A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Apakah ‘fad diet’?

‘Fad diet’ adalah pelan diet yang menjanjikan penurunan berat badan yang cepat dan biasanya diamalkan oleh mereka yang terdesak untuk mengurangkan berat badan. Biasanya ‘fad diet’ adalah tidak sihat, tidak seimbang dan berkemungkinan besar mempunyai kesan sampingan.

Bagaimana ‘fad diet’ berfungsi?

‘Fad diet’ tidak boleh membentuk tabiat makan secara sihat. Sesetengah ‘fad diet’ tidak menghilangkan lemak, tetapi hanya menghilangkan air sahaja. Kebanyakan ‘fad diet’ meningkatkan penghasilan urin yang menggalakkan pembuangan air melalui air kencing. Dengan cara ini, badan akan kehilangan air serta vitamin dan mineral yang penting.

Sesetengah ‘fad diet’ menjadi popular kerana boleh memberi kesan dalam masa yang singkat. Contohnya, diet tinggi protein dan diet tinggi lemak mencetuskan ketosis dan menyebabkan pengurangan berat badan dalam jangka masa yang singkat. Pengurangan berat badan juga berlaku kerana kesan duretik akibat pengambilan karbohidrat yang rendah, kehilangan air dari badan, penggunaan glikogen dan ketosis. Mereka yang mengamalkan ‘fad diet’ biasanya akan mengalami penambahan berat badan semula.

Sesetengah ‘fad diet’ sukar untuk diikuti kerana ia membosankan dan mengehadkan pengambilan sesetengah jenis makanan. Anda mungkin mengalami pengurangan berat badan, tetapi lama-kelamaan selera makan anda mungkin tidak dapat dikawal dan ini akan mengakibatkan penambahan berat badan lebih daripada berat badan asal.

Sesetengah ‘fad diet’ boleh membahayakan. Diet yang terlalu rendah kalori boleh mengakibatkan keletihan, ketidakselesaan dan kekejangan otot. Kekurangan protein dan karbohidrat pula menyebabkan rasa pening, keletihan dan pelbagai penyakit lain.

Kenapa ‘fad diet’ popular?

Ramai orang lebih suka mencuba ‘fad diet’ yang menjanjikan hasil yang cepat berbanding dengan berusaha mengurangkan berat badan dengan melakukan perubahan jangka masa panjang dalam amalan pemakanan dan senaman.

Oleh itu, syarikat pengeluar ‘fad diet’ mengambil peluang menggunakan strategi pemasaran yang agresif terhadap produk makanan di sebalik fakta ini.

Jenis Diet

Jenis Diet Rasional Risiko

Diet Terlalu Rendah Kalori

Diet Terlalu Rendah Kalori adalah diet yang mengandungi kurang daripada 800 kcal sehari.

Apabila pengambilan tenaga adalah rendah, tubuh akan mendapatkan tenaga yang diperlukan daripada simpanan lemak.

Walau bagaimanapun, dalam keadaan ini, tubuh akan menjadi lebih efisyen dan boleh berfungsi dengan menggunakan tenaga yang rendah menyebabkan kadar metabolisme tubuh menurun.

Tubuh juga cenderung untuk menggunakan tisu tanpa lemak daripada otot untuk menghasilkan tenaga.

Diet Terlalu Rendah Kalori dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan dan komplikasi seperti pembentukan batu dalam pundi hempedu, kehilangan jisim otot, ketosis dan peningkatan asid urik dalam darah akibat ketidakseimbangan tenaga.

Kematian mengejut juga boleh berlaku kepada pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit lain terutama yang mengambil kalori kurang daripada 600 kcal sehari.

Diet Rendah Lemak

Menghindarkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak akan mengakibatkan pengurangan pengambilan jumlah kalori harian.

Oleh kerana diet ini rendah kandungan lemak, kekurangan vitamin larut lemak mungkin boleh berlaku.

Diet Tinggi Serat

Diet tinggi serat boleh membantu penurunan berat badan kerana ia memberi rasa yang mengenyangkan dengan pengambilan kalori yang sedikit.

Jumlah serat yang disarankan biasanya terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti senak perut (kembung) dan cirit birit. Bagi mereka yang mempunyai masalah sistem penghadaman, ia akan memburukkan lagi keadaan. Pengambilan bran yang banyak akan mengurangkan penyerapan mineral seperti zat besi dan zink.

Diet Tinggi Protein

Pengambilan karbohidrat dihadkan kepada kurang daripada 30 gram sehari. Pengambilan protein dan lemak yang terlalu tinggi melambatkan perut kosong. Ini mengurangkan keinginan untuk makan dan menghadkan pengambilan tenaga.

Diet ini mungkin meningkatkan pengambilan kolesterol dan lemak tepu.

Diet ini juga kurang kandungan serat terutamanya bijirin penuh.

Pengamal diet ini mungkin mengalami sembelit dan fungsi kognitif yang terjejas.

Pengambilan protein yang tinggi meningkatkan paras asid urik dalam buah pinggang dan berisiko untuk pembentukan batu karang.

Nasihat

Anda tidak sepatutnya mencuba ‘fad diet’ tanpa mendapat nasihat daripada doktor. Jika anda merasa sesuatu yang tidak kena, hentikan diet tersebut dengan segera.

Anda perlu maklum bahawa tahap kejayaan amalan ‘fad diet’ adalah tipis dan ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan.

 

Semakan Akhir : 19 April 2012
Penulis : Surainee bt. Wahab
Penyemak : Pn. Zalma binti Abdul Razak

Artikel Berkaitan

Penjagaan Pemakanan Pesakit Hipotiroidisme

Hipotiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid tidak aktif. Hormon tiroid yang dihasilkan terlalu sedikit dan tidak mencukupi. Risiko  penyakit hipotiroidisme adalah tinggi di kalangan wanita yang berumur 50 tahun ke atas, terutamanya yang mempunyai sejarah keluarga dengan penyakit yang sama. Rawatan gantian hormon tiroid biasanya diperlukan untuk seumur hidup.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,502,185

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia