Hepatitis A merupakan salah satu penyakit bawaan makanan dan air yang disebabkan oleh virus Hepatitis A. | |
Virus Hepatitis A |
Cara jangkitan merebak
Virus hepatitis A biasanya dikeluarkan melalui najis dan air kencing pesakit atau pembawa penyakit ini. Virus hepatitis A boleh memasuki badan melalui kaedah berikut:
- Melalui makanan dan minuman yang tercemar oleh virus Hepatitis A.
- Memakan makanan yang terdedah yang telah dihinggapi lalat yang membawa virus Hepatitis A.
- Makan makanan bercengkerang seperti kerang yang diambil dari air tercemar
Tempoh pengeraman adalah antara 15 hingga 50 hari (purata 28 hingga 30 hari), iaitu tempoh pesakit menunjukkan gejala selepas mendapat jangkitan virus ini.
Tanda-tanda dan Gejala
|
Virus Hepatitis A |
Gejala lebih teruk pada orang dewasa. Penyakit berpanjangan beberapa minggu dan mengambil masa yang panjang (beberapa bulan) untuk pulih. Jangkitan pada kanak-kanak biasanya ringan atau asimptomatik (tiada gejala).
Rawatan
Tiada rawatan khusus. Banyakkan rehat dan minum air. Ambil antipiretik (contohnya Paracetamol) untuk melegakan gejala demam.
Komplikasi
Tahap keseriusan penyakit biasanya meningkat dengan usia. Kes kematian adalah sangat rendah (0.1 hingga 0.3 peratus).
Cara mencegah Hepatitis A
- Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, membasuh tangan dengan menggunakan air dan sabun selepas ke tandas dan sebelum menyediakan makanan.
- Gunakan tandas yang bersih dan sempurna.
- Hanya makan makanan yang telah dimasak dengan sempurna atau makanan panas.
- Basuh ulam-ulaman, sayur-sayuran dan buah-buahan dengan air bersih sebelum dimakan.
- Hanya menggunakan air yang bersih dalam penyediaan makanan.
- Minum air yang telah dimasak atau air yang telah dibotolkan.
- Elakkan daripada berenang dalam kolam air tercemar ataupun sungai yang kotor.
- Tudung semua makanan supaya tidak dihinggapi lalat.
- Bersihkan kawasan sekeliling rumah dan lupuskan sampah dengan sempurna.
Pelancong yang akan melawat kawasan endemik Hepatitis A dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan pengambilan makanan dan minuman yang tercemar.
Mereka juga disarankan untuk mendapatkan pelalian hepatitis A. Dua dos dengan dos kedua diberi 6 – 24 bulan selepas pemberian dos pertama. Perlindungan akan bermula selepas empat minggu pemberian pelalian dos pertama.
SEGERA DAPATKAN RAWATAN
JIKA ANDA MENGALAMI GEJALA PENYAKIT HEPATITIS A
Sumber
- International Travel & Health, WHO 2006
- Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004
Semakan Akhir | : | 19 Jun 2013 |
Penulis | : | Dr. Norhayati Rusli |