A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penjagaan mata biasa

Semasa pemeriksaan bayi yang pertama selepas kelahiran, doktor akan menjalankan pemeriksa mata bayi anda untuk mendeteksi,

  • Penyakit kongenital mata
  • Jangkitan kuman pada mata
  • Tahap penglihatan bayi

Dalam penjagaan mata harian, kawasan sekeliling mata bayi hendaklah dicuci dengan kain lembab yang bersih. Jangan menggunakan sabun kerana ini akan memedihkan mata bayi.

 

1) Pendarahan Subkonjunktiva

Pendarahan subkonjunktiva adalah pendarahan yang berlaku di bahagian lapisan bawah mata putih. Ini disebabkan oleh pecahnya saluran darah halus. Pendarahan subkonjunktiva biasanya terjadi semasa proses kelahiran. Sekiranya ini berlaku maka:

  • Tiada rawatan diperlukan.
  • Ia tidak merbahaya.
  • Darah yang ada biasanya akan hilang dalam masa dua minggu.

Masalah biasa yang terjadi di kalangan bayi adalah:

  • Konjunktivitis
  • Saluran air mata tersumbat

 

2) Konjunktivitis

Konjunktivitis bermaksud keradangan pada lapisan mukosa konjunktiva iaitu bahagian terluar mata putih yang menyebabkan mata merah. Ini mungkin berlaku disebabkan oleh jangkitan kuman, saluran air mata tersumbat atau kerengsaan, contohnya terkena bahan kimia.

Bagi bayi, jangkitan kuman biasanya disebabkan oleh bakteria seperti Neisseria gonnorhea (gonorrheal infection) atau Chlamydia trachomatis. Jangkitan kuman ini boleh terjadi ketika proses kelahiran daripada ibu yang telah mendapat jangkitan sebelumnya.

 

Tanda-tanda dan gejala-gejala:

  • Bertahi mata kekuningan 
  • Kelopak mata melekat dengan tahi mata terutamanya selepas tidur
  • Mata merah
  • Kelopak mata membengkak

Konjunktivitis disebabkan oleh Gonorrhea, boleh menyebabkan kebutaan kepada bayi jika tidak dirawat dengan segera. Oleh itu adalah penting untuk membawa bayi yang mendapat jangkitan mata untuk mendapatkan rawatan perubatan.

 

Rawatan untuk Konjuktivitis Gonococcol

Sekiranya tahi mata atau lain-lain tanda muncul dalam beberapa jam atau hari selepas kelahiran, bayi anda akan dianggap mendapat jangkitan Gonorrheal sehingga keputusan ujian didapati. Rawatan yang diberikan adalah:

  • Membersihkan mata setiap jam dengan titisan mata dan titisan antibiotik mata sehingga tahi mata berkurangan dan mata kurang kemerahan.
  • Diberikan suntikan antibiotik melalui saluran darah.
  • Ibu bapa (dan semua pasangan seks ibu bapa yang boleh dikesan) juga akan disiasat dan dirawat sebagai pesakit gonorrhea.

 

Rawatan untuk Konjunktivitis Chlamydia

Jenis Konjuktivitis ini biasanya bermula 5 hingga 12 hari selepas kelahiran.

Rawatan yang diberikan biasanya adalah:

  • Oral antibiotik selama 14 hingga 21 hari untuk bayi dan ibubapa.
  • Antibiotik titisan mata 
  • Sentiasa membersihkan mata

 

Tips Penjagaan Mata

  • Bawa bayi anda berjumpa doktor secepat mungkin sekiranya tahi mata keluar dengan banyak dan tidak berkurangan.
  • Bayi yang masih ada tahi mata dalam beberapa hari kelahiran hendaklah dibawa ke hospital dengan segera.
  • Gunakanlah kain bersih atau tuala yang berasingan untuk bayi kerana ia boleh berjangkit.
  • Jangan gunakan titisan mata yang lama kecuali dengan arahan doktor.

 

Pencegahan 

Titisan mata Silver Nitrate 1% telah tidak digunakan di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu kerana pengurangan kes konjunktivitis gonoccocal dan terdapatnya antibiotik yang lain.

 

3) Penyumbatan saluran air mata (Nasolacrimal

Penyumbatan saluran air mata terjadi apabila saluran yang biasanya menyalurkan air mata dari mata ke hidung tersumbat atau tersekat. Bayi yang baru lahir sehingga 3 bulan  tidak mempunyai kebolehan untuk merembeskan air mata kecuali jika termasuk debu atau bahan kimia. Ini menerangkan kenapa tercetusnya simptom pada umur yang agak lewat sungguhpun ianya bermula dari lahir.

Perkara ini berlaku kepada 2-6% kelahiran baru. Ianya boleh melibatkan kedua-dua belah saluran tersumbat. Kebanyakan saluran air mata yang tersumbat ini akan terbuka secara sendiri apabila berumur satu tahun.

Air mata yang kerap mengalir juga boleh menjadi tanda kepada penyakit glaukoma kongenital (sejak lahir). Ini akan mengakibatkan mata sensitif kepada cahaya serta pembesaran kepada mata yang terlibat.

Tanda-tanda dan gejala-gejala

  • Air mata keluar berterusan beberapa minggu selepas lahir.
  • Bahagian mata putih pada permulaannya tidak kelihatan kemerahan atau pink sehingga jangkitan bermula.
  • Terdapat risiko jangkitan mata (konjunktivitis) kerana kelemahan sistem saliran.
  • Jika jangkitan tidak dirawat, jarangkali ia akan merebak sehingga ke sekeliling bahagian mata atau pipi.

 

Rawatan

Rawatan diperlukan segera jika:

  • Kelopak mata menjadi sangat merah atau membengkak.
  • Muncul benjol kemerahan di bahagian bawah sudut kelopak mata.

 

Berjumpa doktor sekiranya:

  • Keluar cecair kekuningan.
  • Jika air mata berterusan keluar selepas berumur setahun.
  • Bayi mudah terganggu dengan cahaya atau sebelah mata lebih besar.

 

Semakan akhir

:

30 Mei 2024

Penterjemah

:

Dr. Irene Cheah Guat Sim

 

:

Dr. Terrence Thomas

 

:

Dr. Umathevi Paramasivam

Penyemak

:

Dr. Nor Hasnida AB Gani

 

Artikel Berkaitan

Kecil daripada Usia Kandungan (SGA)

Bayi normal dilahirkan dengan berat badan anggaran 2.5 kg hingga 3.5 kg, tetapi bayi SGA dilahirkan lebih kecil berbanding bayi normal pada usia kandungan yang sama.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,994,184

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-09-06 06:54:26
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia