Apakah yang dimaksudkan dengan tantrum ?
Tantrum bermaksud luahan ketidakpuasan hati kanak-kanak atau tekanan yang dihadapi sehingga tidak tertanggung lagi. Ia merupakan luahan kemarahan kanak-kanak dan ada kalanya bercampur dengan rasa takut. Ianya lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak yang berumur 2-4 tahun. Sesetengah kanak-kanak akan kerap mendapat tantrum dan setengahnya pula terjadi sesekali sahaja bergantung pada keadaan individu tersebut.
Apakah tanda dan gejala tantrum ?
Kanak-kanak yang mengalami tantrum, menunjukan tingkahlaku seperti berikut:
- Menangis
- Menjerit
- Menendang
- Menghentak
- Menahan nafas
- Melontar benda atau barang
Apakah yang menyebabkan tantrum berlaku ?
Tantrum biasanya berlaku apabila kanak-kanak itu:
- Berasa letih, lapar atau tidak selesa
- Tidak mendapat apa yang dikehendaki
- Untuk mendapatkan perhatian
Bagaimana tantrum dapat ditangani ?
Tip berikut mungkin dapat membantu:
- Elakkan berada dalam keadaan yang menjurus ke arah tantrum tersebut jika boleh. Contoh : jauhkan daripada objek yang kanak-kanak dapat capai. Cuba alih perhatian kanak-kanak itu jika perlu.
- Perlu diingat, terutama bagi kanak-kanak, layanan negatif yang diterimanya (contoh membiarkan diri dimarahi oleh ibu bapa) adalah lebih baik daripada tidak mendapat layanan.
- Memberi penghargaan adalah lebih elok daripada melayan kanak-kanak ketika mereka sedang tantrum.
- Tenangkan diri. Tantrum kanak-kanak akan bertambah teruk jika kita sendiri berada dalam keadaan tidak tenang.
- Perlu tegas dan konsisten.
- Cari penyebab berlakunya baran tersebut dan cuba selesaikan secara beransur – ansur.
- Jika kanak-kanak itu mendapat tantrum disebabkan dia ingin memiliki sesuatu yang dia tidak dapat, biarkan dan jangan layan kehendaknya tetapi perlu diawasi supaya dia berada dalam keadaan selamat.
- Masa rehat (Time out )
Jika tantrum menjadi lebih buruk, time out (masa rehat) boleh dilakukan pada kanak – kanak yang berumur lebih daripada 3 tahun. Alihkan kanak-kanak itu dari situasi tersebut dan letakkan dia di satu sudut yang membosankan contohnya di atas kerusi dalam satu jangka masa tertentu: biasanya 1 minit untuk setiap tahun umurnya. Lakukan sebegitu sehingga dia dapat menenangkan diri. Beritahu dia kenapa dia perlu berbuat demikian. Bila kanak-kanak itu sudah selesai di beri masa rehat, jangan marah dia lagi, beri pujian kepadanya kerana beliau dapat menenangkan diri dan dapat mengawal dirinya sendiri.
Semakan Akhir | : | 10 Mei 2024 |
Penulis | : | Dr. Eni Rahaiza binti Muhd Ramli |
Penyemak | : | Dr. Muhammad Fadzly bin Marzuki |