Kawasan tisu lembut dan gigi yang kelihatan apabila pesakit tersenyum sering dirujuk sebagai zon estetik dan biasanya termasuk gigi-gigi atas hadapan sehingga gigi pramolar kedua (Gambar rajah 1.)
Gambar rajah 1. Zon Estetik
Penyakit periodontal boleh menyebabkan kerosakan dan kemusnahan struktur sokongan gigi, termasuk tulang dan ligamen periodontal. Dalam beberapa kes, terdapat kehilangan perlindungan gingiva (gusi) gigi di kawasan estetik, dengan surutan gingiva dan kehilangan papilla antara gigi (interdental papilla) (Gambar rajah 2).
Gambar rajah 2. Surutan gingiva dan kehilangan
interdental papilla menimbulkan segi tiga hitam.
Kehilangan tisu periodontal di kawasan ini sering membawa kepada masalah estetik dan fungsi. Salah satu masalah yang timbul ialah kelihatan ruang antara gigi atau sering dirujuk sebagai ‘segi tiga hitam’ (Gambar rajah 2).
Segi tiga hitam boleh didefinisikan sebagai “kehilangan tisu lembut antara gigi disebabkan oleh penyakit periodontal, trauma, persediaan gigi secara mekanikal atau kimia, atau prosedur crown lengthening”. Keadaan ini menyebabkan bukan sahaja masalah estetik dan fonetik tetapi juga kesukaran dalam mengekalkan kebersihan mulut. Kini, dengan kesedaran dan jangkaan pesakit yang meningkat, keadaan estetika yang kurang optimum tidak lagi dapat diterima. Oleh itu, pemilihan rawatan estetik yang terbaik untuk gigi dengan susutan gingiva di bahagian anterior adalah lebih mencabar.
Teknik pembedahan untuk pembentukan semula struktur gingiva di sekitar kawasan yang mengalami susutan gingiva atau kerosakan alveolar memerlukan kemahiran pembedahan yang tinggi. Pembedahan ini juga memerlukan graf tisu yang disumbang dari tapak pembedahan yang lain.
Rawatan pembedahan dalam situasi seperti ini melibatkan kos yang mahal, kesakitan tambahan, masa penyembuhan yang panjang dan keputusan yang sering tidak dapat diramal; ini menjadikan ia pilihan yang tidak popular.
Gambar Rajah 3 Venir Gusi
Prosedur efektif yang mudah untuk merawat kedua-dua susutan gingiva dan kehilangan tisu papilla antara gigi adalah dengan penggunaan prostesis gingiva.
Venir gusi (gingiva veneer) (Gambar Rajah 3) adalah prostesis yang dipakai di bahagian hadapan gigi atas, bertujuan untuk mengembalikan rupa bentuk mukogingiva dan estetika di kawasan dimana tisu-tisu periodontal adalah kurang. Ia juga dikenali sebagai topeng gingival, gingival epithesis atau gusi tiruan, mula diperkenalkan pada tahun 1955 oleh Emslie untuk menyembunyikan rupa susutan gingival dalam pesakit yang menjalani rawatan gingivektomi. Venir gusi boleh diterima dengan baik oleh pesakit kerana mudah dibuat dan mempunyai nilai estetika yang baik (Gambar Rajah 4).
Gambar Rajah 4 :Venir Gusi di dalam mulut pesakit.
Venir gingiva juga boleh digunakan sebagai alat untuk menakung ubatan dalam rawatan pengubatan topikal seperti sapuan fluorid, atau sapuan triamcinolone 0.1% in dental paste untuk rawatan gingivitis deskuamatif, dan sebagai takungan untuk dressing periodontal.
Pelbagai bahan yang boleh digunakan untuk pembuatan gingival veneers termasuk:
- Auto dan haba polymerizing damar akrilik
- Co-polyamide
- Bahan-bahan silikon yang lembut
Indikasi untuk pesakit yang memerlukan Venir gusi termasuk:
- Estetika yang kurang menarik disebabkan oleh kehadiran ‘segi tiga hitam’ di antara gigi, permukaan akar yang terdedah, dan/atau pinggir korona gigi yang terdedah.
- Sisa makanan sering terselit di kawasan antara gigi.
- Kekurangan kawalan air liur.
- Masalah fonatasi.
- Akar dentin yang sensitif
- Kesusutan gusi yang menyebabkan jarak di antara titik sentuh dan kresta alveolus melebihi 5mm
- Pesakit yang tidak boleh / tidak mahu menjalani prosedur pembedahan yang berulang-ulang
Kontraindikasi termasuk:
- Alahan terhadap bahan-bahan pembuatan
- Pesakit dengan kesihatan periodontal yang tidak stabil
- Kebersihan mulut pesakit tidak memuaskan.
- Pesakit dengan aktiviti karies gigi yang tinggi.
- Kecekapan upaya tangan yang terhad.
Rujukan
- Azzi R, Etienne D, Carranza F. Surgical reconstruction of the interdental papilla. The International journal of periodontics & restorative dentistry. 1998 Oct;18(5):466-73. PubMed PMID: 10093523. Epub 1999/03/27. eng.
- Gopakumar A, Sood B. Conservative management of gingival recession: the gingival veneer. Journal of esthetic and restorative dentistry : official publication of the American Academy of Esthetic Dentistry [et al]. 2012 ec;24(6):385-93. PubMed PMID: 23205684. Epub 2012/12/05. eng.
- Greene PR.: The flexible gingival mask: an esthetic solution in periodontal practice. Brit Dent Jour. 1998; 11(184): 536-40.
- Hickey B, Jauhar S. Gingival veneers. Dent Update 2009;36:422-4, 426, 428.
- RaviShankar Y KS, Sumeet Kumar Sarma, Shameen Kumar P. Management of Black Triangles and Gingival Recession: A Prosthetic Approach. Indian Journal of Dental Sciences. March 2012;4(1).
Semakan Akhir | : | 11 Mei 2015 |
Penulis / Penterjemah | : | Dr. Amirham bt. Ahmad |
Akreditor | : | Datin Dr. Sorayah bt. Sidek |