A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Penyakit Kelamin (STD)

Soalan 1 :

Ada keluar cairan kekuningan/keputihan dari kemaluan saya sehingga ada tompokan pada seluar dalam. Adakah saya dijangkiti penyakit kelamin?

Penyakit kelamin disebarkan oleh hubungan seks di antara pasangan yang telah dijangkiti kuman, seperti chlamydia, sifilis dan gonorrhoea. Penyakit kelamin berjangkit semasa melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau oral (mulut).

Sekiranya bahagian sulit anda mengeluarkan cecair yang lain dari kebiasaan atau hadirnya gejala-gejala lain di bahagian faraj/zakar seperti di bawah. Anda dinasihatkan untuk segera berjumpa dengan doktor yang berhampiran untuk pemeriksaan lebih lanjut.

  • Gatal
  • Bengkak
  • Keluar lendir/cecair
  • Sakit
  • Kemerahan
  • Tumbuh ruam, jerawat
  • Berasa sakit ketika membuang air kecil

Kebanyakan penyakit kelamin didiagnosa melalui aduan dan sejarah pesakit. Ini diikuti dengan ujian darah, air kencing dan ujian-ujian yang lain. Keputusan ujian adalah rahsia antara pesakit dan doktor. Doktor akan mengambil ujian sapuan di bahagian faraj atau batang zakar (selalunya menggunakan putik kapas) dan akan dihantar ke makmal. Selain itu, pasangan anda juga perlu untuk menjalani pemeriksaan yang sama.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin,Sifilis, Gonorea

 

Soalan 2 :

Saya pernah menghidap penyakit kelamin, tetapi telah sembuh. Adakah saya masih boleh menjangkitkan pasangan saya jika melakukan hubungan intim?

Anda perlu memastikan bahawa pasangan anda juga telah diperiksa dan menerima rawatan bagi penyakit kelamin yang pernah anda hadapi. Anda tidak perlu bimbang untuk bersama pasangan anda jika pasangan anda telah dirawat. Ini adalah kerana setelah anda dan pasangan anda menerima rawatan untuk penyakit kelamin, barulah anda dan pasangan anda bebas daripada penyakit kelamin. Risiko jangkitan semula adalah rendah. Jika anda mempunyai lebih daripada satu pasangan seks, semua pasangan seks anda yang lain perlu dirawat. Untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin, anda dinasihatkan untuk :

  • Menghindari dari seks bebas dan setia kepada pasangan anda adalah cara yang paling efektif dan praktikal.
  • Penggunaan kondom juga efektif untuk menghindari penyakit kelamin. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Chlamydia, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
  • Anda digalakkan kerap menjalani pemeriksaan doktor dan mengenali pasangan anda sebelum berkahwin.

Amalkan langkah pencegahan seperti di atas bagi memastikan masalah ini tidak berlaku lagi.

Dengan menghindari dari seks bebas dan setia kepada pasangan anda, anda juga bukan sahaja mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit kelamin, anda juga dapat mengurangkan risiko anda untuk mendapat penyakit HIV yang boleh membawa maut.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin

 

Soalan 3 :

Adakah penyakit kelamin boleh berjangkit sekiranya saya hanya melakukan seks secara oral bersama pasangan ?

Ya, penyakit kelamin boleh berjangkit atau tersebar sekiranya individu yang menghidapi penyakit kelamin melakukan seks secara oral. Penyakit kelamin seperti Sifilis, Chlamydia dan Gonorrhoea antara yang boleh berjangkit melalui seks secara oral.

Anda dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan intim dan oral seks sekiranya anda atau pasangan anda mempunyai tanda/gejala atau sedang mendapatkan rawatan penyakit kelamin.

Untuk mengurangkan risiko jangkitan penyakit kelamin, anda dinasihatkan untuk :

  • Menghindari dari seks bebas dan setia kepada pasangan anda adalah cara yang paling efektif dan praktikal.
  • Penggunaan kondom juga efektif untuk menghindari penyakit kelamin. Walau bagaimanapun, kondom bukanlah 100% berkesan dalam pencegahan Chlamydia, tetapi ianya mampu mengurangkan risiko jangkitan.
  • Anda digalakkan kerap menjalani pemeriksaan doktor dan mengenali pasangan anda sebelum berkahwin.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin

 

Soalan 4 :

Saya merasa bimbang dan malu jika saya mempunyai penyakit kelamin. Di manakah patut saya pergi untuk mengatasi masalah ini ?

Anda tidak perlu malu untuk pergi berjumpa dengan doktor sekiranya anda menghadapi masalah penyakit kelamin. Segeralah berjumpa dengan doktor dengan mengunjungi klinik kesihatan berhampiran untuk menjalani pemeriksaan. Segala yang anda ceritakan kepada doktor anda serta pertukaran maklumat yang berlaku adalah rahsia (confidential) dan tidak akan didedahkan kepada orang lain.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin

 

Soalan 5 :

Saya disahkan menghidap penyakit kelamin oleh doktor, perlukah pasangan saya juga menjalani pemeriksaan doktor?

Dalam semua kes penyakit kelamin, pasangan seks pesakit mesti juga dirawat walaupun tidak menunjukkan apa-apa gejala. Ini adalah kerana jika pasangan anda tidak dirawat, mungkin pasangan anda menghidapi penyakit kelamin yang belum lagi menunjukkan tanda atau gejala. Pasangan anda akan menjadi punca jangkitan dan menjakiti anda semula dengan penyakit kelamin. Oleh itu pasangan anda perlu menjalani pemeriksaan dan dirawat bagi penyakit kelamin yang sama. Anda dan pasangan anda perlu menghabiskan ubat yang diberi oleh doktor sebelum mengadakan hubungan intim semula. Amatlah penting untuk anda membawa pasangan anda bersama ke klinik kesihatan untuk berjumpa dengan doktor.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin

Soalan 6 :

Keputusan Rapid Test HIV saya adalah negatif, adakah konkrit dan memadai ujian HIV saya?

Keputusan Rapid Test HIV anda tidak konkrit dan tidak memadai jika anda hanya melakukan ujian HIV itu sekali sahaja. Ini adalah kerana terdapat suatu keadaan yang dinamakan Window Period (sila rujuk kepada rajah di bawah). Sewaktu Window Period ini, kuman HIV telahpun masuk ke dalam tubuh seseorang tetapi ujian darah yang dilakukan masih tidak dapat mengesan kehadiran Virus HIV tersebut. Window Period ini berlanjutan dalam tempoh 3 minggu hingga 6 bulan. Jika Rapid Test HIV yang pertama itu dilakukan sewaktu virus HIV di dalam badan berada dalam Window Period, keputusan ujian itu akan negatif. Oleh itu doktor akan mengesyorkan ujian HIV yang kedua dilakukan 3 bulan selepas ujian darah yang pertama.

Namun begitu, anda tidak boleh berada dalam keadaan selesa jika keputusan ujian darah HIV yang kedua juga negatif. Ini adalah kerana status HIV negatif itu hanya bermaksud anda tidak mempunyai virus HIV di dalam badan anda sehingga waktu tarikh ujian darah itu dilakukan. Jika anda pernah dan terus melakukan kelakuan berisiko tinggi seperti hubungan seks rambang serta mempunyai ramai pasangan seks, anda mendedahkan diri anda kepada risiko untuk mendapat virus HIV pada masa akan datang. Yang paling penting adalah anda berhenti melakukan kelakuan berisiko tinggi dengan mengurangkan bilangan pasangan seks dan berhenti melakukan seks rambang. Adalah lebih baik jika anda dapat setia kepada pasangan anda dan menggunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan intim. Keputusan ujian HIV yang negatif pada hari ini tidak bermaksud, anda tidak akan mendapat HIV pada hari mendatang.

peringkat jangkitan hivUntuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>HIV

 

Soalan 7 :

Baru-baru ini, saya ada melakukan ujian herpes dan chlamydia di klinik dan masih belum mendapat keputusan ujian tersebut. Adakah saya boleh melakukan hubungan intim dengan isteri?

Anda dinasihatkan untuk menangguhkan hubungan intim dengan isteri sehingga anda mendapat keputusan ujian penyakit kelamin yang dilakukan. Ini kerana jika anda melakukan hubungan intim sebelum mengetahui keputusan ujian, anda mungkin menjangkiti isteri anda jika anda mempunyai penyakit kelamin.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin

 

Soalan 8 :

Baru-baru ini, saya ada melakukan ujian gonorea dan chlamydia dan doktor telah memaklumkan keputusan ujian kepada saya. Namun begitu, saya tidak faham keputusan tersebut. Apakah yang perlu saya lakukan?

Jangan malu untuk bertanya soalan dengan doktor yang memeriksa anda. Bincang dan tanyalah soalan kepada doktor yang merawat anda. Dengan cara ini anda akan mendapat penjelasan yang lebih baik supaya anda faham keputusan ujian tersebut sama ada positif atau negatif. Penting juga untuk anda bertanya doktor yang memeriksa anda tentang langkah-langkah yang perlu anda ambil untuk mengelakkan jangkitan penyakit kelamin pada masa hadapan.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>Penyakit Kelamin, Gonorea dan Chlamydia.

 

Soalan 9 :

Berapa lama saya harus makan ubat HIV ?

Belum ada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit HIV dan belum ada vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus HIV.

Rawatan Antiretroviral (ARV) hanya  menghalang pembiakan virus HIV. Rawatan juga boleh diberi bagi jangkitan opportunis. Rawatan ARV lebih berkesan secara kombinasi. Rawatan ini bertujuan untuk meningkatkan survival dan melambatkan perkembangan ke peringkat AIDS.

Anda perlu makan ubat HIV mengikut waktu yang sama setiap hari untuk sepanjang hayat anda. Jika anda berhenti atau lewat makan ubat HIV daripada waktu yang ditetapkan, Virus HIV boleh menjadi lebih kuat dari ubat yang anda makan. Lama kelamaan ubat yang dimakan tidak berkesan lagi. Jika ini berlaku anda perlu mengambil ubat HIV barisan kedua untuk mengawal pembiakan virus HIV. Untuk makluman anda, kos ubat barisan kedua HIV perlu ditanggung oleh pesakit sendiri kerana kerajaan Malaysia hanya menanggung kos ubat barisan pertama HIV. Untuk mengelakkan beban kos ubatan yang tinggi pada diri anda, anda dinasihatkan terus makan ubat HIV anda mengikut waktu yang ditetapkan setiap hari.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>HIV

 

Soalan 10 :

Saya disahkan HIV positif, adakah saya selamat menggunakan kondom semasa mengadakan hubungan intim dengan isteri ?

Kondom hanya boleh mengurangkan risiko jangkitan HIV kepada isteri anda semasa mengadakan hubungan intim. Namun begitu, isteri anda masih mempunyai risiko untuk mendapat jangkitan HIV. HIV hanya boleh merebak melalui:

  • Hubungan seks bebas bersama individu yang telah dijangkiti (termasuk hubungan melalui faraj, dubur atau mulut)
  • Penagih dadah berkongsi jarum dan alat suntikan
  • Pemindahan darah dan organ yang tercemar dengan virus HIV
  • Ibu yang telah dijangkiti boleh merebakkan HIV kepada bayinya ketika dalam rahim, melahirkan atau sewaktu menyusu.

Sila berbincang dengan doktor di klinik yang berhampiran untuk mendapat nasihat dengan lebih lanjut.

 

Soalan 11 :

Apakah perbezaan antara HIV dengan AIDS?

HIV atau Human Immunodeficiency Virus adalah virus yang memusnahkan sistem ketahanan badan seseorang dan menyebabkan AIDS.

Jangkitan virus HIV tidak mempunyai tanda dan gejala yang khusus di peringkat awal. Oleh itu, seseorang yang dijangkiti virus HIV tidak mengetahui dia telah dijangkiti virus ini. Walau bagaimanapun pada peringkat ini, individu ini masih boleh merebakkan virus HIV kepada orang lain.

Tanda dan gejala akan kelihatan apabila sistem pertahanan tubuh telah dilumpuhkan oleh Virus HIV. Tanda dan gejalanya adalah seperti berikut:

  • Terlalu lemah dan lesu.
  • Penurunan berat badan yang mendadak
  • Demam panas yang kerap.
  • Peluh malam.
  • Kelenjar limfa membengkak
  • Ruam kulit dan ulser pada permukaan mukosa. Contoh : lapisan dalam mulut
  • Cirit-birit yang kronik.
  • Batuk kronik.
  • Hilang ingatan

Pada peringkat awal, selalunya pesakit kelihatan sihat tetapi dirinya HIV positif. Walaupun pesakit tidak mempunyai gejala dan tanda-tanda AIDS, tetapi ia boleh merebak dan menjangkiti orang lain.

AIDS atau Acquired Immune Deficiency Syndrome (Sindrom Kurang Daya Tahan Melawan Penyakit) adalah peringkat terakhir jangkitan HIV.

Dalam masa 2 tahun dijangkiti, pesakit HIV akan timbul gejala penyakit AIDS di mana berlaku jangkitan kuman yang teruk, susut berat badan dan lemah-lemah badan.

Kebanyakkan pesakit HIV tidak memerlukan rawatan di peringkat awal penyakit. Rawatan hanya diberikan kepada pesakit-pesakit seperti berikut:

  • menunjukkan tanda-tanda AIDS
  • bacaan CD4 kurang daripada 200 sel/ml
  • bacaan virus lebih daripada 30 000 copies/ml
  • pesakit yang mengikuti rawatan sepenuhnya

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>HIV

 

Soalan 11 :

Boleh kah sesaorang pengidap HIV positif bergaul dengan orang ramai ?

Pesakit HIV positif boleh bergaul dengan orang ramai kerana seseorang itu tidak boleh mendapat jangkitan HIV melalui :

  • Berpegangan tangan dan bersalaman.
  • Berkongsi kemudahan awam, misalnya telefon.
  • Berkongsi menggunakan cawan, gelas, pinggan, sudu dan lain-lain melalui makanan atau air.
  • Ciuman ringan/pelukan.
  • Gigitan serangga seperti nyamuk dan kutu.
  • Pergaulan di sekolah atau di tempat kerja.
  • Berkongsi buku (sekolah).
  • Berkongsi menggunakan tandas dan bilik mandi.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web Portal MyHEALTH>HIV

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,693,790

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia