A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Anak Saya Pelat

Pelat merupakan ‘kesalahan sebutan’ yang terjadi pada peringkat umur tertentu. Ia melibatkan masalah penghasilan bunyi(artikulasi) dan juga pola bunyi (fonologi).

Apakah perkembangan bahasa dan pertuturan awal?

Peringkat bayi dan kanak-kanak adalah peringkat paling kritikal untuk mempelajari bahasa. Gangguan dalam peringkat ini memberi kesan yang amat besar terhadap perkembangan bahasa dan pertuturan mereka.

Bermula sejak lahir hingga tiga tahun pertama adalah masa kritikal. Bahasa dan pertuturan kanak-kanak berkembang seiring kematangan dan tumbesaran otak mereka. Kanak-kanak juga banyak melihat dan mendengar apa di sekeliling mereka.

Apakah perkembangan bahasa yang normal?

Komunikasi bermula sejak lahir.  Contoh, bayi menangis minta lampin ditukar, meminta susu dan sebagainya.  Komunikasi ini akan terus berkembang bila umur mereka bertambah.

UMUR

KEMAHIRAN

0 – 6 bulan

  • Senyum apabila mendengar suara ibu/penjaga
  • Menggerakkan kepala & mata ke arah bunyi
  • Mengeluarkan bunyi-bunyian seperti mengekur dan nyaring

7- 11 bulan

  • Membabel- ‘baba’, ‘mama’, ‘dada’ tanpa maksud tertentu
  • Faham perkataan ‘jangan’ dan arahan mudah seperti ‘bye-bye’, ‘salam’
  • Meniru bunyi mudah seperti bunyi binatang dan kenderaan

1 tahun

  • Meniru sukukata perkataan, contoh: ‘bola’ à /la/, ‘abah’ à /bah/
  • Menguasai 10-25 perkataan
  • Dapat menunjukkan bahagian badan asas
  • Menggunakan kata sosial, contoh ‘hello’, ‘bye-bye’
  • Memanggil nama ahli keluarga terdekat

2 tahun

  • Menguasai kira-kira 50 perkataan
  • Menggabungkan 2-3 patah perkataan
  • Mengikut arahan tanpa bantuan isyarat
  • Tumpuan terhadap sesuatu aktiviti selama lebih kurang 5 minit

3 tahun

  • Bercerita menggunakan ayat lebih panjang dan sempurna kira-kira 3-4 perkataan
  • Dapat menyebut nama penuh
  • Faham soalan ‘apa’, ‘bila, ‘mana’, dan ‘bagaimana’

4 tahun

  • Faham konsep seperti warna dan saiz
  • Dapat menjawab soalan tentang fungsi objek
  • Menggunakan ayat dengan kata hubung seperti ‘dan’, ‘dengan’
  • Menyebut bunyi konsonan kira 90% secara tepat

5 tahun

  • Bercerita tentang sesuatu topik dengan ayat panjang, kira-kira lebih dari 5 perkataan
  • Menggunakan sambungan kompleks seperti ‘selepas itu’, ‘atau’ dan ‘tetapi’
  • Faham arahan kompleks
  • Bahasa dan pertuturan menyamai orang dewasa

(Sumber: Poster Terapi Pertuturan KKM)

Apakah itu pelat?

Ramai ibu bapa yang tertanya-tanya samada anak mereka pelat atau tidak. Sama seperti kemahiran fizikal, kanak-kanak akan meniarap, merangkak, berjalan sebelum dapat berlari. Begitu juga dengan pertuturan kanak-kanak.

Pelat merupakan ‘kesalahan sebutan’ yang terjadi pada peringkat umur tertentu. Ia melibatkan masalah penghasilan bunyi(artikulasi) dan juga pola bunyi (fonologi).

Kanak-kanak sepatutnya mahir menyebut bunyi tertentu apabila mencecah umur yang tertentu.

Berikut merupakan panduan umum bila bunyi mula dikuasai

UMUR

BUNYI

36 bulan

/n/, /m/, /p/, /h/, /t/

40-44 bulan

/f/, /w/, /ng/, /b/, /g/

48 bulan

/s/, /j/, /d/

48+ bulan

/r/, /l/, /sh/, /ch/, /z/, /v/, /j/, /th/

Proses-proses fonologi

Proses-proses fonologi berikut sepatutnya sudah tiada pada kanak-kanak berumur 3 tahun

PROSES

CONTOH

Buang sukukata yang tidak ditekankan

 telefon – tepon
(sukukata ‘le’ dibuang)

Buang konsonan akhir

 dam – da
(konsonan akhir ‘m’ dibuang)

Samakan konsonan (pengaruh konsonan terhadap konsonan lain)

 kasut – atut
(s – t (konsonan kedua))

Reduplikasi (ulangan)

 makan – mamam
(sukukata ‘ma’ diulang 2 kali)

Pendepanan (bunyi belakang ‘k’ dan ‘g’ ditukar ke bunyi depan)

kaki – tati
(k – t (bunyi depan))

Proses-proses fonologi berikut masih kekal walaupun selepas kanak-kanak berumur 3 tahun

PROSES

CONTOH

Buang Kluster (konsonan bersebelahan dibuang)

plag – pag
(konsonan ‘l’ dibuang)

Epentesis (tambahan huruf vokal dalam perkataan)

klinik – kelinik
(vokal ‘e’ ditambah)

Geluncur (huruf ‘l’ dan ‘r’ tukar kepada ‘w’)

bola – bowa
(l – w)

Vokalisasi (konsonan menjadi vokal)

jatuh – ayuh
(konsonan ‘t’ – vokal ‘y’ (i) )

Penghentian (bunyi frikatif-panjang tukar kepada konsonan hentian)

sup ? tup
(s ? t)

Semasa umur 5 tahun, proses fonologi akan berhenti dan sebutan mereka mula menyerupai orang dewasa. Tetapi ada juga yang berterusan sehingga berumur 7 tahun. Selepas umur 7 tahun, kanak-kanak sepatutnya  tidak lagi pelat.

Panduan lain yang boleh disemak ialah:

  • Ibu bapa sepatutnya memahami sekurang-kurangnya 50% percakapan anak-anak berumur 2 tahun
  • Ibu bapa sepatutnya  memahami kira-kira 90% percakapan anak-anak  berumur 3 tahun
  • Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 50% percakapan kanak-kanak berumur 3 tahun
  • Orang asing sepatutnya memahami kira-kira 100% percakapan kanak-kanak berumur 4 tahun

Kenapa anak saya pelat?         

Pelat boleh terjadi atas beberapa faktor, antaranya:

  • Umur dan peringkat bahasa & pertuturan masih rendah
  • Kecederaan otak, contoh: kemalangan
  • Masalah oromotor
  • Masalah sengau
  • Sumbing(Cleft)
  • Lidah pendek (tongue tie)

Perlukah saya risau?

Tidak perlu risau jika perkembangan bahasa dan bunyi pertuturan masih menepati tahap umur mereka. Jika tidak, anda perlu mendapatkan rawatan selanjutnya.

Apa yang perlu saya lakukan jika masalah pelat tidak hilang?

  • Rujuk kepada pakar berkaitan untuk menilai keadaan anak. Dapatkan surat rujukan daripada klinik kesihatan/swasta untuk penilaian daripada Terapis Pertuturan
  • Berikan rangsangan bahasa yang betul. Bercakap dengan anak menggunakan perkataan yang betul. Ada ibu bapa yang cuba meniru perkataan pelat anak mereka.  Ini menyebabkan anak anda keliru tentang sebutan yang betul.

Rujukan

  1. Heyman, N. (2012). When your toddler is unintelligible. Dipetik September 4, 2012, dari http://nikkiheyman.co.za/when-you-toddler-is-unintelligible/
  2. American Speech Language Hearing Association. (2012). Speech Sound Disorders: Articulation and Phonological Processes. Washington, D.C.:Author. Dipetik September 4, 2012, dari http://www.asha.org/public/speech/disorders/speechsounddisorders.htm
  3. Super Duper Publications (2004).What Are Phonological Processes (Number  66).Dipetik 4 September, 2012, dari http://superduperinc.com/
  4. Piccini, R.M. (2001). Phonological Processes (Number 23). Dipetik September 4, 2012, dari http://superduperinc.com/
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Faizah bt. Rahim
Akreditor : Zaidi bin Ya’acob
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,993,459

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia