A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Susu Ibu

Soalan 1

Bagaimana mengatasi masalah pemberian susu ibu di bulan puasa?

Jawapan 1

Ibu yang menyusukan anak boleh berpuasa di bulan Ramadhan. Puan boleh menyusukan anak puan seperti biasa. Nasihat kami, puan mesti bersahur dan mengambil makanan yang seimbang. Lebih baik jika puan minum segelas susu semasa sahur dan berbuka. Waktu berbuka puan harus mengambil makanan yang seimbang dan minum air secukupnya

Soalan 2

Saya mempunyai bayi sulung yang berumur 11 bulan yang masih menyusu susu badan dan sekarang saya hamil lagi dengan tempoh kehamilan saya baru 1 bulan.

Soalan saya :

  • Adakah saya patut berhenti menyusu bayi pertama dan menggantikannya dengan susu formula?
  • Adakah timbul kesan buruk atau kesan kepada bayi dalam kandungan jika saya menyusu bayi pertama sehingga hari kelahiran anak kedua?

Jawapan 2

Tahniah saya ucapkan kerana puan berjaya menyusukan bayi sehingga sekarang. Puan tidak perlu berhenti menyusukan anak sulung walaupun sedang hamil anak kedua. Kehamilan tidak terganggu dengan puan meneruskan penyusuan. Puan boleh teruskan penyusuan sehingga kelahiran anak kedua. Malah puan boleh terus menyusukan kedua-dua anak sekali gus selepas kelahiran bayi kedua.

Puan perlu menjaga pemakanan puan kerana tubuh puan memerlukan banyak zat untuk menampung penghasilan susu dan juga perkembangan janin. Pastikan puan mendapat makanan seimbang dan lebihkan makanan seperti ayam, daging, ikan, bijirin seperti nasi, sayur dan buah serta minum lebih susu.

Soalan 3

Saya mempunyai anak berumur 8 bulan dan masih menyusu badan pada waktu malam dan pagi sebelum saya pergi kerja. Masalah saya adalah apabila anak saya di taska dia kurang minum susu formula. Biasanya apabila diberi susu formula tidak pernah habis diminum. Saya tidak berkesempatan untuk memerah susu kerana keadaan kerja saya yang terpaksa saya bekerja di luar pejabat. Ada kalanya saya memerah susu tapi tidak berbaloi kerana hanya dapat 1 ml sahaja. Adakah ia normal bagi anak yang masih menyusu badan tetapi kurang minum susu formula?

Jawapan 3

Tahniah saya ucapkan kerana puan masih menyusukan bayi. Selepas umur 6 bulan, bayi perlu makan makanan tambahan selain daripada susu ibu. Memandang bayi puan berumur 8 bulan, dia masih boleh mendapat cukup zat jika dia diberi makanan lain yang berkhasiat walaupun kurang minum susu formula. Oleh kerana puan akan menyusukan dia apabila puan di rumah, dia akan mendapat khasiat susu ibu yang mencukupi. Pastikan puan menyusukan dia dengan seberapa kerap yang boleh semasa lepas balik bekerja dan di hari minggu. Ini juga dapat memastikan bekalan susu puan tidak berkurangan.

Puan juga harus menimbang berat badannya setiap 1 atau 2 bulan. Jika berat badannya meningkat setiap bulan, ini menunjukkan dia membesar dengan baik dan pemakanan dia mencukupi walaupun dia kurang minum susu formula.

Soalan 4

Saya bercadang mengambil seorang bayi sebagai anak angkat. Bagaimanakah saya boleh menyusukan bayi tersebut dengan susu badan?

Jawapan 4

Menyusukan anak angkat memerlukan dedikasi, kesabaran dan masa. Terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan untuk menyusukan bayi angkat.

Sebagai persediaan, ibu dan pasangan perlu mendapatkan khidmat kaunseling daripada pakar laktasi atau doktor. Mereka boleh menerangkan proses yang perlu dilalui serta tahap kejayaan yang boleh dicapai. Puan boleh berhubung dengan doktor atau pakar laktasi di hospital berdekatan seperti Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang atau Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu.

Langkah kedua ialah untuk mempelajari teknik yang betul untuk menyusukan bayi. Seterusnya, untuk memulakan penyusuan puan perlu merangsang payudara secara berterusan dan kerap. Ini perlu dilakukan di bawah penyeliaan seorang pakar laktasi atau doktor. Mereka akan menilai tahap penghasilan susu dan kenaikan berat badan bayi serta sama ada bayi memerlukan penyusuan tambahan. Doktor dan pakar laktasi juga akan menentukan sama ada puan memerlukan ubat untuk merangsang penghasilan susu. Penggunaan ubat-ubatan harus dilakukan di bawah penyeliaan seorang doktor dan ia digunakan untuk jangka masa yang pendek sahaja.

Perlu diingatkan bahawa tempoh pengeluaran susu mengambil masa 2 hingga 3 minggu atau lebih bergantung kepada tahap rangsangan. Oleh yang demikian, puan perlu bersedia untuk meluangkan cukup masa untuk menyusukan bayi. Puan mungkin terpaksa mengambil cuti untuk menumpukan perhatian kepada bayi supaya dapat menyusu dengan kerap bagi mendapatkan kejayaan.

Soalan 5

Bagaimanakah untuk menangani masalah bayi kurang selera makan atau minum susu?

Jawapan 5

Kekerapan memberi bayi makan dan minum susu adalah bergantung kepada usia bayi.

Bagi bayi yang kurang selera makan atau minum susu, ibu-ibu perlu mengambil berat beberapa perkara seperti berikut:

  • Pemberian susu yang berlebihan akan menyebabkan bayi kurang selera untuk makan.
  • Bayi juga akan kurang selera makan sekiranya bayi diberi susu kurang 2 jam sebelum diberi makan.
  • Memberi bayi air minuman manis juga boleh mengurangkan selera bayi.
  • Ibu perlu memberi bayi lebih tumpuan semasa makan. Ibu perlu mewujudkan suasana yang positif dan mesra dengan bayi. Ia boleh dilakukan dengan bercakap-cakap kepada bayi dan menatap wajahnya sambil menyuap bayi makan.
  • Pastikan juga bayi tidak terlalu penat atau mengantuk di waktu makan.
  • Pastikan hidung bayi tidak tersumbat sekiranya mengalami selesema dan mulut bayi bersih dan sihat.

Cara penyediaan makanan bayi juga adalah penting. Makanan bayi mungkin perlu dilecek, dicencang atau ditapis mengikut umurnya. Makanan juga hendaklah dipastikan tidak sejuk, masin atau pedas. Ibu-ibu boleh berusaha untuk menghidangkan makanan secara kreatif dengan menggunakan sayuran berwarna atau dipotong cantik untuk menarik minat bayi.

Sila rujuk Portal MyHEALTH di ruangan pemakanan kanak-kanak.

Soalan 6

Apakah cara untuk menambah sumber kalsium semasa mengandung sekiranya ibu hamil kurang suka meminum susu segar?

Jawapan 6

Ibu hamil perlu mengambil pemakanan sihat dan seimbang. Semasa hamil, keperluan zat adalah tinggi kerana selain daripada menampung keperluan janin yang sedang membesar, badan ibu hamil sendiri turut mengalami perubahan fisiologi seperti peningkatan isi padu darah, penghasilan tisu serta uri. Keperluan kalsium semasa hamil adalah sangat tinggi, iaitu dua kali lebih tinggi dibandingkan dengan wanita yang tidak hamil.

Susu adalah makanan yang kaya dengan kalsium..Oleh sebab itu pengambilan susu semasa mengandung adalah digalakkan oleh pakar pemakanan.Secara umumnya ibu hamil perlu minum 2 hingga 3 gelas susu atau minuman bersusu sehari. Walau bagaimanapun, pengambilan susu tidak terhad kepada susu segar sahaja.Ibu hamil boleh meminum susu berperisa seperti coklat, strawberi dan pelbagai perisa lain yang banyak di pasaran Selain itu, menambah susu ke dalam masakan juga boleh diamalkan. Susu juga boleh dicampurkan ke dalam minuman lain seperti sirap dan minuman bercoklat. Hasil tenusu lain seperti keju, dadih, yogurt dan lassi uga tinggi kandungan kalsiumnya dan boleh diambil bagi menggantikan pengambilan susu.Produk-produk ini boleh dimakan begitu sahaja atau di campur dalam minuman dan masakan.

Selain dari itu, pengambilan kalsium dalam bentuk pil juga boleh diamalkan atas nasihat doktor perubatan.

Sila rujuk Portal MyHEALTH dalam pemakanan semasa mengandung di ruangan pemakanan dewasa.

Semakan Akhir : 29 Mei 2009

 

Artikel Berkaitan

Mei 2013

  Mei 2013 Program : Hari Asma Sedunia   —————————————————————————————————

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,049,647

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia