A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Dentur – Pemakaian & Penjagaan

Dentur tidak sepatutnya dipakai semasa tidur, untuk merehatkan tisu. Dentur perlu disimpan di dalam bekas bertutup yang berisi air untuk mengelakkan berlakunya pengeringan dan perubahan dimensi berlaku.

Pengenalan

Kehilangan gigi boleh menyebabkan terjejasnya estetik dan mungkin ia memberikan impak yang lebih pada pesakit berbanding dengan kehilangan fungsi. Seperti yang diterima oleh masyarakat kini, kehilangan gigi, terutama gigi hadapan akan memberi kesan stigma sosial. Berikutan dengan kehilangan gigi dan pengecutan batas (tulang) alveolar, profil muka akan turut berubah, akibat dari hilangnya sokongan bibir dan penurunan ketinggian muka. Ini adalah kesan dari penurunan dimensi tegak gigitan. Dengan kata lain, muka akan kelihatan ‘pendek’ secara vertikal akibat dari hilangnya sokongan dari gigi. Manakala kehilangan gusi dan tulang di sekeliling gigi hadapan akan menyebabkan bibir atas kelihatan leper (hilang sokongan). Bagi mengembalikan estetik, adalah satu cabaran, di mana ia merupakan perkara yang penting untuk diambil kira semasa menjalankan rawatan prostetik.

Daripada laporan yang telah diperolehi, ramai individu yang mempunyai gigi yang lengkap menunjukkan tahap fungsi pengunyahan yang berbeza-beza. Kehilangan gigi akan mendorong pesakit untuk mendapatkan rawatan bila mereka menyedari bahawa ia telah mengganggu fungsi.

Dentur perlu memenuhi beberapa objektif asas, iaitu:

  • Menghindari dari sebarang penyakit mulut
  • Mengekalkan kesihatan dan hubungan antara gigi dan struktur mulut yang lain.
  • Mengembalikan fungsi oral termasuk keselesaan, estetik yang memuaskan dan fungsi pertuturan yang baik.

Pesakit yang telah memakai dentur dalam tempoh masa yang tertentu perlu kembali untuk mendapatkan rawatan susulan kerana dentur akan menjadi longgar, sakit, pengunyahan kurang berkesan, atau berubah dari segi estetik. Perubahan demikian boleh berlaku akibat dari gigitan yang tidak harmoni (sekata) pada masa dentur diberikan atau disebabkan perubahan pada struktur yang menyokong dentur tersebut.

Penjagaan dentur yang teliti adalah amat penting untuk memastikan tahap kesihatan yang berkekalan pada struktur mulut. Kekerapan doktor pergigian perlu melakukan pemeriksaan pada mulut dan dentur bergantung kepada keadaan mulut pesakit. Bagi pesakit yang mudah terdedah kepada karies, cenderung untuk mendapat penyakit gusi atau mudah berlaku pengecutan tulang, pemeriksaan perlu dilakukan dengan lebih kerap. Bagi pesakit yang normal, pemeriksaan sebaik-baiknya dilakukan setiap 6 bulan.

Bagaimana dentur boleh menjejaskan kesihatan mulut?

  • Gigitan yang seimbang diperlukan semasa memakai dentur kerana gigitan yang tidak seimbang boleh menyebabkan dentur tidak stabil (terjongket) dan boleh melukakan gusi dan tisu lembut lain.
  • Bila memakai dentur separuh, gigi akan terdedah kepada pembentukan karies disebabkan oleh lekatan sisa makanan dan pengumpulan plak.
  • Kerosakan pada gusi yang menyokong dentur berlaku bila terdapat kurang tisu penyokong pada bahagian belakang.
  • Keradangan tisu gusi akan berlaku pada bahagian gusi yang ditutupi oleh kerangka dentur disebabkan pengumpulan sisa makanan.
  • Denture stomatitis, iaitu keradangan kronik pada mukosa yang menyokong dentur boleh terjadi disebabkan oleh luka akibat dentur yang longgar, tabiat para fungsi, sensitif terhadap bahan dentur, jangkitan oleh Candida Albicans (jangkitan fungal) dan tahap kebersihan mulut dan dentur yang rendah. Kebanyakan pesakit yang menghidap denture stomatitis tidak sedar adanya lesi tersebut, kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya sebilangan kecil pesakit yang mengadu rasa terbakar atau gatal.
  • Papillary Hyperplasia atau papillomatosis adalah keradangan lelangit jenis berbintik. Ia boleh terjadi bila terdapat ruang di antara dentur dan tisu penyokong yang secara tidak langsung menyebabkan kedudukan dentur tidak tetap atau boleh berubah-ubah. Papillomatosis banyak berlaku pada pesakit yang memakai dentur dalam tempoh 24 jam sehari., dan pesakit akan diarahkan untuk merehatkan tisu dengan menanggalkan dentur pada waktu malam.
  • Tisu hiperplastik boleh terjadi dalam bentuk tuberositi berfiber, batas yang lembut dan menggeleber dan papillomatosis, ia disebabkan oleh luka akibat pemakaian dentur, tabiat dan tempoh pemakaian dentur.

Bagaimana untuk menjaga dentur?

Jenis-jenis dentur

Terdapat dua jenis dentur; dentur resin akrilik dan dentur logam (metal).

Reka bentuk dentur separuh resin akrilik yang sering digunakan melibatkan sentuhan yang rapat antara tapak dentur dan gusi di sekeliling gigi yang masih tinggal, ini menyebabkan pengumpulan plak dan sisa makanan yang seterusnya boleh menyebabkan keradangan gusi dan hyperplasia. Bagi pesakit yang mempunyai tahap kebersihan mulut yang rendah, pembentukan karies dan penyakit gusi akan lebih mudah terjadi.

  • Dentur resin akrilik – Bahan yang selalu digunakan untuk menghasilkan dentur adalah polimethil methacrilate dan ia dipanggil resin akrilik. Dentur resin akrilik boleh digunakan untuk menghasilkan dentur penuh atau separuh, bergantung kepada bilangan gigi yang hilang.
  • Dentur logam – Dentur yang mempunyai tapak logam boleh digunakan untuk dentur penuh atau separuh. Dentur jenis ini selalunya dibuat dengan kombinasi aloi kobalt-kromium dan resin akrilik pempolimeran panas. Kerangka logam dentur yang direka bentuk dengan betul dan teliti akan menghasilkan dentur yang baik. Walaupun kos dentur logam adalah lebih tinggi namun ia memberikan lebih keselesaan pada pesakit. Untuk mengelakkan dari berlakunya kepatahan pada klasp, pesakit dinasihatkan menanggalkan dentur dengan memegang bahagian tapak dan bukannya dengan menolak lengan klasp dari gigi secara berulang kali dengan menggunakan kuku jari.

Dentur dan gigi yang menyokong dentur perlu berada dalam keadaan yang bersih. Keradangan pada tisu gusi dapat dielakkan dengan membersihkan sisa makanan dan menggosok kawasan yang ditutupi oleh tapak dentur menggunakan berus.

Mulut dan juga dentur perlu berada dalam keadaan yang bersih setiap kali selepas makan. Membersihkan dentur dan mulut menggunakan air selepas makan sudah memadai sekiranya tidak dapat memberus.

Dentur akan lebih bersih sekiranya menggunakan berus yang kecil dan lembut dengan ubat gigi yang tidak melelas atau lebih baik dengan menggunakan sabun tangan atau gel pencuci pinggan yang biasa. Pencuci untuk kegunaan di rumah yang lebih melelas tidak patut digunakan kerana ia boleh melelaskan permukaan resin akrilik.

Pembersihan dentur juga boleh menggunakan larutan pembersih. Pesakit perlu dinasihatkan untuk merendam dentur di dalam larutan selama 15 minit, sekali sehari, diikuti dengan memberus dengan menggunakan sabun/gel.

Pencuci rendaman boleh menjadi satu cara tambahan untuk membersihkan dentur, dengan merendamkannya semalaman. Larutan hipoklorit adalah berkesan sebagai pencuci untuk dentur akrilik, namun ia boleh menyebabkan karat pada kerangka kobalt-kromium dan perlu dielakkan.

Mencuci dentur di dalam bekas yang berisi air adalah digalakkan kerana sekiranya dentur terjatuh semasa mencuci, kesannya adalah kurang. Resin akrilik yang nipis akan senang patah bila ia terjatuh di atas permukaan yang keras.

Dentur tidak sepatutnya dipakai semasa tidur, untuk merehatkan tisu. Dentur perlu disimpan di dalam bekas bertutup yang berisi air untuk mengelakkan berlakunya pengeringan dan perubahan dimensi berlaku. Dentur yang telah kering akan menyebabkan kesulitan untuk dipadankan di dalam mulut atau lebih teruk lagi ia perlu ditukar dengan dentur yang baru.

Pemakai dentur perlu tahu langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya terdapat pembentukan kalkulus pada dentur mereka. Pemberusan dentur yang berkesan pada setiap hari akan dapat menghindari dari terbentuknya kalkulus. Sekiranya kalkulus terbentuk, pembersihan harus dilakukan di klinik dengan menggunakan alat pembersih ultrasonik.

Temu janji susulan diperlukan untuk memastikan dan mengekalkan tahap kawalan plak pesakit. Bagi pesakit yang mempunyai tahap kebersihan mulut dan dentur yang tidak memuaskan, mereka lebih terdedah kepada kehilangan gigi asli akibat karies dan penyakit gusi dan juga boleh menyebabkan denture stomatitis. Rawatan terbaik untuk denture stomatitis adalah mengelakkan ia dari berlaku, Kebersihan mulut yang memuaskan dan merehatkan tisu di bawah dentur. Selain itu, ia boleh dirawat dengan memberikan dentur yang baru dan lebih padan kepada pesakit. Terapi anti fungal juga boleh diberikan sekiranya jangkitan candida albican sudah dikenal pasti.

Dentur yang terjongket atau longgar boleh menyebabkan perubahan bentuk pada batas sokongan. Ia perlu diperbaiki dengan cara melapik atau melandas semula dentur tersebut. Apabila perubahan yang berlaku pada tisu penyokong adalah terlalu ketara, maka dentur baru yang mempunyai padanan yang baik diperlukan.

Pesakit perlu memahami bahawa rawatan dentur adalah tidak kekal,tetapi memerlukan penjagaan yang berkala dan berterusan oleh pesakit dan juga doktor pergigian.

Dentur akrilik


Dentur sebahagian atas akrilik


Dentur penuh bawah akrilik


Dentur penuh atas dan bawah akrilik

Dentur kobalt kromium


Overdentur Implant Atakmen Teleskopik


Dentur kobalt kromium penuh atas


Dentur kobalt kromium sebahagian atas


Dentur kobalt kromium sebahagian bawah


Dentur kobalt kromium sebahagian bawah di dalam mulut

Pencuci dentur

.
Pencuci dentur Polident 3-Minute Double Action

.
Pepsodent

.
Perendam dentur Sea-Bond

Berus gigi untuk dentur

.
Berus gigi untuk dentur

.
Berus dentur Wisdom

.
Berus dentur Butler Gum

.
Berus dentur Dr. Fresh Orafix

.
Berus dentur Oral-B

.
Pencuci Ultrasonik

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Rohani bt. Mahmood
Penterjemah : Dr. Isma Liza bt. Ali
Akreditor : Dr. Kamarul Hisham b. Kamarudin
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

Komplikasi Cabutan Gigi

Cabutan gigi adalah satu proses pembuangan gigi dari soketnya di tulang rahang .Cabutan gigi yang ideal ditakrifkan sebagai satu  proses pembuangan keseluruhan gigi atau akar gigi yang tidak menyakitkan, dengan trauma yang minimum ke atas  tisu sekelilingnya supaya luka bekas cabutan akan sembuh dengan sempurna.

Kandidiasis Mulut

Kandidiasis mulut terjadi apabila organisma ini menyebabkan penyakit atau lesi di dalam rongga mulut.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,138,665

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-05 09:57:31
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia