Apa itu BCG?
BCG adalah singkatan bagi Bacillus Calmette Gurrain. Vaksin ini mengandungi sejenis kuman mycobacterium daripada haiwan iaitu lembu di gelar “mycobacterium bovis”.Kuman ini telah di ubahsuai untuk menjadi lemah supaya ianya tidak menyebabkan penyakit tetapi merangsang sistem imum badan anak untuk melawan penyakit Tibi.
Bila vaksin ini diberi?
Vaksin ini diberi kepada bayi yang baru lahir di dalam Program Immunisasi Malaysia. Semasa persekolahan darjah satu,vaksin ini akan diberikan semula jika tiada parut BCG di lengan anak anda.
Di mana vaksin ini disuntik?
Vaksin ini disuntik di lengan kiri bayi.
Tindak balas selepas vaksin?
Selepas bayi kita disuntik, akan terdapat bengkak kecil di tempat suntikan. Bengkak ini selalunya bersifat sementara dan akan beransur hilang dalam masa satu hari. Akan tetapi, selepas 6-8 minggu bengkak akan muncul semula seperti kesan gigitan nyamuk. Bengkak ini akan membesar dan menjadi keras iaitu nodul. Benda ini pula akan pecah dan mengeluarkan cecair. Selepas ini,kesan yang tinggal adalah lepuhan atau luka pada kulit. Ulser ini akan sembuh dengan meninggalkan parut.Seluruh proses ini mengambil masa kira-kira 2-5 minggu.Kesan akhir dari keseluruhan proses ini adalah parut BCG seperti yang ada pada lengan kiri kita.
Nasihat bagi ibu-bapa/penjaga
Jangan tekan atau gosok pada tempat suntikan. Jangan sapu apa-apa pada tempat suntikan. Mandikan bayi dengan sabun dan air sudah memadai walaupun ada ulser pada lengan.
Adakah BCG masih perlu diberi di kalangan kanak-kanak di Malaysia?
- Malaysia sedang pesat berkembang sebagai negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kekurangan kes tibi di kalangan negara maju pada awalnya adalah disebabkan oleh penambahbaikkan terhadap infrastruktur seperti perumahan,pemakanan serta akses kepada rawatan.
- Akan tetapi negara kita masih endemik untuk Tibi. Kes yang dijangkiti Tibi di Malaysia masih tidak menunjukkan pengurangan dari saban tahun ke setahun.Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan jangkitan tibi aktif sebanyak 20 juta dan ini mengakibatkan sebanyak 50-100 juta kes infeksi setiap tahun di mana kebanyakan kes adalah di kalangan kanak-kanak. Kadar kematian pula sebanyak 3 juta dan 80% berlaku di negara membangun.
- Pada masa kini kita berhadapan dengan cabaran kuman Tibi yang telah menunjukkan rintangan terhadap ubat tibi dan menjadikan tibi ini sukar dirawat.
- Selepas dunia didatangi virus HIV pada tahun 1980an, kes tibi telah meningkat bukan sahaja di Malaysia akan tetapi di seluruh dunia. Ini kerana HIV menyebabkan sistem pertahanan badan lemah dan pengidap HIV senang dijangkiti kuman tibi.
- Kemajuan pesat dalam pelancongan antarabangsa memudahkan individu bergerak dari satu negeri ke negeri lain dan ini telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes tibi.
OLEH ITU; Di Malaysia adakahkita masih memerlukan vaksin ini?
Jawapan pada soalan di atas ialah – Ya
Apakah keberkesanan vaksin ini?
Di Malaysia, di mana Tibi masih endemik,kanak-kanak berisiko menghidap kuman ini awal dan dipanggil sebagai kompleks primer. Bagi kanak-kanak kurang dari 5 tahun,mereka mudah untuk mendapat jangkitan Tibi ini dan ia mudah merebak. Oleh itu,kanak-kanak senang mendapat Tibi yang serius seperti jangkitan Tibi pada otak dan jangkitan Tibi di pelbagai system organ badan seperti Tibi paru-paru beserta perut dan otak secara serentak.
Tidak seperti golongan dewasa yang selalunya mempunyai jangkitan paru-paru,Tibi kepada kanak-kanak adalah serius dan boleh membawa kematian dan ketidak upayaan.
Apakah kesan sampingan vaksin ini?
Bayi yang menerima vaksin ini, hanya 1-2% mendapat bengkak kelenjar pada tangan yang sama di mana vaksin ini diberi. Vaksin ini tidak menyebabkan demam
Bengkak kelenjar ini selalunya berlaku selepas 2-4 bulan dan tidak menyebabkan gejala lain seperti demam berulang/berpanjangan,hilang selera makan atau berat badan.
Jika bayi anda mengalami bengkak kelenjar,sila berjumpa doktor untuk memastikan bayi anda tidak mengalami pembesaran kelenjar di tempat lain atau tanda fisikal lain yang membawa pada diagnosis baru.
Kesan sampingan ini digelar sebagai bengkak kelenjar disebabkan BCG dan selalunya sembuh tanpa sebarang rawatan.
Doktor anda akan memberikan anda maklumat lanjut.
Rujukan:
- Hussain Imam Hj Muhammad Ismail, Ng HP et al. Paediatric protocols for Malaysian Hospitals (3rd ed). Kementerian Kesihatan Malaysia.
- NHS-BCG/TB vaccine; Frequently asked questions.(2014). Retrieved June 18, 2014, from: http://www.nhs.uk/conditions/vaccinations/pages/bcg-tb-vaccine-questions-answers.aspx
- Clinical practice guidelines: Guideline on management of TB (3rd ed).(2012). Malaysia Health Technology Assessment Section (MaHTAS).
Semakan Akhir | : | 10 Mei 2024 |
Penulis | : | Dr. Thahira bt. A. Jamal Mohamed |
Penyemak | : | Dr. Hazwani Mohamed Padzir |