Apakah Temujanji Dan Mengapa Diperlukan?
-
Temujanji adalah satu proses di mana anda akan diberikan tarikh dan masa sebelum sesuatu pemeriksaan radiologi dilakukan.
-
Oleh itu, pesakit hendaklah hadir pada hari dan waktu yang telah ditetapkan dengan mengikuti segala arahan yang telah diberikan.
-
Berikut adalah sebab-sebab mengapa sesetengah pemeriksaan memerlukan temujanji:
-
Supaya setiap pemeriksaan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan teratur.
-
Jumlah fasiliti yang terhad tetapi permohonan pemeriksaan yang tinggi
-
Untuk melihat perkembangan sesuatu penyakit (contohnya: pemeriksaan mamografi yang memerlukan pemeriksaan ulangan setiap 6 bulan atau sekali setahun).
-
Supaya anda dapat membuat persediaan untuk sesuatu pemeriksaan (contohnya: anda perlu berpuasa 4 atau 6 jam sebelum pemeriksaan).
-
Apakah Pemeriksaan Yang Memerlukan Temujanji?
-
Temujanji yang dilakukan di Jabatan Pengimejan Diagnostik (X-ray) biasanya untuk pemeriksaan khas. Di antara contoh pemeriksaan khas yang memerlukan temujanji adalah:
-
Ultrasound.
-
Imbasan CT (Computed Tomography Scan).
-
Imbasan MR (Magnetic Resonance Imaging, MRI).
-
Floroskopi (kajian barium atau pemeriksaan histerosalpingografi).
-
Biasanya pemeriksaan radiografi am tidak memerlukan temujanji. Pemeriksaan akan terus dilakukan apabila anda menghadirkan diri di Jabatan Pengimejan Diagnostik.
Bagaimanakah cara mendapatkan temujanji dan dimana?
-
Sekiranya doktor yang merawat mendapati anda perlu menjalani pemeriksaan X-ray khas, beliau akan melengkapkan Borang Permohonan Radiologi dan menyerahkan borang ini untuk dibawa ke Jabatan Pengimejan Diagnostik.
-
Apabila juru X-ray menerima borang tersebut, juru X-ray yang bertugas di kaunter akan menyemak borang permohonan itu.
-
Sekiranya borang telah lengkap, tarikh dan masa yang bersesuaian akan diberikan. Jika tarikh yang diberikan kurang sesuai anda boleh berbincang untuk mendapatkan tarikh yang lebih sesuai bagi kedua-dua pihak.
-
Juru X-ray akan memberikan penerangan mengenai prosedur pemeriksaan. Anda boleh mengajukan sebarang soalan sekiranya memerlukan penjelasan lanjut.
-
Borang persediaan akan dikembalikan kepada anda. Anda perlu membawa borang permohonan ini pada hari pemeriksaan.
-
Pastikan anda mematuhi segala arahan persediaan seperti yang ditetapkan.
Mengapa temujanji saya lambat?
-
Sekiranya terdapat banyak permohonan untuk sesuatu pemeriksaan khas, waktu temujanji anda mungkin akan diberikan lambat kerana slot temujanji telah penuh.
-
Ada juga kemungkinan penyakit anda memerlukan tempoh masa yang tertentu seperti setiap 6 bulan.
-
Namun bagi kes-kes kecemasan dan kes segera akan dilakukan secepat mungkin.
Mengapa setiap temujanji perlu mengikut masa yang tertentu?
-
Sesetengah hospital memberikan temujanji secara berperingkat.
-
Temujanji berperingkat adalah temujanji yang diberikan mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan.
-
Pastikan anda mengikuti waktu yang ditetapkan. Anda juga adalah digalakkan untuk hadir 30 minit lebih awal bagi urusan pendaftaran dan perkara-perkara lain.
-
Kebaikan temujanji berperingkat;
-
giliran pesakit dapat disusun secara sistematik.
-
keadaan unit pemeriksaan menjadi lebih selesa kerana tidak sesak.
-
pesakit tidak perlu menunggu untuk jangka masa yang lama sekiranya datang mengikut masa yang telah ditetapkan.
-
rawatan yang lebih berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.
-
masalah kekurangan tempat duduk dan tempat meletak kenderaan dapat dikurangkan.
-
-
Jika ada tarikh yang perlu diubah, sila hubungi hospital berkenaan untuk mendapatkan tarikh baru.
-
Pihak hospital akan memaklumkan kepada anda jika tarikh temujanji yang telah diberikan perlu diubah. Oleh itu, anda perlu melengkapkan maklumat diri dan nombor telefon yang mudah dihubungi ketika sesi pendaftaran.
Semakan Akhir | : | 9 Jun 2014 |
Penulis | : | Erliananiza binti Mohd Salim |
Akreditor | : | Mohd Zin bin Yusof |