A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Secangkir kopi seribu nikmat

Secangkir kopi seribu nikmat

Berita Harian

Jumaat, 02/12/2011

Secangkir kopi seribu nikmat

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

Barang-kali, payah dipercayai apabila setiap kali menghirup secangkir kopi, anda sebenarnya meneruskan legasi sejak lebih daripada 500 tahun lampau. Kopi atau disebut coffee dalam bahasa Inggeris, sebenarnya berasal dari perkataan Turki, Kahve.

Perkataan itu berasal dari istilah Arab qahweh al-bunn yang bermaksud 'wain dari kacang'.

Ada beberapa teori bagaimana manusia mula menikmati kopi. Cerita legenda orang Etiopia, kopi mula ditemui apabila seorang penggembala kambing menemui kambingnya menari selepas makan kopi.

Bukti kukuh terawal, menunjukkan pengambilan kopi bermula sejak abad ke-15, apabila lelaki di Yaman, Selatan Arab mengambilnya bagi tujuan rangsangan.

Pada awal penemuannya, pohon kopi dikawal ketat orang Arab bagi mengelakkan jatuh ke tangan pihak lain. Namun akhirnya ia jatuh juga ke tangan penjajah Belanda. Mereka membawa pulang biji benih, menanam dan menjual hasilnya ke negara lain.

Di Turki, umpamanya, minum kopi menjadi amalan turun-temurun dan selalunya dinikmati bersama rakan. Kadang-kala diikuti bersama dengan aktiviti menilik nasib.

Di Malaysia pula ia menjadi sebahagian daripada budaya hidup seharian rakyatnya. Ia dinikmati di mana-mana saja termasuk di tempat kerja, di rumah dan bertemu sahabat handai. Walaupun kopi amat popular, sesetengah individu mengambil keputusan untuk tidak meminum kopi kerana bimbang mengenai kemungkinan impak negatif kopi terhadap kesihatan.

Begitu pun, daripada sudut saintifik, tidak banyak perlu dikhuatiri.

Menurut pakar, pengambilan kopi di dalam kuantiti sederhana iaitu di antara tiga hingga lima cawan kopi sehari, bagi orang dewasa adalah selamat.

Ia diperkukuh lagi apabila kebelakangan ini, kebanyakan kajian saintifik terkini menunjukkan kopi mungkin boleh memberi kesan positif ke atas kesihatan disebabkan oleh kandungan bioaktif di dalamnya.

Apa yang terkandung dalam secangkir kopi? Tentu ramai yang menyedari kopi mengandungi kafein. Pengambilan kafein secara sederhana boleh membantu seseorang kekal peka dan menghilangkan kelesuan apabila datang rasa mengantuk dan lesu.

Kafein memberi kesan yang sedemikian disebabkan persamaan dalam struktur molekulnya dengan salah satu daripada molekul di dalam badan yang dipanggil adenosin. Kebiasaannya, adenosin akan bergabung dengan reseptor di dalam sel otak dan menyebabkan timbulnya rasa mengantuk. Disebabkan strukturnya juga menyerupai adenosin, kafein juga boleh bergabung dengan reseptor sama.

Kafein menghalang adenosin daripada bergabung dengan reseptor berkenaan lalu menghalangnya daripada timbul rasa mengantuk. Itulah sebabnya mengapa kopi bukan saja mampu membantu mengekalkan produktiviti di tempat kerja, malah ia juga boleh menghalang daripada berlakunya perkara tidak diingini di pejabat seperti tertidur di dalam mesyuarat atau lebih buruk lagi kemalangan di tempat kerja.

Dinasihatkan individu yang keletihan ketika memandu supaya berhenti di tempat rehat atau stesen minyak untuk tidur. Anda juga boleh menikmati secawan kopi, kembali segar sebelum menyambung perjalanan.

Selain kafein, kopi juga kaya dengan kandungan anti oksidan seperti asid klorogenik dan asid kafeik. Pelbagai kajian dilakukan bagi mengkaji kemungkinan asid klorogenik dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan hasil kajian setakat ini memberangsangkan.

Asid kafeik dikenali sebagai penghalang karsinogen dan kajian dalam makmal (in vitro) sedang dijalankan bagi mengkaji potensinya untuk mengurangkan risiko kanser di dalam badan. Bagaimanapun, kajian ke atas kesan positif anti oksidan di dalam kopi ke atas tubuh badan dan kesihatan masih sedang dijalankan.

Soal-Jawab Mengenai Kopi

Bolehkah saya menikmati kopi semasa hamil?

Boleh, namun menurut pakar, pengambilan kafein tidak digalakkan melebihi 200mg sehari, iaitu 1-3 cawan kopi segera.

Mengapakah kadang-kala badan berasa panas dalam tempoh yang agak lama selepas meminumnya?

Kopi boleh meningkatkan kadar metabolisme. Kesan ini adalah sementara dan normal serta tidak perlu dirisaukan.

Saya menghidapi migrain. Adakah kopi akan menyebabkan ia semakin teruk?

Individu yang menghidapi migrain mempunyai tindak-balas yang berbeza terhadap kopi. Ada yang mendapati bahawa kopi dapat mengurangkan serangan migrain. Manakala ada yang mendapati bahawa kopi meningkatkan kadar serangan migrain. Penghidap migrain masih boleh menikmati di antara 1 hingga 2 cawan kopi sehari.

Bolehkah kopi menyebabkan migrain?

Tidak, migrain biasanya adalah penyakit keturunan yang diturunkan daripada ibu bapa kepada anak.

Bolehkan kopi menjejaskan denyutan jantung anda?

Secara umumnya, tidak. Tetapi bagi beberapa individu yang sensitif terhadap kafein, mereka mungkin akan mengalami palpitasi. Iaitu debaran atau perubahan pada denyutan jantung (terlalu kuat atau laju). Kebiasaannya palpitasi jantung adalah tidak berbahaya dan ia boleh disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti emosi. Aktiviti fizikal yang intensif dan pengambilan sesetengah ubat.

 

{module Artikel & Rencana}

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,557

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia