A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radiasi
  6. /
  7. Sinaran Radiofrekuensi dan Kesihatan

Sinaran Radiofrekuensi dan Kesihatan

Sinaran radiofrekuensi adalah sebahagian daripada spektrum elektromagnet. Spektrum ini bermula daripada sinaran yang memiliki nilai frekuensi yang rendah (sebagai contoh gelombang radio), ke sinaran yang memiliki nilai frekuensi yang tinggi (sebagai contoh sinar-X).

Pengenalan

Kemajuan sains dan teknologi telah menjadikan kehidupan kita lebih mudah, selamat dan menjimatkan kos. Namun begitu, kemajuan ini juga menimbulkan kebimbangan di kalangan orang awam khususnya berhubung kesan terhadap alam sekitar dan kesihatan. Lazimnya kebimbangan ini merujuk kepada kesan kesihatan yang mungkin timbul akibat daripada dedahan terhadap sinaran radiofrekuensi (RF) yang dihasilkan oleh menara telekomunikasi dan teknologi tanpa wayar. Sinaran radiofrekuensi (RF) merupakan sebahagian daripada sinaran elektromagnet. Dedahan terhadap sinaran radiofrekuensi (RF) buatan manusia semakin meningkat sejajar dengan peningkatan permintaan dalam penggunaan tenaga elektrik, kemajuan teknologi serta perubahan sosial pada hari ini.

Risalah ini memberikan penjelasan tentang penemuan terkini dalam penyelidikan serta bukti saintifik berkaitan kemungkinan kesan kesihatan akibat daripada dedahan terhadap sinaran radiofrekuensi.

Apa Itu Sinaran Radiofrekuensi?

Sinaran radiofrekuensi adalah sebahagian daripada spektrum elektromagnet. Spektrum ini bermula daripada sinaran yang memiliki nilai frekuensi yang rendah (sebagai contoh gelombang radio), ke sinaran yang memiliki nilai frekuensi yang tinggi (sebagai contoh sinar-X), sepertimana yang ditunjukkan dalam Rajah 1.

Rajah 1: Spektrum Elektromagnet (http://www.silentvector.org/)

Sinaran radiofrekuensi merujuk kepada pemindahan tenaga melalui gelombang radio. Sinaran ini terletak di antara julat frekuensi 3 kilohertz (kHz) hingga 300 gigahertz (GHz). Sinaran radiofrekuensi dikategorikan sebagai sinaran tak mengion. Tidak seperti sinar-X, sinaran ini tidak mempunyai tenaga yang cukup untuk meleraikan ikatan kimia di dalam suatu atom atau untuk menyebabkan berlakunya pengionan. Pada kebiasaannya, kekuatan sinaran radiofrekuensi ditentukan melalui dua komponen iaitu medan elektrik dan medan magnet. Kekuatan medan elektrik diukur dalam unit “volt per meter” (V/m) manakala kekuatan medan magnet diukur dalam unit “amperes per meter” (A/m). Selain itu, terdapat cara lain untuk menentukan kekuatan medan sinaran radiofrekuensi, iaitu ketumpatan kuasa yang diukur dalam unit “watt per meter persegi” (W/m²).

Apakah Sumber yang Menghasilkan Sinaran Radiofrekuensi?

Sinaran radiofrekuensi terhasil daripada dua sumber iaitu sumber semula jadi dan buatan manusia. Contoh sumber semulajadi adalah seperti matahari, bumi dan ionosfera. Kesemua sumber ini memancarkan sinaran radiofrekuensi pada tahap yang rendah.

Contoh sumber buatan manusia adalah seperti peralatan telekomunikasi, peralatan penyiaran, radar, WiFi, rangkaian komputer tanpa wayar dan peralatan perubatan. Disamping itu, semua alat kawalan jauh juga menghasilkan sinaran radiofrekuensi. Kebanyakkan sumber sinaran radiofrekuensi buatan manusia digunakan di dalam bidang komunikasi (sebagai contoh telefon bimbit dan satelit) serta di dalam bidang penyiaran radio dan televisyen. Kekuatan medan sinaran radiofrekuensi yang dihasilkan oleh peralatan telekomunikasi adalah lebih rendah berbanding yang dihasilkan oleh peralatan penyiaran radio dan televisyen.

Apakah Kesan Kesihatan Akibat Dedahan Terhadap Sinaran Radiofrekuensi?

Banyak penyelidikan telah dilakukan sejak 60 tahun yang lalu mengenai kemungkinan kesan kesihatan disebabkan oleh sinaran radiofrekuensi. Dedahan kepada tahap sinaran radiofrekuensi yang cukup tinggi boleh menyebabkan pemanasan terhadap tisu biologi dan berpotensi menyebabkan kerosakan tisu. Walau bagaimanapun, tahap sinaran radiofrekuensi yang sering diterima oleh orang ramai di persekitaran mereka adalah terlalu rendah untuk menyebabkan pemanasan yang ketara atau peningkatan suhu badan.

Walaupun terdapat kajian yang melaporkan pelbagai kesan biologi pada tahap dedahan yang rendah, namun tiada indikasi yang menunjukkan kesan ini boleh menjejaskan kesihatan manusia. Secara keseluruhannya, pelbagai kajian yang dijalankan mengenai kesan sinaran radiofrekuensi pada tahap yang rendah tidak menunjukkan ia boleh membahayakan kesihatan kita. Begitu juga, tiada perubahan pada kadar kes kanser otak sejak telefon bimbit mula diperkenalkan. Kajian makmal juga tidak menunjukkan bahawa sinaran radiofrekuensi boleh mempengaruhi pertumbuhan kanser.

Kebimbangan mengenai kesan menara telekomunikasi dan teknologi tanpa wayar tertumpu kepada kemungkinan kesan kesihatan yang disebabkan oleh dedahan sinaran radiofrekuensi dalam jangka masa yang panjang. Analisis terhadap kajian kesihatan individu yang terdedah kepada sinaran radiofrekuensi untuk jangka masa yang panjang tidak menunjukkan sebarang kesan yang jelas atau konsisten.

Apakah Had Dedahan bagi Sinaran Radiofrekuensi?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggunapakai garis panduan yang dikeluarkan oleh International Commission On Non-Ionizing Radiation Protection, ICNIRP (Guidelines for limiting exposure to time-varying electric and magnetic fields (up to 300 GHz)) seperti yang disyorkan oleh WHO. Had dedahan yang ditetapkan dalam garis panduan ICNIRP telah mengambilkira tahap yang selamat daripada kesan sinaran radiofrekuensi iaitu 50 kali ganda lebih rendah berbanding tahap di mana kesan kesihatan mungkin terjadi. Had dedahan untuk orang awam dan pekerja diringkaskan seperti di Jadual 1.

Jadual 1: Had Dedahan bagi Orang Awam dan Pekerja

 

Julat Frekuensi
(Hz)

Medan Magnet
(A/m)

Medan Elektrik
(V/m)

Kuasa Ketumpatan
(W/m2)

Orang Awam

1 MHz – 10 MHz

0.73/f

87/f1/2

10 MHz – 400 MHz

0.073

28

2

400 MHz – 2000 MHz

0.0037 f1/2

1.375f1/2

f/200

2 MHz – 300 GHz

0.16

61

10

Pekerja

1 MHz – 10 MHz

1.6/f

610/f

10 MHz – 400 MHz

0.16

61

10

400 MHz – 2000 MHz

0.008 f1/2

3f1/2

f/40

2 MHz – 300 GHz

0.36

137

50

* Nota : f merujuk kepada nilai frekuensi dalam julat frekuensi yang diukur

Adakah Kita Selamat?

Kekuatan sinaran radiofrekuensi yang dipancarkan oleh menara telekomunikasi, rangkaian penyiaran dan perkhidmatan komunikasi peribadi bergantung kepada jumlah pemancar, kuasa setiap pemancar dan jenis antena yang digunakan. Pada umumnya, tahap dedahan paling tinggi adalah pada kedudukan yang sama dengan ketinggian antena dan betul-betul di hadapan antena. Namun begitu, tahap dedahan ini akan berkurangan secara mendadak apabila semakin jauh daripada antena. Kebiasaannya, capaian kepada antena akan dihadkan supaya orang ramai tidak terdedah kepada sinaran radiofrekuensi yang tinggi.

Kebiasaanya tahap dedahan yang tinggi terhadap sinaran radiofrekuensi boleh berlaku kepada pekerja dalam industri penyiaran dan telekomunikasi apabila mereka bekerja berdekatan dengan antena. Sesetengah proses dalam bidang industri yang menggunakan sinaran radiofrekuensi untuk memanaskan bahan juga boleh menghasilkan dedahan yang tinggi kepada pekerja. Oleh itu, pekerja yang terlibat harus mematuhi prosedur operasi standard (standard operation procedure – SOP) masing-masing.

Kajian pengukuran yang dijalankan di negara ini menunjukkan bahawa dedahan kepada sinaran radiofrekuensi daripada menara telekomunikasi adalah sangat rendah, iaitu dalam julat 0.01% hingga 1% berbanding nilai dedahan yang ditetapkan oleh ICNIRP. Tahap dedahan yang berbeza-beza ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor seperti jarak dari antena serta keadaan persekitaran.

Kesimpulan

Mengambilkira aras dedahan sinaran radiofrekuensi yang sangat rendah daripada punca peralatan telekomunikasi, peralatan penyiaran, WiFi, rangkaian komputer tanpa wayar dan alat kawalan jauh, serta keputusan penyelidikan yang dikumpulkan sehingga kini, tiada bukti saintifik yang meyakinkan untuk mengaitkan kesan negatif terhadap kesihatan yang mungkin timbul daripada dedahan sinaran tersebut.

Semakan Akhir : Februari 2018
Disediakan Oleh : Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan
Kementerian Kesihatan Malaysia

Artikel Berkaitan

Rawatan Fisioterapi bagi Tennis Elbow

Sakit di bahagian luar sendi siku dan ia dikategorikan sebagai sakit akut. Ia juga berkait dengan Common Extensor Tendon (yang terletak di bahagian luar lengan) dan sakit apabila ditekan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 224,026,385

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia