Apa Itu Pemeriksaan X-ray Lutut?
- Pemeriksaan yang dijalankan oleh Juru X-ray ke atas bahagian lutut.
- Ia tidak menyakitkan.
- Bahagian yang terlibat dalam pemeriksaan x-ray lutut ialah lutut termasuk bahagian tulang lutut, tulang paha (tulang di atas lutut), tibia dan fibula (tulang kaki yang lebih rendah), patela (tempurung lutut), dan tisu lembut.
Gambar 1: Ilustrasi menunjukkan salah satu kaedah pemposisian x-ray lutut.
Sumber: http://kidshealth.org/parent/system/medical/xray_knee.html#
Bagaimana Untuk Mendapatkan Pemeriksaan Ini Dan Di Mana?
- Apabila anda datang berjumpa dengan doktor yang merawat anda doktor tersebut akan menentukan sama ada anda memerlukan pemeriksaan ini.
- Sekiranya perlu doktor tersebut akan membuat permohonan pemeriksaan menggunakan Borang Permohonan Pemeriksaan Radiologi.
- Pemeriksaan ini terdapat di hospital-hospital dan klinik-klinik KKM yang menyediakan perkhidmatan pengimejan diagnostik.
Bila Pemeriksaan Lutut Diperlukan?
- Pemeriksaan x-ray lutut boleh membantu mencari punca-punca dan tanda-tanda biasa apabila terdapatnya gejala-gejala seperti sakit, ketegangan, bengkak, atau kecacatan lutut. Ia boleh mengesan patah tulang atau dislokasi sendi.
- Jika pembedahan lutut akan dijalankan, x-ray lutut akan diambil terlebih dahulu untuk membantu perancangan dalam pembedahan dan juga akan diambil selepas pembedahan.
Sebelum pemeriksaan
- Anda dinasihatkan supaya tidak membawa dan memakai barang berharga.
- Pesakit kanak-kanak boleh ditemani oleh ahli keluarga dewasa.
- Pastikan anda tidak mengandung atau disyaki mengandung. Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda mengandung atau disyaki mengandung.
- Anda akan diberi penerangan awal mengenai prosedur yang akan dijalankan.
- Anda mungkin perlu menukar pakaian kepada pakaian hospital.
Semasa pemeriksaan
- Dua projeksi asas yang biasa dilakukan adalah:
– Anteroposterior (AP) – bagi melihat sendi lutut dari sisi hadapan.
– Lateral (x-ray yang dilakukan dari bahagian sisi sendi lutut).
- Pemeriksaan kebiasaanya akan dijalankan secara berbaring atau berdiri.
- Alat perlindungan sinaran akan diberikan semasa pemeriksaan.
- Pemeriksaan ini mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja.
- Projeksi tambahan mungkin akan dilakukan jika diperlukan.
Selepas pemeriksaan
Anda akan dibenarkan pulang selepas pemeriksaan dijalankan.
Gambar 2: Contoh imej x-ray lutut yang normal.
Sumber: http://orthoanswer.org/foot-ankle/fracture-foot-ankle/investigations.html
Laporan Pemeriksaan
- Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.
- Keputusan pemeriksaan akan dihantar terus kepada doktor yang merawat anda.
Rujukan
- http://kidshealth.org/parent/system/medical/xray_knee.html#
- http://eorif.com/knee-xray
- http://radiology-anatomy.blogspot.com/2013/04/knee-joint-x-ray-anatomy.html
Semakan Akhir | : | 2 Jun 2016 |
Penulis | : | Khairun Nisa’a binti Khairul Zaman |
Akreditor | : | Daud bin Ismail |