Pengenalan
Menemui seorang yang telah mati atau meninggal dunia boleh menjadi pengalaman yang menakutkan dan menggamit perasaan. Memahami cara mengendalikan situasi ini dengan bertanggungjawab adalah sangat penting. Artikel ini bertujuan untuk memberikan panduan mengenai cara menemui individu yang telah meninggal dunia, tindakan yang sepatutnya diambil, dan pentingnya kerjasama dengan pihak berkuasa.
Memahami Istilah “Mayat”
Istilah “mayat” merujuk kepada jasad seorang yang telah meninggal dunia, akibat pelbagai faktor seperti sebab-sebab semulajadi, kemalangan, atau tindakan jenayah. Faktor semulajadi termasuklah penyakit dan penuaan, manakala tindakan jenayah mungkin melibatkan keganasan seperti tikaman, tembakan, atau jatuh dari ketinggian. Selain itu, bencana semulajadi dan aktiviti manusia juga boleh menyebabkan penemuan jasad individu yang telah lama meninggal dunia atau mumi bersejarah.
Jenis-Jenis Mayat Yang Mungkin Ditemui:
Anda mungkin akan menemui pelbagai jenis mayat, seperti sisa-sisa badan yang hangus, mayat yang reput atau sudah reput, mayat yang bengkak, sisa-sisa tulang belulang, atau bahagian-bahagian badan yang terasing. Setiap skenario ini memerlukan laporan segera kepada pihak berkuasa untuk memastikan penanganan dan siasatan yang sewajarnya.
Anggota Badan Lain yang Mungkin Ditemui
Penemuan anggota badan yang terpisah daripada jasad seperti kaki, tangan, atau telinga mungkin boleh membuatkan anda menjadi gusar. Namun, adalah penting untuk kita tidak tergesa-gesa membuat kesimpulan bahawa bahagian-bahagian tersebut merupakan milik seseorang yang telah meninggal dunia. Prosedur perubatan, rawatan atau kemalangan dalam pelbagai keadaan mungkin menyebabkan penemuan bahagian-bahagian badan tersebut. Apabila anda menemui bahagian-bahagian badan tersebut, adalah penting untuk anda melaporkan penemuan tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menemui Seseorang Terbaring di Tanah
Sekiranya anda menemui seseorang terbaring di tanah, utamakan keselamatan anda dan pastikan kawasan sekeliling selamat sebelum mendekati. Cari tanda-tanda kehidupan seperti pergerakan kecil atau tanda-tanda pernafasan. Jika anda mengesyaki orang tersebut masih hidup, segera hubungi perkhidmatan kecemasan (contohnya, 999) untuk mendapatkan bantuan perubatan. Namun, jika tiada tanda-tanda kehidupan, elakkan menyentuh jasad dan laporkan situasi tersebut dengan segera ke balai polis terdekat, sertakan maklumat peribadi dan butiran hubungan anda.
Drama CSI vs. Siasatan Sebenar di Lokasi Jenayah
Walaupun drama Crime Scene Investigation (CSI) menarik untuk ditonton, ia mungkin tidak menggambarkan siasatan sebenar dalam kehidupan nyata. Jika anda menemui seseorang yang telah meninggal dunia, kekal tenang dan elakkan mencemari lokasi atau sebarang bukti yang mungkin ada. Campur tangan anda di lokasi jenayah boleh menyebabkan masalah undang-undang, dan adalah penting untuk anda berkerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa semasa proses siasatan.
Panduan di Lokasi Jenayah
Jangan:
- Menyentuh jasad mangsa atau sebarang barang yang dijumpai di sekitarnya untuk memelihara bukti yang mungkin ada.
- Membawa jenazah pulang, walaupun ia merupakan orang tersayang.
- Membawa pulang anggota-anggota badan yang anda temui tanpa sebab yang munasabah.
- Mencuri barang-barang milik mangsa seperti dompet, telefon bimbit, jam tangan, rantai leher, atau kasut. Barang-barang ini mungkin menjadi petunjuk penting bagi siasatan polis.
- Menutupi jasad atau kawasan sekitarnya dengan sebarang bahan seperti kain, plastik, atau kertas ataupun pakaian anda sendiri. Ini mungkin boleh menyebabkan pencemaran bahan bukti.
- Mendekati jasad terlalu dekat. Tunggulah ketibaan pegawai polis dengan jarak yang selamat.
- Merokok dan membuang puntung rokok di kawasan tersebut. Puntung rokok anda mungkin akan dikumpulkan bersama-sama dengan bukti lain oleh pasukan siasatan forensik. Anda mungkin akan ditangkap setelah hasil analisis dari makmal telah siap.
- Membuang atau meludah di kawasan berhampiran jasad. Ini akan merosakkan bahan bukti dan boleh menambah bukti baru.
- Melarikan diri dari lokasi jenayah dan tidak membuat laporan polis mengenai penemuan anda.
Anda boleh:
- Mengambil gambar jasad dan kawasan sekeliling tanpa mengganggu bukti, kerana gambar-gambar ini boleh digunakan sebagai sokongan bukti ketika membuat laporan polis. Jangan salahgunakan teknologi ini untuk tujuan peribadi.
- Meninggalkan lokasi setelah memberitahu pihak polis mengenai kejadian tersebut. Berikan maklumat peribadi dan nombor telefon anda untuk rekod mereka.
Ambulans dan Pengangkutan Jenazah
Ambulans hanya boleh membawa orang sakit yang memerlukan bantuan/rawatan lanjut dengan segera. Pihak ambulans tidak boleh membawa mayat dari tempat kejadian jenayah ke rumah mayat. Dalam kes ini, polis bertanggungjawab untuk mengangkut jenazah ke bilik mayat untuk siasatan lanjut. Orang awam dilarang sama sekali membawa/mengambil mayat untuk dihantar ke hospital atau ke balai polis.
Nombor Telefon Kecemasan
Di Malaysia, nombor telefon kecemasan adalah 999, yang menghubungkan anda kepada pelbagai agensi kerajaan yang terlibat dalam tindak balas kecemasan, termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, dan Kementerian Kesihatan.
Kesimpulan
Menemui mayat seseorang yang telah meninggal dunia adalah perkara yang serius dan sensitif. Dengan memahami peranan anda dan mematuhi tindakan bertanggungjawab, anda dapat membantu pihak berkuasa dalam siasatan dan memastikan penanganan yang hormat dan sesuai terhadap situasi tersebut. Sentiasa utamakan keselamatan diri dan laporkan penemuan anda dengan segera kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan yang sewajarnya.
Rujukan
- Death: General information. (2013, September). Citizen Advice Bureau. (website). http://www.cab.org.nz/vat/fp/d/Pages/Generalinformation.aspx.
- Glennon, J. (2013, April). Investigations: 10 Things Not To Do. LAWOFFICER: Police & Law Enforcement. (website). http://www.lawofficer.com/article/investigation/investigations-10-things-not-d.
- Lofland, L. (2011, Mei). Homicide Investigation: Do’s and Don’ts. The Graveyard Shift. (website). http://www.leelofland.com/wordpress/homicide-investigations-dos-and-donts/.
- Mohd Yusoff Samad. (2013, April 13). Perkhidmatan Kecemasan 999. Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. http://www.civildefence.gov.my/v3/index.php/perkhidmatan/perkhidmatan-kecemasan-999.
- Noresah Baharom. (2012). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Steel, M. (2012). New Oxford English-English-Malay Dictionary. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis / Penterjemah | : | ChM. Dr. Khairul Adli bin Nikman |
Penyemak | : | Nurazira binti Azizan |