Bercakap merupakan salah satu cara komunikasi yang biasa digunakan masyarakat. Setiap ibu bapa pasti menginginkan anak-anak mereka bercakap secepat dan selancar yang mungkin. Kemahiran bercakap penting kepada anak-anak untuk pelbagai tujuan. Antaranya untuk menyatakan keinginan, meluahkan perasaan, belajar, bertanya dan bermain bersama rakan sebaya. Namun begitu, sesetengah ibu bapa kurang sedar tentang pentingnya cara yang berkesan, komitmen dan dedikasi yang berterusan dalam membantu anak-anak supaya cepat dan pandai bercakap. Berikut merupakan beberapa tips untuk ibu bapa bagi membantu anak mereka pandai bercakap:
- Memastikan Kontak Mata Sewaktu Komunikasi
Kontak mata merupakan elemen penting sewaktu komunikasi. Kontak mata bermaksud saling melihat ke arah mata antara dua individu yang sedang berkomunikasi. Dalam hal ini, maka ibu bapa perlu bertentang mata dengan anak apabila berkomunikasi. Dengan adanya kontak mata maklumat yang disampaikan lebih berkesan. Bagi kanak-kanak, mereka belajar dengan meniru perlakuan mahupun pertuturan orang dewasa. Jadi, apabila anak-anak melihat kepada muka orang yang sedang bercakap, maka lebih mudah untuk mereka meniru gerakan mulut dan perkataan yang digunakan oleh orang dewasa. Selain itu, membuat kontak mata sewaktu komunikasi juga dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Untuk mendapat kontak mata yang berkesan, ibu bapa perlu memastikan aras mata mereka dan anak adalah selari. Ibu bapa mungkin perlu duduk sambil merendahkan badan di hadapan anak. Kadang-kala ibu bapa boleh meniarap bersama anak supaya mendapat kontak mata yang sesuai. Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menghasilkan kontak mata adalah bermain ‘Ba ba cak’ (Peeka Boo!) , ‘High 5’, menyanyi dan sebagainya.
- Bercakap Dengan Suara Berlagu
Bercakap menggunakan suara berlagu merupakan cara biasa orang dewasa bercakap dengan anak-anak kecil. Cara ini mudah menarik perhatian anak-anak. Ini kerana apabila ibu bapa bercakap dengan nada berlagu, anak-anak mudah memahami perkataan yang disebut. Mereka mendengar suara yang berubah-ubah dari segi kekuatan, kenyaringan dan kepanjangan. Cara ini menggalakkan anak-anak mendengar lebih lama. Bercakap dengan nada berlagu boleh dilakukan sepanjang waktu ibu bapa bersama dengan anak. Antaranya, sewaktu sedang memanggil nama anak, menukar lampin anak mahupun sewaktu menyuapkan makanan anak.
- Bercakap Tentang Aktiviti Seharian
Ketika kecil, anak-anak bergantung dan bersama-sama dengan ibu bapa sewaktu melakukan aktiviti harian. Contohnya sewaktu mandi, makan, menukar baju, bermain dan sebagainya. Ibu bapa boleh menggunakan peluang ini untuk merangsang perkembangan bahasa anak-anak dengan selalu bercakap tentang aktiviti harian tersebut. Pengulangan yang berterusan dalam konteks yang sesuai sangat efektif dalam mengembangkan bahasa kanak-kanak. Antara percakapan dalam aktiviti harian yang boleh dilakukan adalah sewaktu makan. Ibu bapa boleh menamakan makanan yang sedang dimakan seperti “Wah, adik makan nasi. Selain itu, ibu bapa boleh memberi komen tentang makanan tersebut seperti “ Emm, sedapnya” atau “ Aww, panas! dengan bertanya anak sama ada dia mahukan makanan lagi sebelum menyuapnya seperti “Anas, nak nasi lagi?” juga dapat mengembangkan bahasa mereka. Selain itu, ibu bapa juga boleh bercakap tentang aktiviti yang sedang dilakukan oleh ibu bapa sambil anak memerhatikan ibu bapa. Contohnya, sewaktu ibu sedang melipat kain, ibu boleh bercakap seperti “Ibu lipat baju, baju adik cantik, atau baju ayah besar.” Ketika bercakap tentang aktiviti harian, elakkan atau kurangkan bertanya soalan. Sekiranya perlu menyoal, ibubapa hendaklah menggunakan soalan yang membolehkan kanak-kanak membuat pilihan bagi merangsang daya fikir mereka. Contohnya ‘adik nak baju merah atau baju biru’? Selain itu, ibu bapa juga boleh membantu anak-anak memahami soalan dengan menjawab sendiri soalan tersebut tanpa menunggu respon mereka. Contohnya, “Oo…Wafi nak baju biru ye.” sambil memberikannya baju biru.
- Menggalakkan Anak-Anak Mengambil Giliran Dalam Komunikasi
Mengambil giliran sewaktu bercakap adalah penting dalam komunikasi. Satu pihak akan bercakap manakala satu pihak lagi akan mendengar. Apabila anak-anak faham peraturan ini, maka lebih mudah untuk mereka belajar bercakap dan memahami percakapan orang lain. Mengambil giliran sewaktu bercakap boleh diajar seawal usia bayi lagi. Sewaktu anak dalam peringkat mengeluarkan suara, ibu bapa boleh memulakan dengan mengeluarkan suara terlebih dahulu., Selepas itu ibu bapa perlu senyap sambil tunggu sehingga anak bersuara.Setelah anak bersuara,ibu bapa mengulangi apa yang anak suarakan sambil menambah bunyi atau perkataan baru. Ini bertujuan menggalakan anak meniru bunyi baru. Proses menunggu anak mengeluarkan suaranya adalah penting untuk memahamkan anak bahawa itu adalah gilirannya bersuara.
- Hasilkan peluang untuk komunikasi
Setelah anak makin membesar, ibu bapa boleh menggalakkan anak mengambil giliran dalam komunikasi dengan memberi mereka peluang untuk bersuara. Ibu bapa boleh hasilkan peluang untuk komunikasi dengan meminta anak memberi respon sewaktu mereka inginkan sesuatu. Ibu bapa boleh sengaja bertanya sama ada anak mahukan barang tersebut atau tidak berbanding terus memberikan barang itu kepada anak, Contohnya, “ Hilmi, nak tak susu ni?”. Selepas itu, galakkan anak untuk menjawab pertanyaan tersebut sama ada dengan bersuara seperti “Ya” atau “Nak” atau gerakan badan. Contoh gerakan badan ialah menghulurkan tangan atau anggukkan kepala. Apabila anak sering memberikan respon terhadap pertanyaan anda, lama kelamaan mereka sendiri yang akan memulakan komunikasi.
- Menggunakan Ayat-Ayat Yang Ringkas
Sewaktu bercakap dengan anak, ibu bapa perlu memastikan ayat yang digunakan sesuai dengan perkembangan bahasa anak sewaktu itu. Lazimnya pada permulaan, ibu bapa digalakkan menggunakan ayat pendek iaitu ayat yang mengandungi 2 atau 3 patah perkataan. Contohnya, “Jom mandi” atau “Wafi nak mandi”. Seterusnya, ibu bapa boleh menggunakan ayat kompleks dan panjang setelah anak menunjukkan perkembangan bahasanya. Adalah sangat digalakkan bercakap menggunakan ayat berbanding menggunakan satu perkataan sahaja. Contohnya sewaktu hendak membuka pintu, ibu bapa digalakkan untuk cakap ‘Jom buka pintu’ berbanding ‘buka’ sahaja.
- Wujudkan Aktiviti Yang Berulang
Anak-anak akan dapat mengukuhkan bahasa dengan pendedahan kepada rangsangan secara berulang-ulang. Dengan mewujudkan beberapa aktiviti, peluang untuk anak-anak pandai dan cepat bercakap adalah tinggi. Antara aktiviti yang berfaedah dilakukan setiap hari ialah membaca buku walaupun anak-anak masih belum pandai membaca. Selain itu, aktiviti bermain, menyanyi atau berzikir (bagi yang beragama islam) juga boleh dilakukan. Ketiga-tiga aktiviti ini dapat merangsang anak menghasilkan bunyi dan seterusnya bercakap. Untuk aktiviti membaca buku, ibu bapa perlu menggunakan buku yang sama setiap hari. Jumlah buku yang digunakan juga hendaklah mengikut kemampuan dan situasi anak. Ibu bapa juga perlu membaca menggunakan ayat yang sesuai dengan tahap anak. Sebagai contoh, sekiranya anak berada pada tahap 1 patah perkataan untuk 1 ayat, maka buku perlu dibaca mengunakan 2 patah perkataan. Ini bertujuan membantu anak mengembangkan bahasa mereka. Ibu bapa perlu menggalakkan anak meniru apa yang disebut. Dengan melakukan aktiviti menghasilkan bunyi atau perkataan ini setiap hari, potensi anak untuk bercakap akan lebih terserlah.
- Galakkan Anak Berdikari Melakukan Tugasan Mudah
Keupayaan bercakap bukan hanya didorong oleh rangsangan yang berterusan. Malah ia dipacu oleh kemahiran motor kasar dan motor halus yang baik. Sehubungan itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak berdikari dengan melakukan tugasan mudah seperti makan sendiri menggunakan tangan atau sudu dan memakai baju atau kasut sendiri. Kemahiran motor kasar dan motor halus yang kukuh membantu meningkatkan keupayaan dan fungsi oral motor secara tidak langsung. Seterusnya fungsi oral motor yang cekap meningkatkan kejelasan pertuturan kanak-kanak.
- Galakkan Aktiviti Fizikal Dan Aktiviti Seni
Emosi negatif anak yang terpendam mempengaruhi perkembangan mereka terutamanya perkembangan bahasa. Kanak-kanak mempunyai kemahiran yang terhad untuk meluahkan perasaan dan keinginan mereka. Mereka selalunya menggunakan tangisan, rengekan atau amukan bagi meluahkan apa yang terpendam. Namun tidak semua kaedah ini difahami oleh orang dewasa. Justeru bagi meredakan emosi negatif di dalam diri anak-anak, ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti fizikal dan aktiviti seni seperti bermain di taman permainan, melompat di atas trampolin, melukis, mewarna, membuat istana pasir dan sebagainya. Mengikut kajian, aktiviti ini dapat membantu anak-anak meluahkan perasaan secara efektif. Seterusnya membantu mereka memperolehi bahasa dan bercakap dengan lebih baik. Semua anak mempunyai potensi tersembunyi yang berbeza. Terdapat anak-anak yang cepat bercakap manakala sebahagiannya lagi lambat bercakap. Walau apapun potensi yang anak-anak miliki, ibu bapa harus mengembangkannya ke tahap yang paling optimum dengan menggunakan tips dan kaedah yang dibincangkan. Ibu bapa juga perlu sedar bahawa kaedah yang mereka gunakan tidak akan berjaya sepenuhnya tanpa ada keyakinan, kesungguhan dan pujian yang berterusan kepada anak. Pujian tersebut diberikan bagi setiap perbuatan baik atau positif yang ditunjukkan oleh anak. Sikap tidak berputus asa dalam membantu anak-anak mencapai potensi kehidupan yang mereka kehendaki harus diamalkan.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Norazizah bt. Kadil |
Akreditor | : | Noor Fadhilah bt. Ab Halim |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |