan bukaan mulut yang luas.
  1. Tindak balas visual (visual feedback)Kaedah ini memerlukan individu ini melihat tahap suara yang dikehendaki. Kebiasaannya, ia mengunakan peralatan seperti perisian komputer yang sesuai bagi membantu mengawal penghasilan kekuatan suara. Gambarajah juga boleh digunakan bagi membantu individu ini melihat tahap suara yang dikehendaki.

Terapi yang berkesan bagi individu bermasalah suara adalah dengan menggunakan kepelbagaian kombinasi teknik terapi suara. Ia mungkin sesuai bagi individu tertentu dan tidak sesuai dengan individu yang lain. Kombinasi kaedah terapi dapat mengoptimumkan cara seseorang yang bermasalah suara perlahan itu menghasilkan suara yang lebih baik dan sesuai.

Kesimpulannya, individu yang bermasalah suara perlahan boleh diatasi. Jika terdapat individu yang bermasalah suara yang perlahan dan individu tersebut ingin memulihkan suara perlahan kepada suara yang sesuai boleh merujuk kepada terapis pertuturan-bahasa.

Rujukan

  1. Boone, D.R & Wiley, K.D. (2000), The Boone Voice Program for Adults
  2. http://www.slideshare.net/sahughes/voice-therapy
  3. https://www.pinterest.com/pin/116249234103833147/
  4. https://www.teacherspayteachers.com
  5. www.succeedsocially.com When Having A Quite Voice Hampers Your Social Success, 2015.
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Haryani bt. Harun
Akreditor : Wahida bt. Mohd Abdul Wahab
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

Artritis

Pengenalan Walaupun arthritis bermaksud radang tulang, ia sebenarnya merujuk kepada

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,128

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia