A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Hepatitis B bagi Kanak-kanak

Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B iaitu HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan orang yang telah dijangkiti

Apakah maksud Hepatitis B?

Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B iaitu HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan (air mani, air liur serta cecair daripada luka) orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah secara langsung kepada darah atau cecair badan. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh juga menyebabkan bayi mereka turut dijangkiti oleh HBV.

Bagaimanakah seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?

Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari daripada hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak.

Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B adalah:

  • Penat.
  • Sakit kuning.
  • Gatal-gatal.
  • Hilang selera makan.
  • Hilang berat badan.
  • Sakit perut.
  • Sakit-sakit sendi.

Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?

Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil pesakit yang dijangkiti akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih daripada jangkitan awal Hepatitis B.

Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:

  • Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis).
  • Cirrhosis hati (Liver cirrhosis).
  • Kegagalan fungsi hati (Liver failure).
  • Barah hati.

Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?

Tiada rawatan khusus untuk jangkitan akut hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:

  • Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak.
  • Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar.
  • Elakkan arak/alkohol.
  • Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubatan yang diambil untuk penyakit kronik yang lain.

Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine. Sila bertanya lanjut mengenai rawatan dengan doktor anda.

Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan daripada dijangkiti Hepatitis B?

Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu. Contohnya:

  • Hepatitis B boleh dielakkan dengan:
    • Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang.
    • Elakkan berkongsi barang persendirian (contohnya pisau pencukur).
    • Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah atau organ.
  • Hepatitis B boleh juga dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV di mana 3 dos diberi semasa lahir, 1 bulan dan 6 bulan mengikut  jadual imunisasi Malaysia.
  • Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur lain, untuk kumpulan masyarakat yang tertentu jika mereka tidak mendapat suntikan imunisasi sebelumnya atau tidak pernah mendapat jangkitan ini sebelumnya.

Contohnya:

  • Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual.
  • Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah.
  • Kaki tangan kesihatan.
  • Pesakit-pesakit dialisis.

Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin. Sila beritahu masalah jangkitan HBV kepada doktor anda supaya immunoglobulin dapat disediakan awal sebelum anak anda lahir.

Kumpulan sokongan

Malaysian Liver Foundation
No 26, Blok C, Jalan PJU 1A/3,
Taipan Damansara 2, Ara Damansara,
47301 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
Malaysia
Tel : 603-78426101
Email : enquiries@liver.org.my
Website : www.liver.org.my

Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Chan Kwai Cheng
Penyemak : Dr. Zainab bt. Kusiar

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,869

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia