A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Left Panel MS
  4. /
  5. Soalan Lazim MS
  6. /
  7. Masalah Pemakanan Kanak-Kanak –...

Masalah Pemakanan Kanak-Kanak – FAQ

  1. Anak saya berumur 2 tahun 9 bulan, selera makan pun tidak berapa baik. Dalam sehari kadang-kadang langsung tidak mahu makan dan hanya mengambil beberapa suap makanan saja kebiasaannya.Apakah cara untuk menaikkan selera makan.

Sebaik-baiknya anda perlu melihat dengan lebih mendalam corak pemakanan anak anda dan juga memahami keperluan pemakanan mengikut usia anak anda. Masalah ini boleh berlaku jika anak diperkenalkan dengan makanan pepejal (pelengkap) lambat. Salah satu perkara yang perlu diperhatikan ialah jumlah kuntiti/pengambilan susu dalam sehari. Pada usia ini, kanak-kanak pada kebiasaannya mengambil susu pada kadar 2-3 botol besar atau 500ml – 720ml. Jika anak anda minum lebih banyak susu daripada itu atau memberi susu sebelum masa makan, anak anda akan kekenyangan dan kurang selera. Dalam keadaan ini, kurangkan susu sebelum masa makan dan beri makanan bila anak lapar. Selepas makan baru beri susu jika anak masih mahu minum susu. Sekiranya, anak anda terlalu suka bermain, cuba disiplinkan anak anda dengan menghidangkan makanan di meja makan atau duduk di kerusinya untuk semasa jadual makannya. Ini akan membolehkannya dapat menumpukan perhatiannya pada makanan yang diberikan. Selain itu, berkomunikasi dengan anak atau tunjuk gambar semasa anak duduk dan memuji anak apabila dia habiskan makanan atau duduk di kerusinya semasa makan

Sebab- sebab kanak-kanak enggan makan :

  • Terlalu memilih makanan (picky eater).
  • Tidak memberi tumpuan kepada aktiviti makan dan asyik mahu bermain atau jalan ke sana sini.
  • Telah mengalami pengalaman negatif semasa makan pada masa lalu. Oleh itu kanak-kanak kurang mahu makanan masuk ke dalam mulut. Misalan-misalan pengalaman negatif ialah penjaga paksa makan dengan cara kasar atau muntah teruk selepas makan
  • Berpenyakit dan kurang selera. Ini bukan senantiasa dan ada tanda-tanda lain yang kanak-kanak kurang sihat.

Anda perlu membawa anak anda berjumpa doktor sekiranya berat badan anak menurun dan tidak aktif seperti biasa.

Untuk maklumat lanjut sila layari Portal MyHEALTH : Makanan Pelengkap dan Kanak-kanak yang kurang berat badan

 

  1. Anak perempuan saya berumur 4 tahun, berat badannya hanya naik sedikit sahaja dan badannya nampak lebih kurus. Mengikut perkiraan BMI, berat badannya masih dalam julat normal. Adakah cara lain untuk memastikan masalah yang dihadapi anak saya?

Analisa BMI di kalangan kanak-kanak lain daripada kiraan BMI di kalangan dewasa. Formula yang sama digunakan tetapi hasil angka BMI dibanding dengan centile kanak-kanak yang sama umur dan jantina. Kanak-kanak yang ada BMI yang kurang dari centile ke lima (5th centile) dikira kurang berat badan.

Anda tidak perlu khuatir kerana jisim berat badan (BMI) anak puan masih dalam julat normal. Kanak-kanak kecil berat badan (1 tahun ke atas) akan bertambah pada kadar 2 kilogram setahun sahaja berbanding dengan semasa bayi di mana pertambahan berat badan lebih kurang 7 kilogram dalam setahun. Ketinggian anak pun naik. Oleh sebab itu, anak boleh nampak “lebih kurus” walaupun pembesaran anak biasa.

Walau bagaimanapun jika kadar kenaikan berat badan anak bertambah kurang atau berat badan turun, sila jumpa doktor.

Untuk maklumat lanjut sila layari Portal MyHEALTH : Pemakanan kanak-kanak yang kurang berat badan

 

  1. Masalah anak saya ialah enggan makan nasi. Apabila diberikan, anak saya akan meluahkan kembali makanan, tetapi anak saya gemarkan roti berkrim. Dia juga tidak suka makan sayur dan hanya suka makanan daging yang dimasak secara berkicap. Mohon nasihat dari doktor.

Keengganan untuk makan dan memilih untuk makan merupakan sebahagian daripada perkembangan normal psikologikal kanak-kanak. Pada amnya, kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami sebarang penyakit.

Walaupun anak anda memilih atau mengelak salah satu jenis makanan daripada diet hariannya,

keadaan ini anda tidak perlu bimbang jika dia membesar secara normal. Jika anak anda membesar secara normal walaupun menolak makanan, cuba cara berikut:

  • Berikan makanan yang sering dielakkan oleh anak anda pada masa yang lain. Terus berusaha dan jangan putus asa.
  • Terus memperkenalkan makanan baru kepada anak anda. Sediakan pelbagai jenis makanan (termasuklah makanan yang disukai oleh anak anda) pada setiap waktu makan.
  • Cuba hidangkan makanan dalam pelbagai bentuk yang menarik tetapi memberikan hidangan yang baru sekali seminggu sahaja pada mulanya.
  • Paling penting elakkan daripada pertengkaran ketika waktu makan. Tolong jangan memaksa anak anda untuk makan atau bertengkar dengan atau menghukum anak anda semasa waktu makan. Ini boleh membuat masa makanan masa yang tidak disukai oleh anak.
  • Belajar untuk mengurangkan perasaan risau atau bimbang kerana keadaan ini boleh menguatkan lagi keengganan anak anda untuk makan.
  • Berikan pujian apabila anak anda mula memakan jenis makan yang selama ini ditolak oleh anak sebagai sejenis galakkan.

Walau bagaimanapun, jika kanak-kanak mengalami gejala seperti penurunan berat badan, muntah dan tercekik, penilaian yang terperinci diperlukan bagi mengesahkan sama ada terdapat masalah kesihatan lain selain daripada keengganan untuk makan.

Layari laman web Portal MyHEALTH untuk maklumat lanjut tentang tanda-tanda bahaya >>Keengganan Untuk Makan

 

  1. Bagaimana untuk memujuk bayi agar menyusu susu dari kedua-dua belah payudara?

Pengetahuan dan latihan penyusuan susu ibu adalah penting untuk ibu. Para ibu akan diberi tunjuk ajar oleh anggota kesihatan dari masa ke semasa. Sekiranya ibu mendapati masih belum biasa dengan teknik penyusuan atau bayi masih tidak selesa untuk menyusu di kedua belah payudara, dapatkan bantuan dari konsultan laktasi, jururawat terlatih atau kumpulan sokongan penyusuan susu ibu agar anda mendapat sokongan dan bantuan yang diperlukan.

Ibu akan kekok pada peringkat awal penyusuan. Kebiasaannya, jika ibu selalu mengguna tangan kanan untuk bekerja, ibu akan lebih selesa untuk menyusukan anak disebelah kiri. Jadi, cara ibu memegang anak di sebelah kiri mungkin tidak begitu sesuai untuk anak menyusu puting payudara di sebelah kanan.

Ibu hendaklah membiasakan dan kerap memberi anak menyusu sebelah kanan dahulu sebelum memberi menyusu sebelah kiri semasa anak “relax”. Tiada gangguan bising dan di dalam bilik

yang agak gelap. Dakap, belai dan usap bayi dengan lembut dan mesra. Jangan putus asa

sekiranya bayi menolak. Bersabar dan berusaha dan cuba lagi. Latih bayi secara perlahan-lahan,

jangan paksa bayi kerana akan membuat bayi menangis dan tidak selesa.

Sila rujuk artikel penyusuan susu ibu- cara menyusu untuk maklumat lanjut.

 

  1. Bolehkah bayi yang baru lahir dalam 3 hari diberi minum air?

Tiada keperluan bayi yang baru lahir diberikan air. Ini kerana apabila bayi terasa dahaga dan belum lapar, bayi akan menyusu sedikit sahaja. Susu ibu yang keluar pada mulanya lebih cair berbanding dengan susu pada akhir penyusuan ibu. Oleh itu, dengan penyusuan susu ibu, bayi boleh mengawal kuantiti air atau lemak yang diambil. Memberi air kepada bayi berumur kurang enam bulan yang menyusu susu ibu boleh memudaratkan kerana bayi boleh menjadi kenyang tanpa kalori. Ini juga boleh mengganggu penghasilan susu ibu kerana kekerapan bayi menyusu akan menjadi berkurangan kerana bayi sudah kenyang dengan air. Jika anda dapati pemberian susu ibu tidak mencukupi, susukan bayi anda dengan lebih kerap dan pastikan teknik penyusuan adalah betul (‘latching’ yang betul). Bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif sehingga berumur enam bulan akan membesar dengan sihat dan tidak memerlukan makanan lain.

Untuk maklumat lanjut, sila layari Portal MyHEALTH: Penyusuan Susu Ibu – Bahaya Air


  1. Saya mempunyai seorang anak perempuan berumur 1 tahun. Anak saya adalah aktif dan saya dapat lihat, dia juga tidak cerewet ketika makan (kekerapan 3 hinggs 4 kali sehari). Masa tidurnya juga adalah normal. Tetapi, anak saya kurang minum susu (susu formula). Lebih kurang 6oz sekali minum dan boleh dikira berapa kali sehari. Paling tidak 4-5 kali sehari. Masalah yang ingin saya tanyakan, anak saya tidak lawas ketika membuang air besar dan najisnya bewarna hijau tua. Itu yang membuatkan saya risau tentang anak saya ini. Adakah anak saya mempunyai apa-apa masalah kesihatan? Saya harap tuan/puan dapat menerangkan masalah tersebut.

Anak anda sihat. Bagi umur setahun, jumlah susu yang diminumnya adalah memadai. Ini boleh dilihat dengan kadar pembesaran yang memuaskan. Pastikan penyediaan makanan anak ditambah dengan buah-buahan. Berikan air masak secukupnya. Sila lihat “sembelit” dan “masalah tumbesaran”. Jenama susu akan berbeza sedikit dari segi kandungannya. Warna najis adalah bergantung kepada kandungan makanan/susu. Kebiasaannya najis berwarna hitam kehijauan adalah disebabkan kandungan zat besi/iron dalam susu formula, tetapi jika konsistensi najis agak keras, warnanya akan lebih gelap.

 

  1. Susu apa yang paling sesuai untuk anak yang ada masalah sembelit?

Susu ibu pilihan yang terbaik untuk menghindari masalah sembelit. Terdapat pelbagai sebab bayi dan kanak-kanak sembelit dan mereka tidak semestinya disebabkan oleh susu formula sahaja.

Sila rujuk Portal Myhealth: Sembelit.

 

  1. Bayi saya yang berumur 2 bulan 2 hari kerap tersedak susu. Saya menyusu bayi saya sepenuhnya. Selepas menyusu, saya akan sendawakan dia dengan kaedah meniarap. Tetapi bayi saya kerap batuk ketika menyusu, adakah ia kesan sampingan yang dialami bayi saya? Saya ada berpuasa 3 hari berturut-turut, adakah faktor ini penyebab bayi saya tidak dapat membuang air besar? Mohon penjelasan.

Cuba periksa aliran susu puan sama ada terlalu laju atau memancut sehingga bayi tidak sempat menelan. Ibu perlu belajar untuk mengawal kelajuan susu dengan menekan payu dara semasa bayi menyusu jika pancutan air susu laju. Posture terbaik sebaik sahaja sudah menyusu adalah dengan meninggikan kepala bayi. Sekiranya kepala bayi ditinggikan, apabila bayi tersedak, susu akan termuntah/terpancut keluar. Sebaliknya sekiranya bayi dalam keadaan baring terlentang atau meniarap kerana dikhuatiri apabila bayi tersedak, susu akan tertelan kembali dan masuk ke rongga pernafasan mengakibatkan bayi batuk dan berisiko menyebabkan bayi lemas. Sekiranya masalah ini berterusan adalah dinasihatkan puan membawa anak berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Jika bayi puan masih mengalami tersedak susu setelah anda menyemak dan membetulkan teknik yang dinyatakan, bawalah anak berjumpa doktor untuk melihat sama ada bayi puan tidak sihat atau mempunyai masalah kesihatan lain. Selain itu, jika bayi anda mengalami batuk dan selesema dan megalami tersedak susu, bawa bayi puan untuk pemeriksaan dengan segera.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH: Bayi tersedak susu

 

  1. Bolehkah memberi madu kepada bayi yang berusia 7 bulan?

Madu dianggap sebagai makanan yang berkhasiat dan dalam budaya tertentu madu diberi pada bayi yang baru lahir. Akan tetapi, madu mengandungi spora kuman Clostridium botulinum. Oleh sebab kekurangan immuniti bayi, bayi yang kurang 1 tahun berisiko untuk mendapat botulism yang mana badan bayi menjadi sangat lembik dan akan kurang menyusu. Jadi madu tidak boleh diberi kepada bayi yang berumur bawah satu tahun.

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,315

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia