A A +A
Jata

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Laman Utama
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Radioterapi
  6. /
  7. Kesan Sampingan Rawatan
  8. /
  9. Radioterapi Dada: Kesan Sampingan...

Radioterapi Dada: Kesan Sampingan & Jagaan

Radioterapi untuk kawasan dada mungkin diberi ke bahagian tengah atau sebelah (kiri atau kanan) dada

Radioterapi untuk kawasan dada mungkin diberi ke bahagian tengah atau sebelah (kiri atau kanan) dada. Sekali-sekala rawatan radiasi mungkin diberi kepada kedua-dua belah dada (kiri dan kanan) seperti dalam radioterapi untuk kedua-dua payudara. Tisu normal yang mungkin berada dalam kawasan rawatan adalah kulit, sebahagian kerongkong, esofagus dan saluran udara (trakea), paru-paru, payudara, dan sebahagian bahu.

Apakah Kesan Sampingan Awal?

Kesan sampingan awal ialah perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Simptom menjadi lebih teruk jika banyak tisu normal berada di dalam kawasan rawatan dan jika jumlah dos radiasi kepada tisu normal adalah lebih tinggi. Reaksi awal radioterapi dada yang mungkin berlaku adalah seperti dalam grafik. Kebanyakan reaksi bermula dalam minggu kedua hingga ketiga rawatan tetapi akan menjadi lebih baik 3 hingga 4 minggu selepas rawatan berhenti.

Reaksi Kulit

Tahap reaksi kulit untuk radioterapi dada bergantung kepada jenis radiasi dan lokasi kawasan rawatan. Rawatan menggunakan pancaran elektron akan menghasilkan dos kulit yang lebih tinggi dan mengakibatkan lebih reaksi kulit berbanding pancaran foton. 

Kebanyakan reaksi kulit di permukaan rata (chestwall) adalah sederhana (merah dan kering) dan boleh diterima. Kulit di bawah payudara dan ketiak (lipatan kulit) boleh menjadi lembap, melecur atau berkudis disebabkan faktor kelembapan dan panas.

Dilarang memakai coli yang ketat dan mengandungi logam, kerana ia boleh membuat reaksi menjadi bertambah teruk. Pastikan pakaian longgar; dan jaga kawasan rawatan bersih dan kering. Untuk jagaan kulit, sila rujuk kepada Radioterapi: Reaksi Kulit & Jagaan.

Sakit Kerongkong Dan Susah Menelan

Permukaan dalam kerongkong dan esofagus mungkin menjadi merah, bengkak dan sakit. Ini menyebabkan ketidaksenangan seperti merasa ada sesuatu dalam kerongkong dan kesusahan menelan makanan pepejal. Reaksi ini lebih biasa berlaku untuk rawatan di bahagian atas dada. Kesan ini lebih teruk jika seseorang itu menerima kemoterapi dan radioterapi pada masa yang sama, merokok dan minum alkohol.

Reaksi ini mungkin menjejaskan selera seseorang, dan menyebabkan pengambilan makanan berkurang. Ini mengakibatkan kekurangan zat makanan dan penurunan berat badan. Ubat mungkin diberi untuk mengawal kesakitan, jika ada. Cuba lakukan beberapa penyesuaian makanan (pilihan dan penyediaan makanan) untuk meningkatkan pengambilan dan mengekalkan pemakanan yang seimbang.

Bagaimana Mengurangkan Kesan Dan Meningkatkan Pengambilan Makanan?

  • Minum banyak air untuk melembapkan kerongkong tetapi jangan minum banyak sebelum makan; minum sedikit dengan menggunakan straw.
  • Lembutkan makanan dengan cecair (bubur nasi, sup) atau sos, kuah (ayam, ikan).
  • Makan buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar, telur rebus, dan keju.
  • Cuba makan puding, dadih, kastard dan aiskrim.
  • Makan sedikit makanan setiap 2 atau 3 jam; cuba makan lebih bila merasa sihat.
  • Minta orang lain tolong sedia dan masak makanan.
  • Cuba masakan berlainan untuk mendapatkan selera.
  • Sediakan makanan dalam kuantiti kecil untuk memudahkan penelanan.
  • Guna air liur tiruan bagi memudahkan penelanan.
  • Belajar teknik makan dan menelan daripada jurupulih pertuturan.
  • Lakukan aktiviti-aktiviti fizikal mudah untuk merangsang lapar.
  • DElak makanan keras dan kering seperti kerepek, kacang, biskut kering dan roti bakar yang boleh menambahkan kesakitan.
  • Elak makanan bergoreng, pedas, masam yang boleh merengsa kerongkong.
  • Hadkan pengambilan kafein.
  • Elak minuman panas dan alkohol.
  • Jangan merokok.

Pendek Nafas Dan Batuk

Radiasi boleh menyebabkan radang tisu paru-paru (pneumonitis), yang mungkin menghasilkan simptom batuk, sesak dada dan pendek nafas. Simptom ini mungkin menjadi lebih teruk jika kemoterapi dan radioterapi diberi pada masa yang sama. Biasanya simptom awal boleh dilegakan dengan ubat. Namun, ada juga langkah yang boleh dilakukan untuk menyenangkan pendek nafas seperti berikut:

  • Rancang dan jarakkan aktiviti dengan banyak berehat di antara aktiviti.
  • Guna bantal tambahan untuk menaikkan kepala/ bahagian atas badan bila baring.
  • Guna pelembap untuk memastikan udara lembap.
  • Pakai baju longgar dengan kolar lebar.
  • Belajar teknik bernafas daripada pakar fizikal untuk membaiki pernafasan.
  • Elak melakukan kerja rumah yang terlalu berat.
  • Jangan berada di luar bangunan semasa cuaca panas atau sangat sejuk.
  • Jangan merokok.

Perubahan Payudara

Rawatan radiasi mungkin menghasilkan perubahan awal payudara seperti kebengkakan tisu lembut (limfedema), perasaan menyucuk dan kesakitan terutama di puting payudara.

Kekejangan Bahu

Otot bahu di sebelah yang sama dengan kawasan rawatan boleh menjadi kaku dan menghadkan pergerakan sendi bahu. Belajar beberapa senaman daripada pakar fizikal untuk menyenangkan dan menguatkan otot supaya pergerakan sendi lancar.

Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?

Kesan sampingan lewat merupakan reaksi yang mungkin berlaku beberapa bulan atau bertahun selepas rawatan radiasi berhenti. Beberapa kesan lewat radioterapi dada yang mungkin berlaku disenaraikan dalam grafik.

Kesan lewat tisu paru-paru seperti pneumonitis dan fibrosis mungkin berlaku 1 hingga 6 bulan selepas rawatan radiasi. Simptom batuk jangka panjang, demam, sesak dada dan pendek nafas boleh dilegakan dengan ubat dan latihan pernafasan.

Untuk radioterapi payudara, kulit di kawasan rawatan akan kelihatan gelap dengan berbintik merah (telangiectasia) oleh sebab saluran darah kecil yang mengembang. Payudara yang dirawat mungkin menjadi lebih kecil kerana pengecutan tisu payudara.

Jika prosedur surgeri untuk mengeluarkan limfa di ketiak dilakukan sebelum rawatan radiasi, limfedema mungkin berlaku pada lengan di sebelah yang sama. Sila rujuk kepada Radioterapi Lengan Atau Kaki: Kesan Sampingan Dan Jagaan/ Limfedema.

Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, dengan mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal dalam kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan.

Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda dari pakar onkologi radiasi dan pegawai terapi sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.

Rujukan

  1. http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/treatmenttypes/radiation/understandingradiationtherapyaguideforpatientsandfamilies/understanding-radiation-therapy-radiation-to-certain-body-parts
  2. www.cancer.gov
  3. Gambar daripada pembentangan slaid Amanda Bolderston. Standards of skin care in Radiation therapy
  4. Gambar daripada pembentangan slaid Aishah S A. Radiotherapy side effects and Patient care
  5. Grafik daripada Cik Aisyah Zulkifli

 

Semakan Akhir : 26 Mei 2017
Penulis : Sarah Lee Abdullah
Akreditor : Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam

Artikel Berkaitan

Meiosis

Meiosis berlaku dalam ovari dan testis, di mana satu sel membahagi sebanyak dua kali bagi menghasilkan empat sel anak yang mengandungi separuh daripada maklumat genetik sel induk. Sel-sel ini adalah sel pembiakan di dalam manusia iaitu sperma bagi lelaki dan ovum bagi wanita.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 228,050,877

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-25 14:38:53
IKUTI KAMI

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia