A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Merokok

Merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah gigi. Antaranya Gigi berkarat, Nafas berbau, Penyakit gusi dan Kanser mulut.

Pengenalan

Merokok adalah tabiat yang berbahaya. Peratusan perokok diseluruh dunia meningkat dan ini akan meningkatkan lagi masalah yang timbul dari tabiat merokok ini.

Di Malaysia, statistik menunjukkan rakyat Malaysia menghisap 23.7 bilion rokok setahun dan jumlah ini satu peningkatan besar daripada 18 bilion batang pada 1998. (1)  Jumlah perokok pula meningkat dari 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta dalam tahun 2011 (2).

Penyakit berkaitan merokok adalah pembunuh nombor satu di negara ini, yang menyebabkan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun.

49 peratus daripada lelaki dewasa di negara ini merokok, melebihi kadar di negara maju seperti di Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).

Sebilangan besar perokok juga dikesan mula berjinak dengan tabiat ini sejak remaja. Purata umur mula merokok ialah 19 tahun. Pada 1985, 9.8 peratus remaja didapati merokok dan kadar itu meningkat kepada 18 peratus pada 2000. Satu fenomena membimbangkan ialah lebih ramai gadis mulai merokok. Malah remaja perempuan yang merokok, didapati bertambah daripada satu kepada lapan peratus, khususnya di bandar. Dianggarkan setiap hari 50 remaja memulakan tabiat buruk ini.

Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida. (1)

Jika anda tidak merokok, jangan mulakan kerana anda akan mengalami ketagihan dan dalam jangka masa panjang, ia boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit.

Mengapa perlu berhenti?

  • Merokok berbahaya tidak kira sama ada anda sendiri yang merokok atau menyedut asap rokok daripada perokok lain, ini dipanggil secondhand atau environmental tobacco smoke (ETS).
  • Kajian menunjukkan
    • Perokok berkemungkinan mendapat kanser mulut tiga kali ganda lebih tinggi dari mereka yang tidak pernah merokok.
    • Kejadian kanser mulut  bergantung juga kepada dos rokok dan berapa lama telah merokok. Lagi banyak seseorang itu merokok dan/atau lagi lama seseorang itu merokok, lagi tinggi kemungkinan mendapat kanser mulut.
    • Berhenti merokok menyebabkan kemungkinan mendapat kanser mulut menururn. 1 – 4 tahun, kemungkinan menurun kepada 35% dari mereka yang masih merokok. Melebihi 20 tahun, sama macam mereka yang tidak merokok.
  • Merokok juga dikaitkan dengan penyakit gusi. Orang yang merokok menghadapi risiko empat kali ganda menghidap penyakit gusi yang serius (periodontitis) berbanding orang yang tidak pernah merokok. Bila tabiat merokok ini dihentikan, keadaan penyakit gusi (periodontium) juga akan bertambah baik, dan risikonya pun menurun atau sama dengan orang yang tidak merokok.

Apa keburukan merokok?

Merokok boleh mendatangkan pelbagai masalah gigi, antaranya :

  • Gigi berkarat (staining).
  • Nafas berbau (halitosis).
  • Penyakit gusi (penyakit periodontium).
  • Kanser mulut.

Ia juga dikaitkan dengan masalah perubatan seperti :

  • Kanser paru-paru.
  • Tekanan darah tinggi.
  • Strok.
  • Penyakit jantung.
  • Mati pucuk.

Apa yang anda perlu lakukan sekiranya anda seorang perokok?

Anda perlu membuang tabiat merokok. Pastikan anda :

  • Melakukan sendiri ‘pemeriksaan mulut’
  • Melakukan lawatan berkala ke doktor gigi.

Petua berhenti merokok

Bukan senang untuk membuang ketagihan merokok. Anda memerlukan kekuatan mental dan spiritual untuk membuang tabiat ini, disamping sokongan moral dari mereka disekeliling anda.

Beberapa petua untuk berhenti merokok :

  • Tetapkan tarikh untuk berhenti merokok dan buatkan nota peringatan.
  • Tuliskan sebab mengapa anda perlu berhenti merokok.
  • Bersikap yakin, selalu berfikiran positif dan beritahu diri anda yang “anda boleh membuang tabiat merokok”.
  • Dapatkan sokongan dari mereka yang mahir dan juga keluarga dan kawan-kawan disekeliling anda. (Dapatkan nasihat dan bantuan daripada doktor atau doktor gigi. Sila rujuk senarai Klinik Berhenti Merokok).
  • Atasi keinginan/ gian untuk merokok dengan :
    • mengunyah gula-gula getah yang tidak mengandungi gula (chewing gum)
    • lakukan senaman
    • mandi dengan lebih kerap
  • Gunakan terapi gantian nikotin (nicotine replacement therapy) atas nasihat doktor.

Melakukan sendiri ‘Pemeriksaan Mulut’

  • Pastikan cahaya terang. Berdiri di hadapan cermin dan periksa semua ruang dalam mulut:
    • Bibir (luar dan dalam mulut)
    • Pipi (kiri dan kanan)
    • Lidah dan bawah lidah
    • Lelangit
    • Gusi
  • Perhatikan tompok-tompok putih atau merah.
  • Perhatikan ulser dalam mulut. Jika ulser tidak sembuh dalam masa 2 minggu, segera berjumpa doktor gigi.
  • Di luar mulut, gunakan ibu jari, untuk periksa kawasan di bawah rahang bawah (mandible). Jika sakit atau terdapt benjolan atau kelainan pada tisu, dapatkan rawatan doktor pergigian.

Cara – cara pemeriksaan mulut sendiri :

  • Berdiri di hadapan cermin di bawah cahaya yang terang. Tanggalkan gigi palsu, sekiranya ada.
  • Periksa muka dan leher anda untuk mengesan tanda bengkak, luka atau perubahan warna. Tekan bahagian leher untuk mengesan tanda sakit atau benjolan.
  • Periksa bibir atas anda dengan teliti untuk mengesan sebarang perubahan warna, tekstur dan kelainan permukaan tisu.
  • Tarik bibir atas dan periksa untuk mengesan ulser atau perubahan warna.
  • Ulangi untuk bibir bawah.
  • Pemeriksaan bibir bawah
  • Tarik pipi kanan dan periksa bahagian dalam pipi dengan menyeluruh.
  • Dengan menggunakan jari telunjuk di bahagian dalam pipi dan ibu jari di luar pipi, picit perlahan-lahan untuk mengesan sebarang kelainan.
  • Ulangi untuk pipi kiri
  • Dongak kepala, buka mulut dan periksa bahagian lelangit. Perhatikan sebarang perubahan atau benjolan.
  • Letakkan hujung lidah di lelangit. Periksa lantai mulut dan bahagian bawah lidah.
  • Keluarkan lidah dan perhatikan sebarang perubahan warna dan tekstur di bahagian lidah.
  • Periksa dan picit bahagian tepi kanan, tepi kiri dan hujung lidah untuk mengesan sebarang benjolan.

Rujukan

  1. (http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/6809-setiap-hari-50-remaja-mulakan-tabiat-merokok)
  2. http://www.kosmo.com.my/

 

Semakan Akhir : 25 Jun 2014
Penulis : Dr. Azillah bt. Mohd Ali
Akreditor   Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar
Penyemak : Dr. Rapeah bt. Mohd Yassin
    Dr. Ahmad Sharifuddin b. Mohd Asari

 

Artikel Berkaitan

Penggunaan Penapis Air : Kesan Terhadap Kesihatan Mulut

Semasa memilih alat penapis air, pastikan sistem yang digunakan oleh alat penapis air tersebut. Kita perlu tahu bahawa terdapat sistem penapis air di rumah yang boleh mengurangkan kesan fluorida dan mineral yang lain yang terkandung di dalam air minuman kita seperti sistem penapis air osmosis berbalik (reverse osmosis) dan penyulingan.

Ortodontik Bagi Orang Dewasa

Maloklusi didefinisikan sebagai keadaan di mana kedudukan gigi, rahang atau kombinasi kedua-duanya berada pada posisi atau susunan yang tidak betul. Biasanya, orang yang mempunyai gigi yang tidak cantik atau tidak teratur akan berasa malu untuk senyum.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,455,700

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-25 09:58:35
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia