A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Saringan untuk Inkontinen Urin

Kepentingan Saringan

Inkontinen urin adalah satu masalah yang kerap kejadiannya dan memberi kesan yang besar dari segi gangguan fizikal, tingkahlaku dan juga psikologi. Ia juga boleh mengurangkan kualiti hidup penghidapnya.

Ia merupakan satu isu kesihatan dan kualiti hidup yang besar yang perlukan perhatian.

Seseorang yang mengalami masalah inkontinen urin terutamanya wanita, akan merasa tidak selesa dan malu. Impak psikologi kepada pesakit dan juga keluarga adalah sangat besar.

Wanita yang mengalami inkontinen urin dilaporkan lebih murung, merasa harga diri yang rendah dan merasa malu dengan penampilan dan bau mereka. Inkontinen urin memberi kesan kepada fungsi seksual mereka dari segi nafsu seks dan aktiviti seks. Ini boleh menghalang interaksi sosial mereka sehingga ke tahap mereka mengasingkan diri malah mengurung diri di rumah.

Masalah Inkontinens Urin Merunsingkan Wanita

Masalah Inkontinens urin merunsingkan wanita

Ia lebih kerap berlaku di kalangan wanita. Satu laporan kajian inkontinen urin di beberapa negara mendapati 25-51 % wanita menghidap inkontinen urin.

Kadar lebih tinggi sehingga 80% di kalangan mereka yang tinggal di fasiliti penjagaan warga emas.

Inkontinen urin adalah satu masalah yang kurang dikesan dan dilaporkan di kalangan mereka yang meningkat umur. Kajian dalam satu komuniti luar bandar di negeri Selangor, mendapati kadar yang lebih rendah iaitu 9.9% warga emas menghidap inkotinen urin.

Ianya kurang dilaporkan kerana penghidapnya terutama wanita mungkin malu untuk mendapatkan bantuan, menganggap ia adalah satu proses ‘normal’ yang berlaku bila umur meningkat tua atau tidak tahu ada sesuatu yang boleh dilakukan untuk membantu mengurangkan penyakit mereka itu.

Dalam satu kajian, hanya 50% daripada wanita datang mengadu masalah inkontinen urin kepada doktor.

Oleh itu, saringan inkontinen urin adalah sangat penting. Penyaringan dapat mengesan masalah , seterusnya rawatan yang berkesan dapat diberikan. Ini dapat mengurangkan kesengsaraan dan dapat meningkatkan kualiti hidup penghidapnya.

Golongan Berisiko

Inkontinen urin biasanya disebabkan oleh interaksi di antarar pelbagai faktor risiko.Ia jarang disebabkan oleh hanya satu faktor risiko.

Berikut adalah mereka yang berisiko untuk mendapat inkontinen urin. Saringan inkontinen urin perlulah ditumpukan kepada golongan ini;

Jantina

  • Wanita lebih mudah untuk mendapat inkontinen urin.
  • Perbezaan ini disebabkan mereka mengalami proses-proses yang boleh mendorong kepada berlakunya inkontinen urin seperti mengandung, melahirkan anak, menopos dan struktur anatomi wanita itu sendiri.
  • Proses-proses ini boleh menyebabkan kecederaan kepada tisu-tisu perantara, otot-otot dan saraf.
  • Dalam satu kajian, risiko seseorang wanita yang melahirkan anak secara semula jadi mendapat inkontinen urin 2,3 kali ganda lebih besar dibandingkan dengan wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan.

Umur

  • Inkontinen urin dan umur sangat berkait rapat.
  • Bila umur meningkat, otot-otot pada bahagian pundi kencing dan salurnya mula mengendur.
  • Keupayaan untuk menahan kencing akan berkurangan. Ini mendorong kepada sejenis inkontinen urin yang dikenali sebagai stres inkontinen.
  • Disamping itu, peningkatan umur menyebabkan keupayaan pundi kencing menyimpan kencing berkurangan.Tambahan pula, reseptor yang berperanan dalam pengawalan fungsi pundi kencing menjadi kurang sensitif. Ini boleh mendorong kepada inkontinen urin.

Obesiti / Berat Badan Berlebihan

  • Berat badan berlebihan boleh menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam abdomen. Ini disebabkan oleh lemak-lemak yang berkumpul di dalamnya. Ia meningkatkan tekanan kepada pundi kencing dan otot-otot di sekitarnya, seterusnya menyebabkan air kencing terkeluar terutamanya semasa batuk atau bersin.
  • Kajian menunjukkan inkontinen urin adalah berkait rapat dengan Indeks Jisim Badan (Body Mass Index-BMI).Lebih tinggi indeks jisim badan, lebih teruk inkontinen urin.

Merokok

  • Mereka yang merokok berisiko untuk mendapat batuk kronik yang boleh mencetuskan inkontinen atau menerukkan lagi inkontinen yang berpunca dari sebab lain.
  • Wanita yang merokok didapati berisiko dua kali ganda untuk mendapat inkontinen dibandingkan dengan wanita yang tidak merokok.
  • Penyakit buah pinggang, diabetes, dementia, kemurungan, kurang aktiviti fizikal atau penyakit yang melibatkan saraf seperti strok boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat inkontinen.

Ubat-ubatan

  • Ada ubat-ubatan yang mempunyai kesan sampingan kepada sistem pundi kencing dan menyebabkan inkontinen. Dapatkan nasihat daripada doktor atau pegawai farmasi anda sekiranya ada sebarang pertanyaan mengenai ubat-ubatan.

Rujukan

  1. The Prevalence of Urinary Incontinence among the Elderly in a Rural Communicating in Selangor Malays J. Med Sci. 2010 Apr – Jun; 17(2): 18-23
  2. Buckley BS, Lapitan MC, Epidemiology Committee of the Fourth International Consultation on Incontinence, Paris, 2008. Urology. 2010;76(2):265.
  3. Burgio KL, Ives DG, Locher JL, et al. Treatment seeking  for urinary incontinence in older adults. J Am Geriatr Soc 1994;42:208–12
  4. Markland AD, Richter HE, Fwu CW, Eggers P, Kusek JW. Prevalence and trends of urinary incontinence in adults in the United States, 2001 to 2008. J Urol. 2011;186(2):589.
  1. Sherina MS. The Prevalence of urinary incontinence among the elderly in a rural community in Selangor. Malaysian J. of Med.l Sci. 2010; 17(2): 18-23.

 

Semakan Akhir : 22 Januari 2016
Penulis : Dr. Mohd Daud bin Che Yusof
Akreditor : Dr. Cheah Wee Kooi

Artikel Berkaitan

Jangkitan Saluran Kencing

Kuman yang menyebabkan jangkitan salur kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan saluran kencing keluar badan (uretra)

Warga Emas (Wanita) dan Masalah Libido

Libido merupakan suatu perasaan atau keinginan terhadap seks dan ini sangat berkait rapat dengan beberapa faktor seperti tahap kandungan hormon estrogen dan tahap kesihatan seseorang.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,852,994

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia