A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Left Panel MS
  4. /
  5. Soalan Lazim MS
  6. /
  7. Perkembangan Kanak-Kanak

Perkembangan Kanak-Kanak

  1. Bayi Pramatang
  1. Adakah normal bagi seseorang bayi pramatang tidak membuang air besar sehingga 7 hari?

Bayi mempunyai kekerapan membuang air besar yang berbeza. Ada yang membuang air besar beberapa kali sehari dan ada bayi yang membuang air besar sekali dalam beberapa hari (sehingga seminggu atau lebih) tetapi masih normal.Yang mustahak kena pastikan perut tidak kembung dan najis tidak keras.

Disarankan supaya ibubapa membawa anak untuk diperiksa oleh doktor kanak-kanak bagi memastikan anak sihat. Doktor juga boleh ‘reassure‘ ibubapa supaya tidak perlu bimbang lagi sekiranya didapati bayi adalah sihat.

Sila layari Portal MyHEALTH: “Penyusuan Susu Ibu” dan “Kembung Perut” untuk maklumat lanjut.

 

  1. Apakah itu “Retinopathy of Prematurity” di kalangan bayi pramatang dan apakah puncanya?

Retinopathy of Prematurity (ROP) adalah penyakit mata yang berlaku kepada sesetengah bayi pramatang yang berpunca daripada kerosakan kepada salur darah mata bayi yang masih lagi lemah dan kurang sifatnya.

Sila layari Portal MyHEALTH: “Retinopathy of Prematurity” untuk maklumat lanjut.

  1. Bayi

 

  1. Mata bayi bertahi. Apakah tindakan yang harus dilakukan?

Sila bawa bayi anda berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Elakkan menyapu krim antibiotik pada mata bayi tanpa mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu kerana sesetengah bayi alah (allergic) terhadap antibiotik tertentu. Doktor akan memeriksa dan menyiasat punca penyakit dan akan memberi nasihat tentang rawatan yang sewajarnya.

Sila layari Portal MyHEALTH: “Penjagaan Mata” di bawah kategori “Kesihatan Bayi Baru Lahir” untuk maklumat lanjut.

 

  1. Apakah masalah yang mungkin berlaku apabila bayi menunjukkan tanda-tanda kulit berkedut terutama pada peha, lengan dan betis?

Kulit bayi yang berkedut biasanya terjadi disebabkan masalah kurang nutrisi (zat makanan). Kadang-kadang kekurangan cecair badan (dehidrasi) juga boleh menyebabkan kulit berkedut kerana kulit kurang keanjalan. Kedutan pada kulit biasanya boleh dilihat jelas di bahagian badan yang biasanya mengandungi tisu lemak seperti punggung, paha atau lengan.

 

  1. Bagaimana untuk menilai penyusuan bayi yang mencukupi?

Banyak faktor yang perlu diambil kira bagi menilai tahap nutrisi bayi atau kecukupan penyusuan di kalangan bayi. Ini termasuklah faktor pertambahan berat badan, penghidratan, jumlah pengambilan makanan, pengeluaran air kencing dan kesejahteraan umum yang perlu dinilai oleh doktor terlatih.

 

  1. Bagaimana bayi mengalami dehidrasi?

Dehidrasi berlaku apabila bayi mengalami cirit-birit, muntah, atau tidak menyusu untuk tempoh yang lama.

 

  1. Apakah tanda bayi dehidrasi?

Antara tanda-tanda bayi mengalami dehidrasi adalah kulit bayi berkedut, bayi jadi dahaga, tidak bertenaga dan bermata cengkung.

Sila layari laman Portal MyHealth: “Penyusuan Susu Ibu” untuk maklumat lanjut.

 

  1. Kenapa bayi tersedu dan adakah perlu mendapat rawatan lanjut?

Sedu biasa terjadi kepada bayi kecil kurang dari setahun dan biasanya berkaitan dengan proses penyusuan. Ia adalah satu sentakan (spasm) diafragma, iaitu sejenis otot di bawah paru-paru, yang tidak disengajakan. Sentakan itu biasanya diiringi oleh penutupan peti suara secara tiba-tiba, menyebabkan terhasilnya bunyi yang dipanggil sedu.

Sedu biasanya tidak mengganggu bayi. Kebiasaannya ia akan hilang dengan sendirinya selepas beberapa minit atau jam. Ibubapa tidak perlu berjumpa doktor atau mengguna sebarang kaedah tradisional yang tidak terbukti berkesan bahkan boleh memudaratkan bayi.

Walau bagaimanapun sekiranya sedu berlaku berterusan dan mengganggu pernafasan atau penyusuan bayi, ibubapa dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan doktor untuk memastikan tiada gangguan serius pada sistem pernafasan atau pencernaan bayi.

 

  1. Apakah punca bayi kerap bersin dan selesema? Apakah cara untuk menghindarinya?

Bayi memang selalu bersin kerana hidung bayi kecil dan senang tersumbat. Bersin adalah cara semulajadi bayi untuk mengeluarkan sebarang unsur yang mengganggu proses pernafasan melalui hidung. Antara unsur-unsur yang mengganggu hidung bayi termasuk habuk, cebisan kapas atau kain, asap rokok, hingus dan tahi hidung yang kering dan lain-lain di persekitaran.

Oleh itu, persekitaran kawasan rumah perlu dijaga rapi merangkumi pengudaraan yang baik, bersihkan kawasan rumah dari habuk dan debu, hindarkan bayi dari terdedah dengan asap rokok dan menjaga kebersihan rumah.

Bersin juga salah satu tanda bayi akan mendapat selesema.

Antara punca mengapa bayi kerap mengalami selesema atau jangkitan sistem pernafasan adalah disebabkan sistem pertahanan (imunisasi) yang masih lemah. Faktor ini lebih ketara di kalangan bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan dan bayi yang tidak diberi susu ibu

Bayi yang terdedah kepada orang dewasa yang kurang sihat seperti demam dan selesema amat mudah mendapat jangkitan yang sama. Mereka akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi dari jangkitan tersebut.Antara langkah yang perlu dilakukan untuk mengelakkan selesema yang kerap adalah mengelakkan orang dewasa yang tidak sihat dari mendekati bayi. Selain itu, penyusuan yang mencukupi dan persekitaran yang bersih juga amat penting.

Bagaimanapun amat sukar untuk mengelakkan selesema sepenuhnya.Pastikan bayi tidak mengalami komplikasi seperti demam yang tinggi dan masalah pernafasan. Sekiranya terdapat keraguan, sila SEGERA dapatkan pemeriksaan perubatan.

 

  1. Apakah punca bayi sering tersedak ketika menyusu dan apakah risikonya? Bagaimana untuk mengelakkannya?

Sesetengah bayi mudah tersedak semasa menyusu, sama ada menyusu ibu mahupun melalui botol.

Bagi bayi menyusu ibu, antara faktor utama adalah disebabkan susu ibu keluar terlalu laju atau banyak berbanding keupayaan bayi menelan. Ini boleh dikurangkan dengan meletakkan posisi kepala bayi lebih tinggi dari puting susu ibu atau badan bayi lebih mengiring semasa menyusu. Ibu juga perlu lebih berhati-hati jika perlu mengepam susu untuk mengelakkan ransangan berlebihan yang boleh menyebabkan pengeluaran susu berlebihan.

Bayi yang menyusu botol, ibu mungkin perlu mendapatkan saiz puting yang lebih kecil untuk mengurangkan aliran susu keluar.

Gejala tersedak biasanya akan berkurangan bila bayi sudah mula membesar dan membiasakan diri dengan kadar pengaliran susu.

Ada di kalangan bayi yang menghadapi masalah ‘reflux’ yang boleh menyebabkan gejala seperti tersedak atau muntah dengan kerap dan berterusan. Bayi seperti ini mengalami risiko susu masuk ke dalam paru-paru menyebabkan bayi mengalami masalah pernafasan dan jangkitan kuman di paru-paru. Antara tanda-tanda bayi mengalami masalah pernafasan adalah pernafasan menjadi laju, nafas berbunyi dan terdapat lekukan ketara di tekak dan dada semasa bayi menarik nafas.

Sila dapatkan rawatan doktor dengan segera jika anak anda mengalami gejala seperti itu.

Sila layari laman web Portal MyHEALTH: Teknik penyusuan susu ibu dan untuk maklumat lanjut.

 

  1. Bayi berumur 1 tahun setengah masih belum boleh bercakap. Apakah nasihat yang boleh diberikan?

Pada umur setahun setengah bayi yang normal biasanya mampu menyebut beberapa perkataan asas, atau sekurang-kurangnya mengeluarkan bunyi ‘ba’ dan ‘ma’.

Jika bayi masih belum mampu mengeluarkan sebarang perkataan yang bermakna pada usia tersebut, sebaik-baiknya dapatkan penilaian daripada doktor.

Sesetengah bayi yang normal mungkin mengalami sedikit kelewatan bercakap, terutama dari segi pengucapan (expressive).Dalam kes seperti ini amat penting bayi tersebut mencapai tahap perkembangan yang normal dari segi pemahaman (receptive). Contohnya pada usia 15 hingga 18 bulan dia memahami arahan verbal ringkas, tahu menunjuk kepada bahagian-bahagian badan, boleh menyebut bunyi-bunyi yang berbeza dan menunjukkan kemampuan berinteraksi yang baik.

Antara punca utama sesetengah bayi normal lambat bercakap adalah faktor genetik, tahap sosio ekonomi yang rendah dan kurang mendapat tumpuan serta interaksi daripada ibubapa atau penjaga.

Sekiranya bayi tidak menunjukkan ciri-ciri seperti dihuraikan di atas, ibubapa dinasihatkan berjumpa doktor secepat mungkin untuk mendapatkan penilaian dan nasihat lanjut.

 

  1. Adakah normal sekiranya bayi mengeliat teruk dan apakah tindakan yang perlu dilakukan?

Bayi mengeliat adalah situasi yang normal. Ia boleh berlaku pada bila-bila masa terutama apabila terjaga dari tidur atau dirangsang sentuhan. Ada bayi yang menggeliat selepas menyusu dan menjadi reda apabila sendawa. Ibu dinasihatkan supaya dudukkan bayi dan urut belakang bayi untuk mengeluarkan angin (bersendawa) semasa dan selepas menyusu.Ini boleh mengurangkan ketidakselesaan perut bayi.

Bayi yang kuat menggeliat semasa tidur dinasihatkan supaya dibendung dengan kadar selesa untuk mengurangkan pergerakan tersebut.

Jarang-jarang berlaku di mana bayi yang mengalami masalah ‘gastro-esophageal reflux’, iaitu aliran keluar semula susu dari perut, yang menyebabkan gejala menggeliat yang keterlaluan. Dalam keadaan tertentu badan bayi boleh melengkung ke belakang, tangan dan kaki menjadi kejang dan bayi kelihatan dalam keadaan merengek dan kesakitan. Ini akan mengganggu tidur, pemakanan serta kesihatan bayi secara keseluruhan. Dinasihatkan anda mendapatkan rawatan segera untuk bayi anda jika keadaan ini berlaku kepada bayi anda.

Sila layari Portal MyHealth: “Gastoesophageal Reflux” untuk mendapat maklumat lanjut.

 

  1. Bagi bayi 9 bulan apakah tahap pencapaian perkembangan yang sepatutnya perlu dicapai?

Perkembangan bayi pada usia 6 hingga 9 bulan kebiasaannya sudah boleh meniarap, duduk serta ada yang sudah merangkak. Ada bayi yang sudah mampu berdiri sambil berpegang pada usia 9 bulan.

Bagaimanapun perlu difahami bahawa boleh terjadi perbezaan atau variasi yang ketara antara seorang individu bayi dengan yang lain dari segi perkembangan tetapi masih dikira sebagai normal. Contohnya, ada bayi yang tidak merangkak, iaitu mencapai tahap berjalan terus dari mengensot punggung.

Ibubapa tidak perlu risau sekiranya bayi masih belum merangkak pada usia 9 bulan. Bagaimanapun sekiranya bayi belum meniarap atau mampu duduk tanpa sokongan sebaik-baiknya dapatkan penilaian dari doktor atau anggota kesihatan di klinik Ibu dan Kanak-kanak yang berdekatan.

Selain kemampuan-kemampuan yang dihurai di atas, terdapat banyak lagi aspek perkembangan yang perlu dinilai dan diambil kira. Contohnya seperti kawalan tengkuk, penggunaan tangan, pendengaran serta perkembangan bahasa, kognitif dan sosial bayi tersebut.

 

  1. Kanak-kanak yang berumur 3 tahun mempunyai masalah tabiat menghisap jari. Adakah tabiat ini perlu dirisaukan dan perlu diubah?

Sesetengah kanak-kanak memang suka menghisap ibu jari dan ini adalah perkara biasa. Ia biasanya berlaku secara tidak sengaja kerana tabiat itu memberi keselesaan diri serta ketenangan. Kebanyakan kanak-kanak akan menghentikan tabiat ini apabila mencapai umur 2 hingga 4 tahun. Ada yang berlarutan sehingga mencapai usia sekolah. Tabiat ini biasanya akan hilang dengan sendiri kerana faktor rakan sebaya.

Ibubapa disarankan supaya tidak memaksa kanak-kanak menghentikan perbuatan itu pada usia kecil. Ini boleh meyebabkan tekanan kepada kanak-kanak. Salah satu cara yang boleh dibuat adalah dengan menyibukkan mereka dengan aktiviti yang menggunakan tangan semasa mereka memulakan perbuatan itu.

Tiada yang perlu dirisaukan melainkan tabiat mereka menyebabkan kecederaan pada jari ataupun berlarutan sehingga mengganggu pertumbuhan gigi kekal selepas usia mencapai 6 hingga 7 tahun. Sekiranya ini berlaku ibubapa dinasihatkan berjumpa dengan doktor atau doktor gigi untuk mendapatkan nasihat lanjut.

Sila layari Portal MyHEALTH: Menghisap Ibu Jari untuk maklumat lanjut.

 

  1. Anak saya yang berusia 8 tahun belum mampu menulis dan membaca serta lemah dalam pelajaran. Tetapi dia cepat faham dan mampu mengira. Adakah anak saya mengalami dislexia?

Kanak-kanak yang normal kebiasaannya sudah mampu membaca seawal usia 6 hingga 7 tahun, lebih-lebih lagi sekiranya anak tersebut menjalani pendidikan pra-sekolah.

Kanak-kanak yang belum mampu menguasai kemahiran membaca apabila sudah melangkah ke darjah 2 perlu mendapat penilaian yang lanjut.Kemungkinan anak puan mengalami masalah dislexia. Bagaimanapun banyak lagi punca kanak-kanak menghadapi masalah pembelajaran selain dari dyslexia.

Dislexia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus. Kanak-kanak dyslexia adalah normal dari segi intelek tetapi menghadapi masalah berkaitan membaca. Ini termasuk masalah mengenal huruf, mengeja, menulis dan membaca, bergantung kepada tahap keterukan masalah yang dihadapi. Walaupun mampu membaca, mereka bermasalah membaca dengan cepat, suka membaca dengan suara kuat dan sukar memahami apa yang dibaca. Mereka memerlukan bantuan di peringkat awal untuk mengelakkan masalah berlarutan yang boleh menjejaskan prestasi akademik, sosial serta masalah tingkahlaku di masa depan.

Anak puan perlu dirujuk kepada doktor yang berdekatan untuk penilaian dan nasihat lanjut.

Sila layari Portal MyHEALTH :“Dislexia” untuk maklumat lanjut.

 

  1. Bayi saya berumur 3 bulan, mengambil susu formula dan kerap membuang najis sehingga 3 hingga 4 jam sekali. Adakah keadaan ini normal?

Bayi pada usia ini, membuang najis yang kerap sehingga 5 hingga 8 kali sehari adalah biasa terutama mereka menyusu susu ibu. Jika najis bayi tidak berubah dari segi konsistensi atau kekerapan dan warna tetap kekuningan atau sedikit kehijauan? dan bayi puan berkeadaan sihat, maka tiada yang perlu dirisaukan .

Bayi yang mengambil susu formula biasanya tidak membuang najis terlalu kerap. Apa yang puan perlu lakukan adalah memastikan najis bayi lembut, perut bayi lembut tidak kembung, bayi cergas, tidur lena, berat badan meningkat dan menghisap susu dengan baik.

Sesetengah bayi mengalami masalah penghadaman tertentu seperti “lactose intolerance” atau alahan kepada protein dalam susu lembu (cow’s milk protein allergy). Kanak-kanak seperti ini biasanya tidak sihat, perut kembung dan berat badan tidak meningkat. Kadang-kadang ia disertai dengan gejala muntah-muntah dan ruam-ruam pada kulit.

Jika ini berlaku puan tidak digalakkan menukar-nukar jenama susu tanpa justifikasi yang jelas. Sebaliknya dapatkan nasihat dan pemeriksaan segera dari doktor yang berhampiran.

Sila layari laman Portal MyHealth: “Lactosa Intoleransi” dan “Cirit Birit” untuk maklumat lanjut.

Artikel Berkaitan

Talasemia

Soalan 1: Apakah penyakit talasemia? Jawapan 1: Talasemia ialah penyakit

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,572,992

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia