A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Forensik
  6. /
  7. Mangsa Rogol dan Liwat-...

Mangsa Rogol dan Liwat- Garis Panduan dan Bantuan

Kes rogol dan liwat terus menjadi isu yang membimbangkan dalam masyarakat, walaupun usaha penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Adalah penting bagi individu untuk mengetahui tindakan yang perlu diambil jika mereka berada di dalam situasi seperti ini.

Kes rogol dan liwat terus menjadi isu yang membimbangkan dalam masyarakat, walaupun usaha penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Adalah penting bagi individu untuk mengetahui tindakan yang perlu diambil jika mereka berada di dalam situasi seperti ini. Artikel ini menghuraikan definisi rogol dan liwat, langkah-langkah penting yang perlu diikuti oleh mangsa, pemeriksaan forensik klinikal, dan kepentingan sokongan daripada organisasi seperti Women’s Centre for Change (WCC). Selain itu, artikel ini turut menekankan peranan One Stop Crisis Center : Policy and Guidelines for Hospitals, Ministry of Health, Malaysia  yang menyediakan piawaian untuk pengurusan mangsa keganasan seksual dan domestik di negara ini.

Rogol

Mengikut Akta 574 Seksyen 375 Kanun Keseksaan, seseorang lelaki dikatakan melakukan rogol jika ia bersetubuh dengan seseorang perempuan dalam keadaan yang termasuk di bawah mana-mana daripada perihal-perihal berikut :

  1. Bertentangan dengan kemahuan perempuan itu;
  2. Tanpa persetujuan perempuan itu
  3. Dengan kerelaan perempuan itu, tetapi kerelaan tersebut didapati dengan mendatangkan kepadanya ketakutan mati atau cedera, atau didapati melalui salah tanggapan fakta dan lelaki itu tahu bahawa kerelaan itu telah diberi akibat daripada salah tanggap tersebut
  4. Dengan kerelaan perempuan itu, tetapi kerelaan itu diberi kerana perempuan itu percaya lelaki itu ialah lelaki yang menjadi atau percaya menjadi suaminya yang sah di sisi undang-undang dan kepadanya dia memberi kerelaan, dan lelaki itu mengetahui bahawa dia bukan suaminya
  5. Dengan kerelaan perempuan itu, tetapi pada masa memberi kerelaan itu, perempuan itu tidak boleh memahami jenis dan akibat mengenai apa yang dia memberi kerelaan;
  6. Dengan kerelaan perempuan itu, tetapi kerelaannya didapati dengan menggunakan kedudukannya yang berkuasa ke atas perempuan itu atau atas sebab hubungan profesional atau lain-lain hubungan amanah berkaitan dengannya
  7. Sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur enam belas tahun.

Mengikut Seksyen 375A, Kanun Keseksaan, seseorang lelaki yang merupakan suami kepada seorang perempuan akan disabitkan kesalahan penjara, sekiranya dia menyebabkan kecederaan atau ketakutan kepada isterinya untuk tujuan mengadakan hubungan seksual dengannya semasa tempoh perkahwinan mereka.

Antara contoh-contoh perlakuan rogol ialah :

  1. Acquaintance rape atau dirogol oleh kenalan ditakrifkan secara umum sebagai apa-apa keadaan di mana unsur-unsur yang diperlukan bagi jenayah rogol adalah dipenuhi (memaksa seorang wanita mengadakan hubungan seks tanpa kerelaannya dan tanpa izinnya) dan mangsa dan perogol saling mengenali antara satu sama lain.
  2. Statutory rape ialah hubungan seks dengan gadis di bawah umur 16 tahun walaupun dengan kebenaran gadis tersebut. Hal ini demikian kerana gadis di bawah umur 16 tahun tidak boleh membuat keputusan sendiri di sisi undang-undang.
  3. Gang rape atau rogol secara berkumpulan adalah keganasan seksual yang melibatkan dua atau lebih penyerang terhadap mangsa.

Liwat

Mengikut Seksyen 377A dan 377C Akta 574 Kanun Keseksaan, liwat ialah:

377A : Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie, iaitu melakukan perhubungan seks dengan seseorang yang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang yang lain

377C : Melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabie tanpa kerelaan ke atas seseorang yang lain, atau bertentangan dengan kemahuannya, atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari dua puluh tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.

Saranan dan Tegahan bagi Mangsa Rogol dan Liwat

  • Perkara yang MESTI dilakukan oleh mangsa rogol / liwat :
    1. Jangan tertekan dan menyalahkan diri sendiri.
    2. Pergi ke tempat yang selamat dan beritahu orang yang dipercayai.
    3. Buat laporan polis bagi mempercepat siasatan.
    4. Lakukan pemeriksaan perubatan secepat mungkin, sebaik-baiknya pada hari yang sama.
    5. Pemeriksaan segera oleh doktor penting untuk mendapatkan bukti yang kukuh terhadap perogol.
    6. Dapatkan bantuan profesional untuk menangani perasaan, keselamatan dan kesihatan anda.
  • Perkara yang JANGAN dilakukan sekiranya anda dirogol / diliwat :
    1. Jangan tunggu lebih dari 48 jam sebelum berjumpa doktor atau membuat laporan polis.
    2. Jangan mandi sebelum pemeriksaan doktor.
    3. Jangan menukar pakaian.
    4. Jangan menggosok gigi.
    5. Jangan makan atau minum.
    6. Jangan pergi seorang diri. Pastikan pergi bersama dengan orang yang dipercayai untuk membuat laporan polis ataupun pemeriksaan doktor.

Peranan Forensik dalam Pengendalian Mangsa Rogol dan Liwat

Kepentingan Bukti dalam Prosiding Undang-undang:

hukuman-rogol
Gambar 1: Hukuman rogol (Sumber: www.dialograkyat.blogspot.com)

Pemeriksaan forensik klinikal yang teliti dan menyeluruh memainkan peranan penting dalam kes rogol dan liwat. Bukti yang diperoleh daripada pemeriksaan ini, bersama-sama dengan analisis, dapat memberikan sumbangan yang ketara kepada penghukuman pelaku dan usaha mencapai keadilan. Bukti-bukti yang didapati daripada pemeriksaan klinikal forensik dan analisis boleh membukti dan mensabitkan kesalahan terhadap pelaku rogol atau liwat.

Di bawah peruntukan Seksyen 376 Akta 574 Kanun Keseksaan, penjenayah boleh dihukum atas kesalahan rogol, manakala di bawah peruntukan Seksyen 377B Kanun Keseksaan, penjenayah boleh dijatuhkan hukuman bagi kesalahan liwat atau melakukan hubungan seksual bertentangan dengan tabiat semula jadi.

Pemeriksaan Forensik Klinikal:

Pemeriksaan forensik klinikal bermula dengan pemeriksaan fizikal yang akan dilakukan sebaik sahaja mangsa dibawa ke Jabatan Kecemasan. Sekiranya kes rogol, mangsa akan dirujuk kepada Pakar Obstetrik dan Ginekologi hospital untuk pemeriksaan dan pengambilan sampel.

Manakala bagi kes liwat, mangsa akan dirujuk kepada Pakar Bedah di Jabatan Pembedahan hospital untuk pemeriksaan dan pengambilan sampel. Pakar forensik hanya akan dirujuk sekiranya terdapat kecederaan tubuh. Tujuan pemeriksaan perubatan forensik dibuat adalah untuk mendapatkan bukti-bukti berkaitan dengan membuat persampelan di bahagian anggota badan yang tertentu seperti di bawah:

Kawasan Persampelan

Bukti Forensik

Swab pada bahagian luar bibir
Pengesanan cecair badan di bibir dan kulit di sekeliling mulut contohnya air mani atau kesan darah yang bukan daripada mangsa.
Swab pada mulut
Pengesanan air mani jika berlaku seks oral dalam tempoh 72 jam. Swab tetap diambil walaupun mangsa telah menggosok gigi atau makan dalam tempoh tersebut.
Swab pada kulit badan. Pengesanan cecair badan pada permukaan kulit seperti air mani, air liur atau kesan darah yang bukan daripada mangsa ketika mencium, menjilat atau kawasan digigit. Swab diambil dalam tempoh 72 jam.
Rambut di kepala dan bulu kemaluan

Teknik hair combing: Pengesanan air mani, gentian fiber, bendasing, bulu asing.

Teknik hair plucking/cutting: Mencabut rambut di kepala dan mencabut bulu kemaluan untuk dijadikan sebagai sampel kawalan untuk perbandingan mikroskopik rambut dan bulu.
Seluar dalam dan sanitary pad Pengesanan air mani pada sanitary pads dan seluar dalam yang dipakai sekiranya mangsa masih memakai seluar dalam yang sama.
Swab pada bahagian dalam kemaluan Diambil pada bahagian vulva, bahagian dinding atas dan bawah faraj  atau vagina dan endocervical untuk pengesanan cecair badan jika persetubuhan melalui faraj atau dubur dalam tempoh 72 jam.
Swab pada bahagian luar genitalia. Diambil pada kawasan perineum, atau mons pubis  jika tiada bulu kemaluan dijumpai, untuk pengesanan cecair badan seperti air mani, air liur atau darah yang mungkin bukan daripada mangsa dalam tempoh 72 jam.
Swab pada zakar Pengesanan cecair badan jika persetubuhan berlaku dalam tempoh 72 jam.
Swab pada perianal dan dubur Pengesanan cecair badan jika persetubuhan melalui faraj atau dubur dalam tempoh 72 jam.
Nail Scrapping Pengesanan bukti surih, contohnya cecair badan, fiber, darah atau benda asing sekiranya mangsa memaklumkan bahawa mangsa mencakar penyerang atau terdapat kesan darah pada kuku.
Darah
  • Analisa DNA menggunakan kad FTA atau tiub EDTA sekiranya ketiadaan kad FTA.
  • Pengesanan alkohol dan penyalahgunaan dadah dalam tempoh 72 jam selepas kejadian.
  • Analisa serologi untuk ujian HIV dan jangkitan kelamin (sexually transmitted infection).
Air kencing
  • Pengesanan alkohol dan penyalahgunaan dadah sekiranya terdapat sejarah mangsa diberi minum atau makan sebelum kejadian, dalam tempoh 120 jam selepas kejadian.
  • Ujian kehamilan.
  • Analisis urine culture untuk mengenal pasti jangkitan kelamin.

Persetujuan atau Kebenaran Mangsa:

Sebelum pemeriksaan klinikal forensik, pakar perubatan forensik akan menjelaskan kepada mangsa secara terperinci proses pemeriksaan supaya difahami oleh mangsa. Mangsa akan diberi pilihan untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat mengenai pemeriksaan. Persetujuan oleh mangsa perlulah diberikan secara bebas, sukarela dan tanpa paksaan selagi mana mangsa bukan di bawah umur 18 tahun dan mempunyai keupayaan berfikir untuk membuat keputusan. Mangsa berhak untuk ditemani oleh seorang waris atau orang yang dipercayai atau seorang peguam semasa pemeriksaaan dijalankan.

Peranan Forensik Dalam Kes Rogol Dan Liwat:

Dalam kes rogol dan liwat, peranan forensik adalah penting untuk memastikan pemeriksaan terhadap mangsa dijalankan dengan betul dan mangsa menerima sokongan dan bantuan yang sesuai. Berikut adalah perkara-perkara utama yang menunjukkan peranan forensik dalam pengendalian kes mangsa rogol dan liwat:

  1. Memastikan spesimen diambil dengan teknik yang betul untuk analisis forensik.

    Pakar forensik harus mengambil sampel dan bukti secara teliti dengan menggunakan teknik yang betul semasa pemeriksaan. Ini termasuk pengambilan bukti fizikal daripada badan mangsa, pakaian, dan tempat kejadian, serta menjalankan pemeriksaan yang menyeluruh dengan mendokumentasikan sebarang kecederaan atau tanda-tanda serangan seksual.

  2. Memastikan semua bukti yang berpotensi diambil.

    Setiap bukti adalah penting untuk membina kes yang kukuh. Pakar forensik harus memastikan bahawa tiada bukti yang terlepas pandang semasa pemeriksaan klinikal forensik. Ini termasuklah pengambilan DNA, cecair, atau bukti-bukti lain yang berkaitan dengan siasatan.

  3. Memastikan sampel disimpan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan supaya tiada risiko pencemaran sampel.

    Sampel mestilah dikendalikan dengan berhati-hati untuk mengelakkan pencemaran sampel. Pakar forensik harus mematuhi garis panduan yang yang telah ditetapkan semasa mengambil, melabel, dan menyimpan sampel, bagi memastikan integriti bukti untuk analisis yang tepat.

  4. Memastikan sampel-sampel dipelihara supaya sampai ke makmal dalam keadaan yang baik dan optimum.

    Penghantaran sampel ke makmal dengan selamat adalah penting untuk memastikan supaya sampel dapat dianalisis. Prosedur pembungkusan sampel yang betul dan rantaian bahan bukti harus dipatuhi untuk memastikan supaya sampel tidak terjejas semasa transit.

  5. Menyediakan maklumat yang relevan kepada makmal bagi tujuan penafsiran keputusan yang diperoleh.

    Pakar forensik memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat penting kepada makmal yang menjalankan analisis bahan bukti. Komunikasi yang jelas dan tepat adalah penting untuk interpretasi keputusan ujian

  6. Menyediakan laporan pemeriksaan klinikal forensik untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa.

    Pakar forensik harus menyediakan laporan yang komprehensif yang mengandungi penemuan dan pemerhatian mereka selepas pemeriksaan pemeriksaan klinikal forensik. Laporan pemeriksaan klinikal forensik ini menjadi dokumentasi penting untuk prosiding undang-undang dan berperanan penting dalam membantu pelaksanaan sistem undang-undang.

Women’s Centre for Change (WCC)

Women’s Centre for Change (WCC) adalah sebuah pertubuhan/badan bukan kerajaan (non-governmental organization (NGO)) yang menyediakan sokongan emosi untuk membantu mangsa rogol untuk menghadapi trauma fizikal dan psikologikal serta sokongan mahkamah sekiranya kes dibawa ke mahkamah. WCC ialah satu badan bukan kerajaan yang komited untuk menghapuskan keganasan wanita, memberi kuasa kepada wanita dan kanak-kanak serta menggalakkan kesamaan hak, jantina dan kesamarataan sosial.

Sokongan Emosi dan Psikologi untuk Mangsa Rogol:

WCC memberikan sokongan emosi dan psikologi untuk membantu para pemandiri mengatasi trauma mereka susulan trauma fizikal dan psikologi yang dialami oleh mangsa rogol. Profesional yang terlatih di WCC menyediakan sokongan dan persekitaran selamat, ruang untuk para pemandiri berkongsi perasaan dan emosi mereka.

Sokongan Mahkamah dalam Proses Undang-Undang:

Bagi mangsa rogol yang mahukan keadilan, prosiding undang-undang boleh menjadi sesuatu perkara yang membingungkan apabila tiada ilmu perundangan. WCC membantu para pemandiri dengan memberikan sokongan sewaktu prosiding di mahkamah. Pegawai-pegawai yang terlatih dari WCC akan menemani para pemandiri ke mahkamah, memberikan panduan, maklumat, dan sokongan emosi sepanjang proses ini. Ini memastikan hak-hak para pemandiri dihormati, dan suara mereka didengari semasa proses perundangan.

One Stop Crisis Center: Policy and Guidelines for Hospitals, Ministry of Health, Malaysia

One Stop Crisis Center: Policy and Guidelines for Hospitals, Ministry of Health, Malaysia yang diterbitkan pada bulan Julai 2015, merupakan polisi dan garis panduan yang digunakan sebagai rujukan bagi pengurusan mangsa rogol, liwat, dera, keganasan rumahtangga yang lain di Malaysia.

One Stop Crisis Center (OSCC) adalah sebuah perkhidmatan bersepadu pelbagai agensi yang ditubuhkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital di Kementerian Kesihatan untuk menguruskan mangsa keganasan rumah tangga, serangan seksual, penderaan kanak-kanak, dan pengabaian. OSCC menyediakan perkhidmatan menyeluruh, termasuk dokumentasi, pemeriksaan, dan pengurusan bukti. Perkhidmatan ini ditawarkan pada tiga peringkat: pengurusan awal hospital, tindakan susulan, dan program rehabilitasi dengan pelbagai agensi dan prosiding undang-undang.

One Stop Crisis Center (OSCC) adalah operasi pasukan pelbagai disiplin, termasuk Jabatan Kecemasan, Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik, Bedah, Forensik, Psikiatri, dan NGO yang berkaitan. OSCC bertanggungjawab untuk pemeriksaan dan pengurusan bahan bukti serta memastikan rawatan dan penjagaan yang sesuai untuk mangsa, dan turut memastikan mangsa dilayan dengan penuh hormat dan belas kasihan, dan diberikan privasi. Komponen OSCC merangkumi mangsa rogol dan serangan seksual, mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak, mangsa liwat, dan mangsa keganasan rumah tangga. Polisi ini bertindak sebagai garis panduan untuk memastikan penjagaan menyeluruh bagi mangsa.

Komponen Utama Polisi One Stop Crisis Center (OSCC):

  1. Tindak Balas Segera: Polisi ini menekankan keperluan untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa. OSCC di hospital telah dilatih untuk memberikan respons yang cepat bagi kes-kes rogol, liwat, dan keganasan, serta menyediakan rawatan perubatan dan sokongan yang diperlukan.
  2. Penglibatan Pelbagai Disiplin: Polisi ini menyokong kerjasama yang melibatkan pelbagai profesional, termasuk para pengamal perubatan, kaunselor, pekerja sosial, dan pegawai penguatkuasa undang-undang. Ini adalah untuk memastikan koordinasi dan tindak balas menyeluruh terhadap keperluan mangsa.
  3. Pemeriksaan Perubatan dan Pengumpulan Bahan Bukti: Polisi ini menekankan kepentingan menjalankan pemeriksaan tepat pada masanya dan secara menyeluruh untuk mendapatkan bukti-bukti penting untuk prosiding undang-undang.
  4. Kaunseling dan Sokongan Emosi: Mangsa menerima kaunseling dan sokongan emosi daripada profesional terlatih untuk membantu mereka mengatasi trauma.
  5. Laporan dan Rujukan: Polisi ini memastikan kes-kes dilaporkan kepada pihak berkuasa dan agensi yang berkaitan untuk siasatan dan bantuan lanjut.
  6. Privasi dan Kerahsiaan: OSCC memberi keutamaan kepada privasi dan kerahsiaan untuk melindungi hak dan maruah mangsa.

Peranan agensi dalam pengurusan kes di One Stop Crisis Center (OSCC) yang melibatkan pelbagai disiplin:

  1. Jabatan Kecemasan dan Trauma: Bertanggungjawab untuk pengurusan awal, termasuk triage, pengambilan sejarah, pemeriksaan, dan rawatan kecederaan, Pengambilan, pengumpulan dan penyerahan bahan bukti (tidak termasuk pemeriksaan vagina) kepada pegawai polis dengan memelihara rantaian bahan bukti. Menyelaras rujukan di jabatan yang berkaitan.
  2. Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G): Bertanggungjawab untuk pengurusan mangsa rogol dan mangsa serangan seksual kanak-kanak perempuan, termasuk pemeriksaan, pengumpulan bukti, rawatan, dan dokumentasi medikolegal. Memeriksa suspek perempuan yang terlibat sebagai pelaku.
  3. Jabatan Pediatrik/SCAN team: Menguruskan kes disyaki penderaan dan pengabaian kanak-kanak, menilai impak, memastikan keselamatan kanak-kanak, membantu membuat laporan perlindungan, dan menyelaras rehabilitasi kanak-kanak dan keluarga selepas keluar dari wad.
  4. Jabatan Bedah: Menguruskan mangsa liwat dan menilai individu yang didakwa melakukan liwat.
  5. Jabatan Forensik: Memberi khidmat nasihat dalam kes-kes yang memerlukan konsultasi pengurusan bahan bukti. Pakar forensik dengan subspecialty forensik klinikal menyelia pengurusan bahan bukti medikolegal.
  6. Jabatan Psikiatri: Memberikan sokongan psikologi awal kepada mangsa dan ahli keluarga.
  7. Pusat Perkhidmatan Sosial Perubatan dan Kaunseling: Memberikan sokongan psikologi dan sosial kepada mangsa dan keluarga.
  8. Jabatan Kebajikan Masyarakat: Memastikan keselamatan sosial mangsa dan bertindak sebagai pelindung kanak-kanak bagi kes-kes disyaki penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
  9. Polis Diraja Malaysia: Mengiringi mangsa untuk membuat laporan polis, menerima laporan, menjaga rantaian bahan bukti, melindungi mangsa dari gangguan, dan memperoleh perintah perlindungan untuk mangsa.
  10. Pertubuhan/Badan Bukan Kerajaan (NGO): Membantu pengurusan mangsa dengan menyediakan kaunseling dan tempat perlindungan. Memberikan maklumat tentang organisasi yang boleh membantu dalam pengendalian kes OSCC kepada pihak hospital.

Kesimpulan

Isu rogol dan liwat masih menjadi isu yang signifikan dalam masyarakat walaupun penguatkuasaan undang-undang telah dilaksanakan. Sehubungan itu, adalah penting bagi individu untuk mengetahui tindakan yang patut dan perlu diambil dalam situasi sebegini. Pemeriksaan forensik klinikal turut memainkan peranan penting dalam mendapatkan bukti penting untuk prosiding undang-undang, dan memastikan keadilan kepada mangsa. Women’s Centre for Change (WCC) berfungsi sebagai pusat sokongan untuk mangsa, memberikan sokongan emosi dan mahkamah kepada para mangsa.

Polisi One Stop Crisis Center (OSCC) adalah sebuah kerangka komprehensif yang bertindak sebagai garis panduan kepada sistem penjagaan kesihatan, pentadbir hospital, dan pembuat dasar dalam pengurusan kes-kes keganasan seksual dan penderaan. Dengan penglibatan dan koordinasi pelbagai jabatan dan organisasi, OSCC bertujuan untuk memberikan penjagaan dan sokongan holistik kepada mangsa; memastikan kesejahteraan fizikal dan emosi mereka.

Akhirnya, usaha untuk menangani kes rogol dan liwat memerlukan usaha yang berterusan daripada masyarakat, penguatkuasa undang-undang, profesional penjagaan kesihatan, dan organisasi sokongan. Dengan meningkatkan kesedaran, melaksanakan dasar, dan penjagaan yang menyeluruh, kita boleh berusaha menuju dan menjadi masyarakat yang selamat dan adil untuk mangsa keganasan seksual.

Rujukan

  1. Laman web WCC (http://wccpenang.org/violence-against-women/rape/)
  2. MERRIL D. SMITH, Encyclopedia of Rape, 2004, London.
  3. Recent Rape/Sexual Assault: National Guidelines on Referral and Forensic Clinical Examination in Ireland 3rd edition 2014.
  4. One Stop Crisis Center : Policy and Guidelines for Hospitals, Ministry of Health, Malaysia, 2015
  5. Undang-undang Malaysia, Akta 574, Kanun Keseksaan (Pindaan 2014)
Semakan Akhir : Februari 2024
Penulis / Penterjemah : Hafiz bin Rommali
Penyemak : Nurazira binti Azizan

Artikel Berkaitan

CT ABDOMEN

Apakah itu CT Abdomen? CT Scan Abdomen merupakan satu pemeriksaan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,993,640

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-09-06 06:54:26
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia