A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ibu Mengandung

Jangkitan vertikal dari ibu yang di jangkiti HIV kepada janin (bayi dalam kandungan) berlaku secara terus melalui uri (placenta).

Apa Itu HIV?

HIV adalah Human Immunodeficiency Virus. HIV adalah sejenis virus RNA yang menjangkiti sel manusia terutamanya sel CD4. HIV mampu mengadaptasi untuk hidup di dalam sel manusia dan membiak. HIV akan menjangkiti sel manusia dan menyebabkan kematian sel serta kekurangan CD4, sejenis sel yang bertanggung jawab melawan penyakit.

HIV adalah penyebab kepada AIDS (Acquired Immuno Deficiency Syndrome). AIDS berlaku apabila daya ketahanan melawan penyakit seseorang pesakit menjadi lemah disebabkan jangkitan HIV terhadap sel-sel melawan penyakit. Pesakit akan mengidap jangkitan kuman atau virus dengan teruk. Jangkitan HIV juga boleh menyebabkan kanser. HIV boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina.

UNAIDS / WHO (United Nation AIDS / Pertubuhan Kesihatan Sedunia) pada tahun 2018 dalam laporan AIDS Epidemic Updates telah menganggarkan 37.9 juta pengidap HIV di dunia (1). Pada tahun yang sama juga UNAIDS / WHO menganggarkan seramai 770,000 pengidap HIV meninggal dunia disebabkan AIDS (1).

Di Malaysia terdapat seramai 111,916 pengidap HIV berdaftar pada tahun 2016. Dari 3,397 yang dilaporkan pengidap baru, 71% adalah dewasa berumur 20 – 39 tahun. Kaum lelaki adalah yang teramai. Pada tahun 2016, 413 orang wanita telah didiagnosakan kes HIV baru.

Jangkitan HIV–2 menjangkiti negara-negara yang berada di Afrika barat manakala negara-negara lain di dunia menyaksikan penularan jangkitan HIV–1. Jangkitan HIV–1 lebih merbahaya berbanding dengan jangkitan HIV-2. 

Apa Yang Berlaku Apabila Di Jangkiti?

RNA HIV akan membiak di dalam pesakit yang di jangkiti. HIV akan merebak ke seluruh badan pesakit dan membunuh sel CD4 iaitu sel pertahanan badan. CD4 melindungi manusia dari jangkitan kuman terutama jangkitan yang boleh membawa maut. Jika sel CD4 musnah, daya ketahanan membasmi jangkitan akan lemah. Pesakit akan terdedah kepada jangkitan kuman dan lama kelamaan akan membawa maut. AIDS berlaku apabila bacaan CD4 menurun kurang dari 200. Jangkitan opportunistik boleh disebabkan oleh bakteria, virus, kulat dan parasit yang ada di dalam badan pesakit.

Bagaimana Cara HIV Menjangkiti Manusia?

Jangkitan HIV berlaku apabila terdapat pendedahan terus antara HIV dan cecair badan sebelum virus ini menjangkiti sel manusia. Cecair badan yang sering di jangkiti HIV adalah darah, air mani, cecair vagina, susu ibu, air liur, luka di permukaan kulit.

Di Malaysia, cara transmisi yang paling kerap adalah melalui hubunga seks sejenis (homoseksual) diikuti oleh hubungan seks rambang / heteroseksual.

Penyebaran HIV melalui perkongsian jarum yang tercemar dengan virus HIV di kalangan penagih dadah telah menurun dari 66% pada tahun 2005 kepada 11% pada tahun 2016. Ini adalah disebabkan oleh program Pertukaran Jarum (NSEP) yang telah diperkenalkan pada tahun 2006.

Bagi sesetengah individu yang baru dijangkiti HIV, ujian HIV mungkin negatif sehingga 6 bulan atau lebih. Ini adalah kerana, seseorang yang dijangkiti HIV mungkin mengambil masa 6 minggu sehingga 3 bulan atau 6 bulan untuk menghasilkan antibodi terhadap HIV. Pada ketika ini, mereka berisiko untuk menjangkiti HIV kepada orang lain, tetapi mereka tidak sedar status HIV mereka. Ini dikenali sebagai ‘window period’.

Faktor Risko Jangkitan HIV

Faktor risiko jangkitan HIV adalah:

  • Berkongsi jarum suntikan
  • Mengamalkan hubungan seks rambang (pelbagai pasangan)
  • Hubungan seks sejenis (homoseksual)
  • Hubungan seks bersama lelaki & perempuan (biseksual)
  • Ibu HIV yang menyusukan (HIV akan menjangkiti bayi)
  • Jangkitan vertikal (dari ibu hamil yang mengidap HIV kepada bayi dalam kandungan)
  • Kulit terluka yang terdedah kepada cecair badan yang telah di jangkiti HIV
  • Pemindahan cecair / darah yang telah di jangkiti HIV kepada individu lain

Mengapa Jangkitan HIV Di Kalangan Janin Berlaku?

Jangkitan vertikal dari ibu yang di jangkiti HIV kepada janin (bayi dalam kandungan) berlaku secara terus melalui uri (placenta). Ini berlaku kerana janin akan terdedah kepada HIV tanpa sebarang halangan. Ini di tambah dengan keadaan ibu yang mempunyai daya ketahanan melawan penyakit yang lemah semasa kehamilan. Oleh itu semua ibu hamil perlu di saring untuk jangkitan HIV supaya janin boleh di lindungi dari terkena jangkitan.

Mengapa Perlu Di Lakukan Saringan?

Saringan perlu di lakukan kepada setiap ibu hamil. Kementerian Kesihatan Malaysia telah menjalankan program saringan HIV ini sejak tahun 1997. Tujuan saringan adalah:

  • Untuk mengenal pasti jangkitan di peringkat awal kehamilan supaya rawatan HIV kepada ibu boleh di lakukan
  • Rawatan awal kepada ibu HIV hamil akan mencegah jangkitan vertikal kepada janin
  • Mengelakkan keterukan jangkitan kepada ibu seterusnya mengurangkan komplikasi obstetrik
  • Mengurangkan komplikasi antenatal & perinatal kepada bayi
  • Mengurangkan risiko keguguran / kematian janin (IUD)
  • Mengurangkan pendedahan HIV kepada anggota kesihatan lain semasa proses kelahiran

Sebab yang paling utama mengapa saringan perlu di lakukan adalah supaya rawatan boleh di beri pada peringkat awal kehamilan. Di sarankan rawatan di beri seawal 14 minggu kehamilan.

Cara Saringan HIV Di Lakukan

Saringan di lakukan dengan menggunakan HIV Rapid Test selepas mendapat kebenaran ibu hamil. Ujian darah yang di buat di kalangan ibu hamil sejurus selepas ibu membuat ‘booking’. Sebaik-baiknya semasa kehamilan berumur 10 minggu atau selewat-lewatnya 14 minggu (3). Sekiranya ujian Rapid Test positif, ibu akan menjalankan ujian darah ‘confirmatory serology’. Ujian ini akan memberi kepastian samada ibu telah di jangkiti oleh HIV atau tidak. Seterusnya jika ujian serology sah positif HIV maka rawatan Anti Retroviral (ARV) hendaklah di beri selewat-lewatnya 14 minggu kehamilan (3). Kaunseling diberikan setiap kali sebelum dan selepas ujian, serta ketika memulakan rawatan.

Perkhidmatan saringan HIV di kalangan ibu hamil ditawarkan di setiap klinik kesihatan dan hospital di Malaysia.

Komplikasi Jangkitan HIV Kepada Ibu Hamil

Komplikasi kepada ibu:

  • Jangkitan ‘opportunistic’ yang boleh menyebabkan ibu mendapat jangkitan yang teruk
  • Keguguran
  • Pendarahan
  • Jangkitan paru-paru yang teruk
  • Kelahiran pra matang
  • Anaemia

Komplikasi Jangkitan HIV Kepada Bayi

Komplikasi kepada bayi:

  • Kematian dalam rahim (IUD)
  • Kelahiran pra matang
  • Kebantutan tumbesaran janin
  • Keguguran
  • Jangkitan HIV kepada janin
  • Hydrops Fetalis (janin membengkak)

Bagaimana Mencegah Jangkitan HIV?

Jangkitan HIV boleh dicegah dengan mengamalkan cara hidup sihat, menggelakkan aktiviti kelamin rambang, mencegah dari amalan kehidupan yang berisiko (high risk behaviour) dan jangan lakukan hubungan kelamin dengan orang yang HIV positif serta elakkan dari penyusuan susu ibu yang HIV positif.

Penggunaan kondom dapat menggelakkan jangkitan HIV. Amalan bersunat di kalangan lelaki juga mengurangkan risiko jangkitan HIV.

HIV boleh menjangkiti janin dalam kandungan

Rujukan

  1. aidsinfo.unaids.org
  2. http://www.mac.org.my/v3/
  3. Malaysian Guidelines on Management of HIV in Pregnancy 2008
  4. http://www.aids.gov/hiv-aids-basics/just-diagnosed-with-hiv-aids/understand-your-test-results/cd4-count
  5. http://en.wikipedia.org/wiki/HIV/AIDS#Acquired_immunodefiency_syndrome
  6. who.int/hiv/topics/malecircumcision/en/
Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sri Wahyu bt. Taher
Penyemak : Dr. Nor Faizah bt. Ghazali

Artikel Berkaitan

Pra Perkahwinan

Ujian saringan HIV pra-perkahwinan boleh dilakukan di mana-mana Klinik Kesihatan di Malaysia dan dilaksanakan secara percuma. Tujuan utama ujian ini adalah bagi membolehkan individu mengetahui status HIV masing-masing

Tanpa Nama (VCT)

Ujian ini mudah didapati, ringkas dan tidak sakit. Perkhidmatan ini diberikan secara PERCUMA di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan. Maklumat anda dan keputusan ujian akan dirahsiakan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,514,015

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia