Terapis Pertuturan-Bahasa adalah ahli profesional yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan klinikal bagi masalah pertuturan, bahasa, komunikasi dan penelanan.
Di antara contoh masalah pertuturan, bahasa, komunikasi dan penelanan adalah seperti:
- Masalah pertuturan
- Sebutan tidak jelas /pelat
- Apraksia
- Disartria
- Masalah sengau
- Masalah suara
- Gagap
- Masalah bahasa
- Lambat bercakap
- Susunan ayat tidak teratur
- Sukar memahami perbualan
- Sukar mengikuti arahan mudah / kompleks
- Masalah komunikasi
- Tidak berupaya berkomunikasi secara verbal
- Tidak tahu untuk memulakan dan mengekalkan topik perbualan
- Masalah penelanan adalah :
- Kesukaran menelan makanan/minuman
- Kerap tersedak /batuk semasa makan/minum
- Mengambil masa yang panjang untuk menghabiskan makanan
- Terasa makanan tersekat di tekak selepas makan
Pesakit yang mengalami masalah pertuturan, bahasa, komunikasi dan penelanan perlu dirujuk kepada
Terapis Pertuturan-Bahasa untuk penilaian dan rawatan lanjut. Antara pemeriksaan klinikal yang akan dilakukan oleh Terapis Pertuturan-Bahasa adalah seperti membuat saringan, penilaian, memberi rawatan, dan kaunseling ke atas masalah yang dihadapi.
Masalah pertuturan, bahasa, komunikasi dan penelanan boleh berlaku di setiap peringkat umur. Kebiasaannya pesakit kanak-kanak yang akan mengalami masalah komunikasi adalah seperti:
- Down Syndrome,
- Cerebral Palsy,
- Masalah pembelajaran,
- Masalah pendengaran
- Sumbing bibir/ lelangit
- Autisme
Pesakit dewasa yang mungkin mengalami masalah pertuturan, bahasa, komunikasi dan/ atau penelanan adalah di kalangan:
Keperluan terapi pertuturan pada setiap pesakit adalah berbeza mengikut potensi dan motivasi pesakit serta ahli keluarga.
Terapis Pertuturan-Bahasa juga terlibat secara langsung bagi perkara-perkara berikut:
- Meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pertuturan, bahasa, komunikasi dan penelanan melalui kempen, ceramah dan risalah-risalah
- Menjalani kajian berkaitan kecelaruan komunikasi dan masalah penelanan
- Membentuk polisi, prosedur dan piawaian perkhidmatan Terapis Pertuturan-Bahasa
Kelayakan
Ijazah Sarjana Muda Sains Pertuturan @ Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan (Patologi Pertuturan) dari universiti tempatan dan luar negara yang diiktiraf.
Tempat Kerja
Kerjaya sebagai Terapis Pertuturan-Bahasa adalah satu profesion yang sentiasa berkembang dari masa ke semasa. Kelebihan profesion ini membolehkan Terapis Pertuturan-Bahasa berkhidmat di pelbagai sektor termasuklah:
- Hospital awam & swasta
- Klinik awam & swasta
- Pusat pemulihan awal; pemulihan dalam komuniti (PDK), early intervention center (EIP)
- Sekolah pendidikan khas awam & swasta
- Universiti & hospital universiti
- Pusat pemulihan awam & swasta
Cabaran
Walaupun kerjaya sebagai Terapis Pertuturan-Bahasa dilihat mempunyai peluang pekerjaan yang luas, namun terdapat beberapa kekangan berlaku dalam skop perkhidmatan di Malaysia. Antara cabaran yang dihadapi adalah:
- Kekurangan bekalan graduan dalam bidang Terapi Pertuturan-Bahasa
Setakat ini hanya dua Institusi Pengajian Tinggi Awam yang menawarkan pengajian dalam bidang terapi pertuturan-bahasa bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda. Jumlah pengambilan pelajar baru bagi sebuah IPTA adalah sangat rendah iaitu sekitar 15-20 pelajar dalam tempoh setahun. Masalah ini berlaku berikutan kekurangan tenaga pengajar & kemudahan latihan klinikal. - Kekurangan Terapis Pertuturan-Bahasa yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Walaupun perkhidmatan terapi pertuturan telah diperkenalkan di KKM semenjak tahun 2001, masalah kekurangan Terapis Pertuturan-Bahasa di KKM masih menjadi isu utama. Anggaran nisbah menunjukkan pada tahun 2014, nisbah Terapis Pertuturan-Bahasa kepada penduduk Malaysia adalah 1:156 760.Sehingga tahun 2015, jumlah Terapis Pertuturan-Bahasa yang berkhidmat di KKM adalah seramai 104 orang sahaja. Purata bil kemasukan Terapis Pertuturan-Bahasa ke KKM dalam tempoh 10 tahun (2001 – 2010) adalah seramai 6 orang setahun.Permintaan yang tinggi berbanding penawaran yang diberikan menyebabkan pesakit terpaksa menunggu tempoh masa yang lama bagi mendapatkan perkhidmatan Terapis Pertuturan-Bahasa. Berikutan permintaan yang tinggi, kebanyakan Terapis Pertuturan-Bahasa juga kurang berminat untuk menyertai KKM kerana mendapat tawaran yang lebih lumayan di luar KKM.
Rujukan
- American Speech-Language-Hearing Association. 2007. Scope of Practice in Speech-Language
- Pathologist [Scope of Practice]. Available from www.asha.org/policy.
- Laporan Pembentangan Pengiraan Unjuran Keperluan Profesion Terapis Pertuturan-Bahasa bagi tahun 2010 di sesi Pembentangan Aktiviti Makmal Perancangan Tenaga Manusia
- American Speech-Language-Hearing Association. 2002. Knowledge and skills needed by speech-language pathologists providing services to individuals with swallowing and/or feeding disorders [Knowledge and Skills]. Available from asha.org/policy. [2 Disember 2014]
- American Speech-Language-Hearing Association. 2001. Swallowing Disorders (Dysphagia) in Adults. http://www.asha.org/public/speech/swallowing/Swallowing-Disorders-in-Adults/ [2 Disember 2014]
- Ashley J. Duggan M. & Sutcliffe N. 2006. Speech, Language, and Swallowing in the Older Adult. Clinics in Geriatric Medicine. Vol. 22 (2): 291-310 doi: 10.1044/policy.SP2007-00283
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Ropidah bt. Razali |
Akreditor | : | Amelia Inbam Neelagandan |
Penyemak | : | Nadwah bt. Onwi |