A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Penggunaan Ubat
  6. /
  7. Kesan pengambilan ubat hormon

Kesan pengambilan ubat hormon

Hormon adalah molekul yang dihasilkan oleh sesebuah kelenjar dan memasuki peredaran darah untuk mempengaruhi tubuh badan kita sama ada secara fizikal atau mental mengikut kepada jenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar-kelenjar tertentu.

Definasi Hormon

Apakah itu hormon? Hormon adalah molekul yang dihasilkan oleh sesebuah kelenjar dan memasuki peredaran darah untuk mempengaruhi tubuh badan kita sama ada secara fizikal atau mental mengikut kepada jenis hormon yang dihasilkan oleh kelenjar-kelenjar tertentu. Terdapat beratus-ratus hormon dalam badan manusia, tetapi 9 hormon adalah penting dalam perkembangan seorang manusia yang sihat iaitu Human Growth Hormone, Melatonin, Thyroid, Dehydroepiandrosterone (DHEA), Insulin, Estrogen, Progesterone, Testosteron dan Androgen. Setiap hormon ini mempunyai peranannya yang tersendiri dan artikel kali ini akan lebih memberi penekanan terhadap kesan-kesan pengambilan hormon yang melibatkan ciri-ciri jantina pada manusia.

Jenis Hormon

Terdapat 4 hormon yang memainkan peranan dalam menentukan ciri-ciri kelelakian atau kewanitaan seseorang. Hormon tersebut adalah hormon Estrogen dan Progesteron yang memainkan peranan dalam mengawal ciri-ciri kewanitaan manakala hormon Testosteron dan Androgen pula merupakan hormon yang penting untuk mengekalkan ciri-ciri kelelakian bagi lelaki. Dari segi perubatan, hormon-hormon ini biasanya digunakan sebagai rawatan, antaranya untuk memulihkan ciri-ciri kelelakian dan kewanitaan, sebagai pencegah kehamilan atau rawatan menopaus untuk wanita.

Rawatan menggunakan hormon-hormon ini perlu dilakukan oleh pegawai perubatan atau doktor yang bertauliah. Ini adalah kerana banyak prosedur perlu dilakukan oleh seseorang doktor sebelum mereka memutuskan untuk menggunakan rawatan ini memandangkan kesan sampingan yang boleh memudaratkan.

Tujuan Pengambilan

Penjualan ubat-ubat hormon yang dikatakan boleh memberi kesan ajaib kepada si pembeli sebenarnya adalah amat mengujakan. Sebagai contoh, mereka yang ingin mendapatkan bentuk tubuh dan otot yang tegap disogok dengan pengambilan hormon Testosteron yang dikatakan boleh membantu mereka mendapat tubuh yang diidamkan dengan segera.

Begitu juga dengan golongan transgender, mak nyah atau pak nyah, yang cenderung untuk menukar jantina sedia ada yang mereka katakan sebagai tidak sepatutnya bagi mereka. Mereka menggunakan ubat hormon ini untuk mendapatkan ciri-ciri kewanitaan atau kelelakian yang diidam-idamkan tanpa merujuk kepada yang pakar dan mengabaikan kesan sampingan yang bakal mereka hadapi.

Tidak kurang juga bagi golongan wanita yang mengidamkan bentuk tubuh badan yang lebih cantik dan seksi, mereka merasakan pengambilan hormon ini dapat membantu mereka mencantikkan payudara dan pinggul tanpa merujuk kepada mereka yang pakar.

Kesan Sampingan Hormon Estrogen

Pengambilan hormon Estrogen akan menyebabkan payu dara membengkak dan tegang selain boleh meningkatkan selera makan. Dari segi perubatan, adalah dilarang sama sekali untuk mengambil hormon Estrogen sahaja tanpa ditambah dengan hormon Progesterone. Hormon Estrogen sahaja jika diambil dalam masa yang panjang boleh menyebabkan barah pada rahim, ovari, payu dara dan pangkal rahim.

Oleh itu, doktor selalunya memberi hormon Estrogen dalam bentuk kombinasi bersama hormon Progesterone seperti pil perancang keluarga dan hormon gantian untuk wanita menopaus. Sebarang pengambilan hormon memerlukan pemantauan yang rapi setiap tahun seperti ujian darah, mamogram dan pap smear serta imbasan pelvis.

Kesan sampingan lain ialah peningkatan risiko batu karang dalam hempedu antara dua hingga tiga kali ganda, perdarahan tidak menentu pada rahim, pembekuan darah pada betis kaki dan pelvis yang menyebabkan masalah seperti embolisma paru-paru (kehadiran darah beku dalam sistem saluran darah paru-paru yang menyekat kemasukan darah dalam tisu organ itu) barah hati, darah tinggi, kencing manis dan menggalakkan pertumbuhan fibroid dan endometriosis (tisu dari selaput dalam rahim, yang digelar endometrium telah tumbuh di luar rahim).

Selain itu, kesan sampingan kecil seperti pengumpulan air dalam tubuh, payu dara bengkak dan sakit, loya, muntah, perubahan mood dan perut ‘bengkak’ mungkin juga boleh terjadi bergantung kepada kekuatan tahap imun dan fizikal seseorang.

Kesan Sampingan Hormon Testosteron

Seperti pengambilan hormon Estrogen, hormon Testosteron juga mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan sekiranya diambil tanpa penyeliaan oleh doktor bertauliah. Antara kesan sampingan adalah seperti pembesaran saiz buah dada lelaki, keguguran rambut, testikel (buah zakar) mengecil dan mengecut, ketidaksuburan dan suara bertambah halus.

Kesan sampingan lain adalah seperti jerawat yang teruk, tumor atau ketumbuhan, gangguan sistem pada organ seperti hati, paras kolesterol meningkat, bersikap lebih agresif, gangguan psikologi (tekanan perasaan) dan menjadi ketagih.

Rujuk Pada yang Pakar

Memandangkan kesan sampingan pengambilan hormon tersebut adalah berbahaya, adalah diingatkan bahawa kita perlu sentiasa merujuk kepada doktor sekiranya masih perlu untuk mengambil hormon tambahan tersebut untuk tujuan perubatan,. Mereka akan memastikan pengambilan hormon adalah bersesuaian dengan keadaan pesakit. Setiap prosedur yang sepatutnya dilakukan seperti ujian darah, akan dilakukan dengan betul dan teliti bagi memastikan keadaan fizikal pesakit adalah bersesuaian sebelum memulakan sebarang rawatan yang melibatkan pemberian hormon tambahan.

Jangan mudah terpengaruh dengan iklan-iklan terutamanya dalam media sosial yang sering menjaja keajaiban ubat hormon yang mereka jual. Biarlah kita bersusah payah dahulu untuk mendapat rawatan yang dijamin keberkesanannya, bukan dengan mengambil jalan mudah mempercayai sepenuhnya apa yang dibaca terutama daripada sumber yang belum tentu kesahihannya.

Dengan cara ini juga, sebenarnya masyarakat secara tidak langsung dapat menyumbang dan membantu dalam mengurangkan kewujudan ‘doktor-doktor segera’ ini. Kuasa kita sebagai pengguna sebenarnya adalah sangat kuat dalam memastikan kelangsungan iklan-iklan ubat yang tidak berdaftar ini terus berkubur.

Berbincanglah dengan doktor anda supaya apabila anda perlu membuat pilihan, pilihan itu adalah pilihan yang terbaik dan anda telah betul-betul bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kesan sampingan tersebut.

Semakan Akhir : 28 Februari 2017
Penulis : Norazimah bt. Abd Manan
Akreditor : Nor Azlin bt. Adam

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,669,383

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia