A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Merokok

Soalan 1

Bagaimana cara untuk berhenti dan membantu orang lain berhenti merokok?

Jawapan 1

Seseorang yang hendak berhenti merokok akan melalui 4 fasa dan perlu melakukan beberapa tindakan seperti berikut:

    1. Fasa 1: Berfikir untuk berhenti merokokBuat keputusan tegas bahawa anda benar-benar hendak meninggalkan tabiat merokok. Kuatkan tekad dan berjanjilah kepada diri sendiri yang anda bersungguh-sungguh akan berhenti merokok. Kenalpasti sebab-sebab utama mengapa anda hendak berhenti merokok. Tuliskan senarai sebab-sebab ini dan letakkan senarai tersebut di tempat yang mudah anda semak setiap kali anda merasa ingin merokok.
    2. Fasa 2: Persediaan untuk berhenti merokokSetelah memutuskan untuk berhenti, anda perlu membuat beberapa persediaan bagi memudahkan anda melaksanakan usaha dengan jayanya. Guna pendekatan CUKUP

      C – Cari tarikh sesuai untuk berhenti merokok. Tarikh dan masa yang dipilih hendaklah dalam tempoh 2 minggu dari ketika anda mula meletakkan hasrat untuk berhenti. Jangan ambil masa terlalu lama kerana dibimbangi motivasi anda akan kian luntur.

      U – Umumkan kepada anggota keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja anda tentang hasrat anda untuk berhenti merokok. Dapatkan sokongan dan bantuan mereka, dengan demikian usaha anda menempoh proses berhenti merokok akan turut dikongsi oleh orang yang hampir dengan anda.

      K – Kenalpasti cabaran-cabaran yang bakal anda hadapi dan buat perancangan untuk mengatasi setiap cabaran itu. Ketahuilah bahawa bulan pertama adalah tempoh yang paling mencabar. Ramai perokok yang cuba berhenti kembali merokok semula dalam tempoh 3 bulan kerana gagal mengatasi tekanan dan rasa gian. Rangkakan kaedah tentang bagaimana anda patut menentang keinginan untuk merokok.

      U – Urus dan bersihkan persekitaran anda (di rumah, kereta dan tempat kerja) dari semua bahan dan peralatan yang ada hubungkait dengan tabiat merokok seperti rokok, pemetik api, bekas habuk rokok. Perkara-perkara ini boleh mengingat dan mendorang anda untuk merokok.

      P – Perbincangkan tentang kaedah terbaik untuk berhenti merokok dengan doktor atau anggota kesihatan. Walaupun ramai bekas perokok telah berhenti tanpa menggunakan rawatan ubat, namun ia tetap merupakan satu pilihan yang boleh membantu anda. Anda juga boleh hubungi talian berhenti merokok Kementerian Kesihatan (03-88834400) untuk mendapatkan maklumat berhenti merokok.

    3. Fasa 3: Berhenti merokokTiba hari yang ditetapkan untuk anda berhenti merokok, sekali lagi ingatkan keluarga dan rakan-rakan anda bahawa anda mula berhenti merokok pada hari ini. Jangan malu untuk minta sokongan dan bantuan mereka agar anda berjaya berhenti merokok.

      Jika anda menggunakan ubat, teruskan rawatan menurut cara pengambilan yang telah ditetapkan. Ikut nasihat doktor atau anggota kesihatan yang memberi rawatan itu kepada anda. Sibukkan diri dengan melakukan hal-hal berfaedah. Penuhi masa terluang anda di tempat-tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok. Sekiranya anda inginkan sesuatu dicelah jari atau bibir anda, gantikannya dengan memegang benda selain rokok, seperti pensel atau lobak merah (carrot stick).

      Anda dicadangkan mengamal kaedah 12 ‘M’ untuk mengatasi rasa gian.

      • Melengah-legahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambatkan masa mencari rokok atau menyalakan rokok
      • Menarik nafas panjang – tiga kali secara perlahan-lahan sekiranya datang keinginan untuk merokok
      • Minum air kosong dengan banyak dan jangan sekali-kali minum air berkafein seperti kopi atau teh kerana ia akan meningkatkan keinginan untuk merokok
      • Membuat sesuatu – seperti aktiviti lain yang boleh mengalih perhatian anda daripada berfikir hendak merokok
      • Mengunyah sesuatu – seperti gum, lobak merah, buah-buahan dsb. Elakkan benda manis seperti gula-gula
      • Mandi – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok
      • Membasuh tangan – seberapa kerap apabila didatangi keinginan merokok
      • Melakukan senaman regangan – sekiranya anda mengantuk kerana tidak merokok
      • Memohon doa/ Meditasi – untuk kuatkan azam dan usaha agar berjaya berhenti merokok
      • Menjauhkan diri – daripada perokok atau kawan-kawan yang kerap merokok
      • Mengelakkan diri – daripada rasa bosan atau situasi yang mendorong kepada merokok
      • Menginsafi – dan merujuk kembali sebab mengapa anda hendak berhenti merokok
      • Ketahui tentang kebaikkan berhenti merokok. Proses pemulihan tubuh bermula dalam tempoh 20 minit selepas anda menghisap rokok anda yang terakhir.
    4. Fasa 4: Kekal tidak merokok

Letakkan sepenuh tekad dan keyakinan anda untuk kekalkan sebagai bekas perokok. Anda seharusnya merasa hebat dan bangga kerana telah berjaya sampai diperingkat ini, jadi mengapa tidak teruskan sahaja.

Sentiasalah beringat dan berhati-hati kerana ancaman untuk kembali merokok selalu ada. Kehadiran anda bersama orang-orang di tempat-tempat dan acara-acara tertentu boleh merangsang keinginan anda untuk merokok semula, walaupun selepas beberapa tahun. Sebab itu janganlah sama sekali dihisap rokok itu tak kira berapa lama anda telah meninggalkan tabiat merokok.

Soalan 2

Saya adalah seorang “passive smoker”, sebab ayah saya selalu merokok di dalam rumah. Apakah kesan asap rokok kepada saya, bayi, kanak-kanak, individu yang ada di dalam rumah saya?

Jawapan 2

Asap rokok basi mengandungi kepekatan racun merbahaya yang sangat tinggi. Sesiapa yang terdedah kepada asap rokok samada secara aktif maupun pasif boleh terkesan. Antara lain, asap rokok basi memudaratkan janin dalam kandungan ibu sehingga boleh mengakibatkan keguguran, kecacatan bayi dan kelahiran bayi pramatang. Kanak-kanak yang terdedah kepada asap rokok basi mudah mendapat jangkitan telinga sementara orang dewasa akan berisiko mendapat pelbagai jenis kanser, penyakit jantung, penyakit paru-paru dan sebagainya.

Soalan 3

Adakah merokok memberi kesan ke atas kesuburan individu samaada lelaki / perempuan?

Jawapan 3

Ya, merokok boleh menjejaskan kesuburan lelaki dan perempuan. Golongan perokok lelaki berisiko mendapat mati pucuk sementara perokok wanita mudah mendapat jangkitan pelvik, kehamilan luar rahim dan banyak lagi komplikasi lain.

Soalan 4

Apakah kaedah rawatan berhenti merokok?

Jawapan 4

Terdapat 2 kaedah utama rawatan berhenti merokok iaitu kaunseling untuk perubahan tingkahlaku dan ubat-ubatan bagi mengawal kesan gian (withdrawal). Adakalanya juga perokok berjaya berhenti melalui pendekatan ‘ cold turkey’ iaitu terus berhenti serta-merta tanpa kaunseling atau ubat, dan banyak juga yang menggunakan kaedah kombinasi kaunseling dan ubat-ubatan.

Soalan 5

Adakah kerajaan mempunyai program yang membantu ke arah berhenti merokok?

Jawapan 5

Ya, Kementerian Kesihatan Malaysia ada menyediakan perkhidmatan berhenti merokok di seluruh Negara iaitu menerusi lebih dari 200 klinik dan hospital terpilih. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi talian berhenti merokok, 03-88834400.

Soalan 6

Saya telah cuba untuk berhenti merokok tetapi gagal, apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan 6

Kegagalan dahulu tidak bermaksud anda akan terus gagal setiap kali. Tidak mengapa jika anda telah merokok semula selepas mencuba untuk berhenti. Jangan sesekali merasa terlalu kecewa dan putus asa. Ketahuilah bahawa ramai bekas perokok pernah membuat banyak cubaan dan gagal sebelum mereka benar-benar berjaya meninggalkan tabiat yang menagihkan ini. Terus tingkatkan tekad yang lebih tinggi dari sebelumnya demi untuk mencapai kejayaan untuk berhenti merokok. Kenal pasti apakah perkara yang telah menyebabkan kegagalan anda dan putuskan cara bagaimana anda akan mengatasi perkara yang sama di masa hadapan. Belajar dari pengalaman anda yang lalu dan dapatkan nasihat dari orang yang telah berjaya mengatasi masalah yang sama. Mulakan kaedah CUKUP dengan keyakinan baru. Berjumpalah dengan doktor atau anggota kesihatan bagi panduan yang sewajarnya.

Soalan 7

Apakah gejala akibat berhenti merokok secara mengejut / mendadak?

Jawapan 7

Gejala gian (withdrawal) yang paling kerap dialami oleh para perokok adalah:

  • Perasaan murung (depressed)
  • Sukar untuk tidur
  • Mudah naik marah
  • Merasa runsing dan bimbang (anxious)
  • Masalah untuk berfikir dengan jelas dan tenang
  • Merasa lapar dan peningkatan berat badan

Soalan 8

Apakah tempat-tempat yang dilarang merokok?

Jawapan 8

Di bawah undang-undang sediada iaitu Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok adalah:

  • Di dalam mana-mana pusat hiburan atau teater, kecuali mana-mana pub, disko, kelab malam atau kasino, pada bila-bila masa apabila tempat dibuka kepada orang awam
  • Di dalam mana-mana hospital atau klinik
  • Di dalam mana-mana lif atau tandas awam
  • Di dalam mana-mana tempat makan atau kedai berhawa dingin (bagaimana pun terdapat juga peruntukkan kawasan merokok bagi tempat makan berhawa dingin)
  • Di dalam mana-mana kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam
  • Di dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta di bawah Peraturan 22 (PPKHT 2004)
  • Di dalam mana-mana lapangan terbang
  • Di dalam mana-mana premis Kerajaan
  • Di dalam mana-mana kawasan yang digunakan bagi apa-apa aktiviti perhimpunan di dalam sesuatu bangunan selain bangunan kediaman atau persendirian
  • Di dalam mana-mana kawasan di dalam suatu institusi pendidikan atau institusi pendidikan tinggi
  • Di dalam mana-mana di dalam suatu taman asuhan kanak-kanak
  • Di dalam mana-mana bas sekolah
  • Di mana-mana tingkat yang mempunyai kaunter perkhidmatan di dalam bangunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua (PPKHT 2004)
  • Di dalam mana-mana kompleks membeli-belah
  • Di dalam mana-mana kawasan di dalam suatu stesen minyak
  • Di dalam mana-mana kawasan di dalam suatu stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium
  • Di dalam mana-mana bangunan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan
  • Di dalam mana-mana kawasan di dalam suatu perpustakaan
  • Di dalam mana-mana kawasan di dalam suatu kafe internet
  • Di dalam mana-mana tempat latihan khidmat negara (PLKN)

Soalan 9

Apakah tindakan kerajaan dalam menguatkuasakan perintah larangan merokok?

Jawapan 9

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai lebih kurang 2000 para pegawai berkuasa di seluruh Negara untuk melaksanakan pematuhan undang-undang di bawah KKM termasuk PPKHT 2004. Kebanyakan mereka berada di Pejabat Kesihatan di peringkat negeri & daerah di mana operasi penguatkuasaan dijalankan dari masa ke masa.

Soalan 10

Benarkah selepas berhenti merokok kesihatan saya akan merosot dan berat badan saya akan bertambah?

Jawapan 10

Seseorang yang telah berjaya berhenti merokok akan menjadi lebih sihat kerana kesihatan tubuhnya tidak lagi dijejaskan oleh racun-racun asap rokok. Mungkin ada di kalangan bekas perokok yang mula bertambah berat badannya kerana selera makan telah pulih. Oleh demikian, setiap bekas perokok haruslah menjaga pemakanan dan aktiviti fizikal masing-masing agar tidak menjadi gemuk.

Semakan Akhir : 23 Februari 2010

 

Artikel Berkaitan

Hypothyroidism

Introduction Hypothyroidism is a condition due to underactive thyroid gland.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,546

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia