Mengikut Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, ubat tradisional membawa maksud sesuatu produk yang digunakan dalam perubatan asli dengan menggunakan satu atau lebih bahan-bahan semulajadi dari tumbuhan, binatang atau bahan galian dalam bentuk pati ekstrak atau bukan ekstrak, dan rawatan homeopati.
Penggunaan ubat tradisional seringkali menjadi pilihan sebagai salah satu penyembuhan sesuatu penyakit. Namun ramai di kalangan kita yang terlepas pandang dan tidak mengetahui bahawa mana-mana ubat tradisional tidak boleh dicampurkan dengan sebarang racun.
Demi mengaut keuntungan yang tinggi, ada di kalangan pengeluar produk dan penjual yang tidak bertanggungjawab memasukkan racun ke dalam ubat tradisional bagi memberikan kesan segera kepada pengguna.
Racun Yang Sering Dicampurkan
Hasil ujian analisa makmal mendapati antara racun yang kerap dicampurkan ke dalam ubat tradisional adalah:
JENIS RACUN
|
FUNGSI
|
---|---|
Sildenafil, thiodimethylsildenafil, tadalafil | Agen perangsang seks |
Sibutramine, phentermine | Agen pelangsingan |
Dexamethasone | Anti keradangan |
Hydroquinoine | Anti pigmentasi |
Tretinoin | Produk akne |
Pengguna Harus Bijak
Dakwaan dan maklumat yang dinyatakan pada label ubat tradisional perlu diambil kira sebelum membeli sesuatu produk terutama bagi dakwaan perubatan yang berlebih-lebihan. Pengguna harus lebih bijak dan peka serta harus curiga jika sesuatu produk mampu memberikan kesan yang diingini dalam masa yang singkat. Pada awal penggunaannya ia mungkin memberikan kesan yang positif tetapi kemudian memudaratkan kesihatan tubuh badan.
Rasional Larangan Mencampurkan Racun Ke Dalam Ubat Tradisional
Menyedari racun-racun ini memudaratkan masyarakat, ia diharamkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan hanya dibenarkan dengan pengawasan doktor sahaja. Kandungan bahan-bahan racun yang tidak terkawal di dalam ubat tradisional boleh memberikan kesan sampingan seperti berikut:
JENIS RACUN
|
KESAN SAMPINGAN
|
---|---|
Sildenafil, thiodimethylsildenafil, tadalafil | Kegagalan fungsi jantung, sawan, syncope |
Sibutramine | Serangan jantung,pendarahan usus, mania atau gila |
Dexamethasone | Simptom ‘moon face’, tekanan darah tinggi, halusinasi, diabetis mellitus, sentral obesiti |
Hydroquinoine | Radang kulit, kulit pedih dan seolah-olah terbakar, sangat sensitif kepada cahaya |
Tretinoin | Kulit menggelupas dan keradangan, sangat sensitif kepada cahaya |
(Drug Information Handbook 12th Edition)
Perlu diingat bahawa hampir kesemua ubat tradisional yang dicemari racun ini adalah produk yang tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah. Ini bermaksud produk-produk ini tidak melalui ujian penting seperti ujian kualiti dan keselamatan terutama ujian saringan logam berat.
Menurut Agensi Pelindungan Alam Sekitar (Environmental Protection Agency, EPA) pendedahan jangka masa panjang kepada logam berat seperti merkuri, plumbum, arsenik dan cadmium boleh menyebabkan kerosakan paru-paru, otak dan kegagalan buah pinggang. Bagi wanita hamil pula ia boleh mengakibatkan keguguran bayi atau kecacatan janin.
Contoh Ubat Tradisional Yang Dicemari Racun
Produk dicemari Sildenafil
Produk dicemari Sibutramine
Produk dicemari Dexamethasone
Produk dicemari Hydroquinone
Produk dicemari Tretinoin
Rampasan Ubat
Penguatkuasaan Farmasi secara aktif sentiasa memantau penjualan ubat tradisional yang disyaki dicemari racun dari masa ke semasa. Risikan yang melibatkan ujian analisa makmal dilakukan bagi memastikan siasatan lebih tepat dan terperinci sebelum sebarang operasi rampasan dilakukan. Sejak 2010 sehingga 2013, sebanyak 6553 jumlah rampasan telah dilakukan di seluruh negara yang bernilai RM 18, 188 290.
Penjual boleh disabitkan sebagai melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan di bawah Peraturan 30(1), Peraturan yang sama. Hukuman denda akan dikenakan tidak melebihi RM25000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali. Bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM 50000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
Secara keseluruhannya, para pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan ubat-ubat trasional yang disyaki dicemari racun ini. Rujuklah doktor untuk mendapatkan rawatan yang lebih tepat agar kesihatan lebih terjamin. Para penjual dan pengeluar juga perlu mempunyai sikap lebih bertanggungjawab terhadap sesuatu produk yang dipasarkan dan tidak terlalu taksub terhadap keuntungan sehingga mengabaikan nyawa pembeli.
Tips Dan Panduan Menggunakan Ubat Tradisional
- Pastikan ubat tradisional yang hendak dibeli adalah ubat yang berdaftar. Nombor pendaftaran seharusnya mempunyai huruf T dihujung lapan digit nombor. Contoh: MAL 12345678 T. Semak semula nombor pendaftaran di www.bpfk.gov.my pada bahagian ‘Product Search’ dengan memasukkan nombor pendaftaran tersebut. Sekiranya maklumat pada label ubat adalah sama dan menepati hasil carian maka produk tersebut adalah selamat digunakan.
- Pastikan terdapat pelekat berwarna perak atau hologram pada ubat tradisional tersebut. Sila rujuk ahli farmasi untuk mengesahkan ketulenan hologram tersebut dengan menggunakan dekoder meditag.
- Sebelum mengambil ubat tradisional, berbincanglah dan dapatkan nasihat doktor.
- Teruskan pengambilan ubat moden yang dibekalkan oleh klinik atau hospital. Jangan berhenti menggunakan ubat moden melainkan diarah oleh doktor.
- Beritahu doktor atau ahli farmasi sekiranya anda sedang mengambil ubat tradisional di samping ubat moden sekiranya anda sedang mendapatkan rawatan bagi mengelakkan interaksi antara ubat.
- Elakkan pengambilan ubat tradisional bagi wanita hamil dan ibu-ibu yang menyusu bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada janin dan bayi.
Rujukan
- Malaysian Laws on Poison and Sale of Drugs (2013)
- Drug Information Handbooks (12th ed.) (2004)
- www.engg.edu/CHSR/outreach/resources
- www.who.int
- www.ncbi.nlm.nih.gov
Semakan Akhir | : | 11 Jun 2014 |
Penulis | : | Siti Ainul Fadhilah bt. Jamaludin |
Akreditor | : | Mazlan bin Ismail |