A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Ubat Gigi Kanak-Kanak : Apa Yang Anda Perlu Tahu?

Penjagaan kendiri yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah adalah memberus gigi anak dan mengawal pemakanan anak. Selain itu, pemilihan ubat gigi yang bersesuaian juga perlu diberi perhatian.

 

Pengenalan

Menurut Kaji selidik yang dijalankan keatas kanak-kanak Prasekolah pada 2015, 7 daripada 10 orang kanak-kanak mempunyai karies di dalam mulut mereka.

Kombinasi penjagaan profesional di klinik pergigian dan penjagaan kendiri di rumah amat penting dalam memastikan kesihatan oral kanak-kanak sentiasa terpelihara. Penjagaan profesional meliputi pemeriksaan berkala di klinik pergigian dan rawatan pencegahan klinikal seperti sapuan fluorida. Manakala penjagaan kendiri yang boleh dilakukan oleh ibu bapa di rumah adalah memberus gigi anak dan mengawal pemakanan anak.

Selain itu, pemilihan ubat gigi yang bersesuaian juga perlu diberi perhatian.

  1. Gunakan ubat gigi yang mengandungi Fluorida 

    Fluorida telah dibuktikan melalui banyak kajian sebagai langkah pencegahan karies gigi yang sangat berkesan. Penggunaan fluorida dalam air minuman dan beberapa persediaan lain termasuk ubat gigi berfluorida telah berjaya menurunkan prevalen karies gigi sedunia (Brambilla 2001; Ellwood and Fejerskov, 2003).

    Antara fungsi fluorida kepada kesihatan pergigian:

    • Menggalakkan proses remineralisasi jika ada lesi awal pada lapisan enamel gigi.
    • Memperbaiki struktur kimia pada enamel menjadikannya lebih resistan / rentan kepada serangan asid.
    • Mengurangkan keupayaan bakteria dalam menghasilkan asid.

    Fluorida adalah selamat digunakan (pada kepekatan tertentu yang dibenarkan) dan perlu untuk menjadikan gigi lebih kuat. Fluorida seringkali disalahertikan sebagai bahan yang toksik dan membahayakan tubuh badan. Fakta ini adalah tidak tepat.

    Fluorida adalah sebatian mineral semulajadi yang mungkin terdapat di rumah anda dan digunakan sehari-hari. Fluorida mungkin terdapat dalam teh dan garam di rumah anda. Namun ianya tidak memberikan sebarang masalah kerana kuantiti kandungan fluorida adalah sedikit. Semua sebatian dalam paras optimal / rendah adalah selamat dan tidak berbahaya (dose-response). Begitu halnya dengan fluorida yang dimasukkan dalam ubat gigi. Kandungan yang dibenarkan adalah hanya pada paras optima dan selamat digunakan mengikut syor.

    Kebanyakan ibu bapa bimbang anak mereka tertelan ubat gigi berfluorida dan mendapat kesan toksik. Secara analogi, hal ini hanya boleh terjadi jika kanak-kanak itu telah tanpa sengaja menelan satu tiub ubat gigi dalam satu-satu masa. Ini tidak mungkin akan berlaku dengan hanya memberus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlu memberus atau mengawasi anak mereka memberus gigi mengikut kesesuaian umur.

  2. Dos kepekatan fluorida yang dibenarkan dalam ubat gigi

    Kajian oleh Wash et al (2010), membuktikan fluorida adalah berkesan mencegah kejadian karies pada gigi berbanding plasebo, jika digunakan pada kepekatan 1000 ppm. Kesan relatif keberkesanan fluorida untuk mencegah karies bertambah dengan peningkatan kepekatan fluorida digunakan.

    Walau bagaimanapun, paras penggunaan fluorida perlu diseimbangkan dengan kesan sampingan seperti kejadian fluorosis yang akan mengakibatkan kesan tompokan putih seperti kapur pada gigi. Di Malaysia penambahan fluorida dalam air minuman dan ubat gigi adalah dipantau secara ketat dan dikekalkan pada paras optima sahaja. Maka, penggunaan ubat gigi berfluorida adalah selamat.

  3. Kuantiti penggunaan ubat gigi berfluorida yang disyorkan

    Persatuan Pergigian Amerika (ADA) menyarankan penggunaan secalit (smear) ubat gigi berfluorida sebaik sahaja gigi anak mula tumbuh (gambar kiri). Apabila umur anak meningkat bermula 3 tahun hingga 6 tahun, saiz boleh ditingkatkan kepada sebesar kacang pis (gambar kanan).

    Kekerapan memberus gigi

    Sebelum gigi anak tumbuh, ibu bapa boleh membersihkan gusi anak mereka dengan peralatan pembersihan seperti infant gum massager yang ada dijual di pasaran. Ibu bapa juga boleh membersihkan mulut dan gusi dengan kain kasa basah atau kain lembut yang bersih.

    Sebaik sahaja gigi anak tumbuh, ibu bapa boleh memberus gigi anak mereka dengan berus gigi lembut sekurang-kurangnya dua kali sehari.

  4. Perisa ubat gigi berfluorida yang mesra kanak-kanak

    Masa memberus gigi seharusnya menjadi momen yang menyenangkan atau menarik bagi kanak-kanak. Penggunaan ubat gigi yang betul juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan kanak-kanak ini memberus gigi dan seterusnya menjaga kebersihan mulut mereka secara keseluruhan.

    Ubat gigi kanak-kanak yang berada di pasaran telah ditambah pelbagai perisa yang kebanyakkannya berasaskan perisa buah-buahan. Penggunaan ubat gigi berperisa ini disarankan hanya terhad digunakan pada peringkat awal umur anak, iaitu semasa fasa memperkenalkan ubat gigi kepada anak.

    Ibu bapa juga disarankan membaca label pada ubat gigi kanak-kanak berfluorida yang berperisa ini. Kandungan fluorida yang biasa terdapat pada ubat gigi berfluorida yang berperisa adalah di bawah paras optima (sekitar 500 ppm) berbanding yang disarankan Persatuan Pergigian Amerika (ADA) iaitu 1000 ppm. Satu lagi kelemahan menggunakan ubat gigi berperisa ini adalah kanak-kanak lebih cenderung tertelan ubat gigi kerana rasanya yang sangat menarik.

    Jadi, untuk mendapatkan kebaikan optima dari fluorida, hanya gunakan ubat gigi yang mempunyai kandungan fluorida 1000 ppm pada syor kuantiti penggunaan oleh ADA.

  5. Baca label pada ubat gigi berfluorida yang digunakan.

    Menurut Stovell et all (2013), ubat gigi kanak-kanak yang ideal perlu mengandungi kandungan fluorida pada paras optima, tidak mengandungi bahan pelelas yang tinggi, kandungan perisa serta ‘humectant’ yang minima supaya tidak menggangu tindak balas fluorida serta memberikan pengalaman yang menyenangkan semasa memberus gigi.

    Dengan membaca dan memahami label akan membantu ibu bapa membuat pilihan yang tepat. Antara yang perlu dilihat adalah isi kandungan di dalam sesuatu ubat gigi. Setiap komponen mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri kepada gigi anda.

    • Bahan pelelas ringan yang berfungsi menyingkirkan kesan debris dan kotoran yang terdapat pada permukaan luar gigi. Contoh adalah calcium carbonate, dehydrated silica gels, hydrated aluminium oxides, magnesium carbonate, phosphate salts dan silicates.
    • Fluorida yang berfungsi menguatkan lapisan enamel gigi. Ia juga dapat menambah mineral (remineralisasi) kepada lapisan enamel yang telah mempunyai tanda-tanda awal kerosakan.
    • Humectant yang berfungsi mencegah kehilangan air di dalam ubat gigi. Contoh adalah glycerol, propylene, glycol dan sorbitol.
    • Agen perisa, seperti saccharin dan bahan pemanis lain untuk memberikan sedikit rasa pada ubat gigi. Disarankan menggunakan ubat gigi tanpa kandungan gula atau bahan pemanis lain yang boleh menggalakkan kerosakan gigi.
    • Bahan pengikat untuk menstabilkan semua formula di dalam ubat gigi. Ini adalah seperti mineral colloids, natural gums, seaweed colloids atau synthetic cellulose.
    • Bahan pembersih / detergen yang akan memberikan kesan buih. Contoh adalah sodium lauryl sulfate dan sodium N-Lauryl sarcosinate.

Kesimpulan

Pemilihan ubat gigi kanak-kanak yang tepat haruslah mengikut saranan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan kesan optima kebaikan kepada kesihatan pergigian anak. Pilih ubat gigi yang mempunyai kandungan fluorida pada paras yang disyorkan. Kuantiti penggunaan juga harus dititikberatkan. Dengan memahami label kandungan pada ubat gigi dapat membantu ibu bapa membuat pilihan yang tepat untuk anak.

Rujukan

  1. ADA Science Institute, Center for Scientific Information. Toothpaste and Children. Topic last updated: November 29, 2017. Available at https://www.ada.org/en/member-center/oral-health-topics/toothpastes.
  2. Brambilla E (2001). Fluoride – is it capable of fighting old and new diseases? An overview of existing fluoride compounds and their clinical applications. Caries Res, 35 (Suppl 1) : 6-9.
  3. Ellwood R and Fejerskov O (2003). Clinical use of fluoride. In: Fejerskov O and Kidd EAM (eds) Dental Caries- The Disease and Its Clinical Management. London: Blackwell Munksgaard, pp 189-222.
  4. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. National Oral Health Survey for Preschool Children 2015 (NOHPS 2015).
  5. Stovell, A. G., Newton, B. M., & Lynch, R. J. (2013). Important considerations in the development of toothpaste formulations for children. International Dental Journal63(s2), 57-63.
  6. Wash T, Worthington HV, Glenny AM, Appelbe P, Marinho VCC, Shi X. Fluoride toothpastes of different concentrations for preventing dental caries in children and adolescents. Cochrane Database of Systematic Reviews 2010, Issue 1. Art. No.: CD007868. DOI: 10.1002/14651858.CD007868.pub2.

 

Semakan Akhir : 12 Jun 2018
Penulis / Penterjemah : Dr. Nurul Ashikin bt. Husin
Akreditor : Dr. Cheng Lai Choo

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 223,597,682

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-04-30 11:59:30
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia