A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ujian Provokasi Bronkial

Kaedah Membuat Diagnosa Penyakit Asma Secara Objektif

Penyakit asma adalah penyakit kronik paru-paru yang menyebabkan saluran pernafasan mengalami radangan (inflamasi), hyper-responsif dan menyempit.

Objektif rawatan penyakit asma adalah merawat 2 komponen ini iaitu radangan dan penyempitan saluran pernafasan. Kemajuan di dalam sains dan teknologi perubatan telah melihat evolusi rawatan penyakit asma semakin baik jika dibandingkan sebelum ini. Walaupun asma tidak dapat disembuhkan, terdapat berbagai jenis ubat yang boleh digunakan oleh doktor untuk merawat dan mengawal penyakit asma. Ubat-ubat asma terdapat di dalam bentuk sedutan (inhaler), pil dan suntikan bergantung kepada tahap keterukan asma pesakit.

Merawat penyakit asma dengan baik amatlah penting untuk mengelakkan pesakit dimasukan ke hospital kerana serangan asma dan juga untuk membolehkan pesakit asma menjalani hidup normal. Di samping pentingnya kita menitik beratkan rawatan asma, tidak kurang penting ialah membuat diagnosa penyakit asma dengan tepat dan objektif untuk mengelakkan pembaziran ubat asma.

Gejala penyakit asma iaitu sesak nafas, batuk malam, nafas berbunyi (wheezing) dan ketat dada tidak semestinya dialami oleh semua pesakit asma. Kadangkala pemeriksaan fizikal tidak dapat mengesan tanda-tanda seseorang individu mengidap penyakit asma. Ini menyebabkan penyakit asma sukar untuk disahkan tanpa menjalani ujian-ujian tertentu.

Asma boleh didiagnos dengan mengambil sejarah pesakit. Ujian paru-paru juga boleh digunakan untuk membuat diagnosa asma. Ia mengukur fungsi paru-paru dengan alat yang dipanggil spirometer. Alat ini boleh mengukur forced expiratory volume in one second (FEV1). Satu ujian dilakukan, ini diikuti dengan ubat ‘bronchodilator’ untuk melihat peningkatan ukuran FEV1 sebelum dan selepas rawatan. Kaedah ini juga dipanggil ‘reversibility testing’. Kaedah ini boleh membuat diagnosa penyakit asma dalam kebanyakan kes tetapi di dalam kes-kes tertentu masih tidak boleh membuat diagnosa asma dengan tepat dan objektif. Jenis asma yang dipanggil ‘cough-variant asthma’ sukar disahkan melalui kaedah ‘reversibility testing’. Asma juga sukar disahkan sekiranya FEV1 adalah normal di mana kaedah ‘reversibility testing’ mungkin tidak dapat memperlihatkan peningkatan fungsi paru-paru.

Alat spirometer untuk mengukur fungsi paru-paru (FEV1)

Satu kaedah membuat diagnosa penyakit asma secara objektif ialah kaedah yang dipanggil “Bronchial Provocation Test” (BPT) atau ujian provokasi bronkial.

Apakah itu “Bronchial Provocation Test”

Dinding saluran pernafasan (bronkus) yang mengandungi otot (smooth muscle) akan menyempit apabila diberikan provokasi dengan ejen tertentu sekiranya seseorang mengalami asma. Ini adalah satu ciri utama asma adalah hyper-responsif. Tujuan ujian ini adalah untuk melihat samada saluran pernafasan seseorang itu hyper-responsif, iaitu saluran pernafasan menyempit sebagai respons terhadap ejen yang digunakan untuk membuat provokasi terhadapnya. Sekiranya ujian BPT tidak menunjukkan hyper-responsif, kemungkinan besar seseorang itu tidak mengalami penyakit asma.

Walau bagaimanapun, ujian BPT tidak digunakan bagi setiap kes untuk membuat diagnosa asma. Ianya hanya digunakan sekiranya ujian spirometer gagal mengesan asma tetapi kemungkinan asma masih tinggi.

Bagaimana ujian BPT dijalankan?

Pesakit akan disaring terlebih dahulu untuk memastikan mereka layak menjalani ujian ini. Ini adalah untuk memastikan ujian ini selamat dijalankan. Sekiranya layak, pesakit akan diberi penerangan tentang perkara-perkara tertentu, ubat dan makanan yang perlu dijauhi sebelum ujian dilakukan. Ini adalah untuk memastikan keputusan ujian tepat.

Ujian BPT tidak dijalankan sekiranya:

  • Fungsi paru-paru terlalu rendah (FEV1 kurang dari 60 peratus atau < 1.5Litre)
  • Darah tinggi yang tidak terkawal
  • Tidak boleh menggunakan alat spirometer dengan betul
  • Jangkitan pada paru-paru
  • Mengandung

Terdapat larangan tertentu sebelum pesakit menjalani ujian BPT. Makanan, minuman dan ubat yang harus dielakkan untuk tempoh tertentu sebelum menjalani ujian BPT termasuk :-

  • Bronchodilator (ubat untuk mengembangkan saluran pernafasan)
  • Steroid
  • Kopi, teh, coklat
  • Makanan yang mengandungi kafein

Faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi keputusan ujian BPT ialah merokok, jangkitan paru-paru, senaman dan allergen. Ubat tertentu perlu diberhentikan untuk jangka masa beberapa jam atau minggu sebelum ujian BPT dijalankan bergantung kepada jenis ubat.

Apa yang berlaku semasa ujian BPT?>

Sebelum ujian BPT dilakukan, ukuran FEV1 dengan menggunakan spirometer akan dijalankan ke atas pesakit. Terdapat beberapa ejen yang digunakan untuk ujian BPT seperti histamine, mannitol dan methacholine. Ubat provokasi yang selalu digunakan di Malaysia ialah methacholine.

Pesakit akan menyedut aerosol methacholine secara berperingkat-peringkat kekuatannya. Methacholine diberikan kepada pesakit dalam keadaan duduk melalui alat yang dipanggil dosimeter. Methacoline akan menyebabkan otot saluran pernafasan menyempit semasa ujian dijalankan. Tujuannya ialah untuk memprovokasi saluran pernafasan supaya menjadi hyper-responsif. Ini adalah asas ujian ini. FEV1 akan dijalankan selepas setiap kali pesakit menyedut aerosol methacoline untuk melihat samada saluran pernafasan hyper-responsif atau tidak.

Alat dosimeter yang digunakan untuk memberi ubat methacholine kepada pesakit

Interpretasi keputusan ujian BPT

Ujian BPT dianggap positif sekiranya ukuran FEV1 jatuh sekurang-kurangnya 20 peratus dari nilai FEV1 sebelum ujian dijalankan.

Sekiranya keputusan ujian adalah positif, ini bermakna pesakit disahkan mempunyai penyakit asma dan bronchodilator akan diberikan kepada pesakit untuk memastikan FEV1 kembali normal sebelum pesakit dibenarkan pulang. Kesan dan reaksi yang mungkin berlaku semasa ujian BPT termasuklah sesak nafas, batuk dan ketat dada.

Secara keseluruhannya, ujian BPT adalah selamat. Penyempitan saluran pernafasan akibat ujian ini boleh dipulihkan dengan cepat melalui bronchodilator.

Di mana ujian BPT dijalankan?

Ujian BPT selalunya dijalankan di makmal fungsi paru-paru atau makmal pulmonari fisiologi di bawah kendalian pakar perubatan respiratori (paru-paru).

Kesimpulannya, ujian BPT amat berguna untuk memastikan seseorang itu tidak mengalami penyakit asma. Ujian BPT mempunyai peranan yang penting di dalam penilaian pesakit yang mengalami simtom batuk dan semput.

Langkah-langkah ujian BPT

1. Penolong Pegawai Perubatan akan menerangkan ujian BPT kepada pesakit termasuk ubat atau makanan tertentu yang perlu dijauhi sebelum ujian dilakukan. Setelah pesakit faham, pesakit akan diberi temujanji untuk hadir menjalani ujian BPT.

2. Pada hari ujian BPT, Penolong Pegawai Perubatan akan membuat persediaan kekuatan methacholine (dari kekuatan terendah hingga ke tahap tertinggi).

3. Pesakit menyedut methacholine yang diberi oleh dosimeter. Kekuatan methacholine akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat.

4. Pesakit akan membuat ujian fungsi paru-paru (FEV1) menggunakan spirometer selepas menyedut methacholine. Ujian akan diberhentikan sekiranya FEV1 jatuh 20 peratus dari nilai FEV1 sebelum ujian dijalankan.

Semakan Akhir : 26 April 2012
Penulis : Dr. Jamalul Azizi Abdul Rahaman
Penyemak : Dr. Norhaya Mohd Razali

Artikel Berkaitan

Batuk Berdarah

Pengenalan Batuk berdarah adalah darah yang keluar bersama kahak ketika

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 229,799,130

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-11-05 15:32:21
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia